Saturday, April 17, 2010

Zaid Ibrahim lambang "taubat" PKR


Pendapat Oleh Zukri Aksah

PKR edisi pasca Pilihanraya Umum 2008 menyaksikan parti ini terpukul teruk dibadai isu kebolehpercayaan. Ini berlaku dek kerana kronologi peristiwa pembelotan dan pengkhianatan beberapa orang pemimpin serta wakil rakyatnya. Ia bermula dengan sangat menyakitkan bila dua orang wakil rakyat PKR di Perak, Jamaluddin Radzi dan Osman Jailu, bersama Nasharuddin Hashim, wakil rakyat UMNO yang ketika kejadian, baru seminggu mengisytiharkan kemasukannya ke dalam PKR, mengambil tindakan khianat dan belot bila keluar dari PKR menjadi ADUN Bebas, Nasha pula kembali ke pangkuan UMNO. Natijah paling perit akibat kejadian ini ialah runtuhnya Kerajaan Pakatan Rakyat di sana di bawah pimpinan Mohd. Nizar Jamaluddin.

Polemik ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Di negeri berjiran dengan Perak, Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menterinya ketika itu, Mohammad Fairus Khairuddin (gambar kanan) mengambil tindakan meletak jawatan termasuk melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri Penantinya. Fairus baru-baru ini telah mengumumkan kemasukannya ke dalam UMNO.

Arus deras ini seakan tidak mahu kendur bila tiba-tiba Setiausaha Agung PKR yang melepaskan jawatannya, Salehuddin Hashim mengumumkan pengunduran mutlaknya dari parti. Ia tidak sudah di situ sahaja, Salehuddin seperti melajukan semula arus pengkhianatan dalaman PKR. Di sekitar masa yang sama, tiga orang Ahli Parlimen dari PKR mengisytiharkan keluarnya mereka dari PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas, Zahrain Hashim, Ahli Parlimen Bayan Baru dan seketika pernah menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pulau Pinang mendahuluinya, ini diikuti oleh Tan Tee Beng, Ahli Parlimen Nibong Tebal dan terakhir Mohsin Fadzli Samsuri, Ahli Parlimen Bagan Serai.

Jajaran peristiwa ini belum lagi termasuk episod pemecatan Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu sebagai ahli PKR akibat masalah disiplin.

PRK Hulu Selangor

Belum habis letih dan lenguh PKR berhadapan dengan pengkhianatan dan pembelotan ini, hadirlah sebuah Pilihanraya Kecil di Negeri Selangor, yang mana Kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah di situ diterajui oleh PKR. Anwar Ibrahim sendiri bertindak sebagai Penasihat Ekonomi negeri antara yang terkaya di Malaysia ini. Bekas Timbalan Menteri Besar Selangor ketika di dalam UMNO, kemudiannya menyertai PKR, Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac 2010 menyebabkan kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong.

Ketika sedang menangani isu kebolehpercayaan inilah, PKR dipaksa untuk membuat pilihan, memilih calon untuk Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Soalnya, siapa calon yang boleh dipercayai bila yang bertaraf Setiausaha Agung dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri pun mampu membelot dan mengkhianat?

PKR kini terikat dengan janji Pengarah Pilihanrayanya, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan, bahawa tiada lagi wakil rakyat PKR melompat selepas Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Selaku Pengarah Pilihanraya yang baru menggantikan Saifuddin Nasution Ismail, itulah iltizamnya, namun bukan jangkaan beliau akan adanya satu lagi pilihanraya kecil sebelum PRU-13, jadi apakah Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor ini boleh menjadi model kepada janji dan iltizam Fuziah itu?

Belum terjawab soalan itu, senarai panjang calon sudah pun sampai. Mahu tidak mahu keputusan perlu dibuat, walaupun saya percaya, ada sedikit jangkitan trauma pada sesetengah pimpinan PKR akibat insiden-insiden pengkhianatan sebelum ini. Akhirnya, setelah habis mengkaji baik-buruknya, PKR membuat keputusan berani bila menamakan Zaid Ibrahim sebagai calonnya dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Calonkan Zaid keputusan yang berani

Berani saya katakan kerana majoriti pengundi Hulu Selangor adalah Melayu, dan Melayu di sini adalah Melayu tradisional, Melayu kampung. Saya seorang Melayu yang juga berasal dari kampung, saya tidak nampak masalah dengan imej Zaid sebagai Melayu urban dan Melayu elit. Tetapi saya pasti, UMNO terutamanya tidak akan melepaskan peluang untuk menjaja cerita kepada Melayu di Hulu Selangor ini, terutamanya kepada yang dilihat condong kepada agama, bahawa Zaid Ibrahim inilah yang dahulunya mahu menyaman Kerajaan Negeri Kelantan kerana cadangan mereka untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah (Hudud) di negeri tersebut, Zaid akan dijaja sebagai anti Islam. Bagi saya, saya sudah memahami niatnya setelah membaca buku Aku Pun Melayu.

PKR terpaksa mengkesampingkan faktor dan kemungkinan ini. Zaid memang seorang yang kontroversi, sama ada ketika di dalam UMNO dahulu mahupun semasa bersama PKR sekarang. Kalau dalam dunia korporat, nama Zaid Ibrahim memang tersohor, dari seorang anak kampung, berjaya membawa nama firma guaman miliknya sendiri, Zaid Ibrahim & Co. menjadi saya kira firma guaman terbesar di Malaysia, sekarang firma itu terus gah walaupun Zaid sudah melepaskan semua kepentingan di dalamnya.

Dalam politik, saya rasa Zaid Ibrahim (gambar kanan) bukanlah siapa-siapa sehinggalah Pak Lah melantiknya sebagai Senator dan mengangkatnya sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang). Ketika itulah baru namanya terlakar di arena politik nasional Malaysia, itupun dengan calitan-calitan kontroversi. Kerana tidak tahan, Zaid akhirnya meletak jawatan sebagai Menteri dan seterusnya dipecat dari UMNO.

Dalam PKR juga, Zaid tidak sunyi dari dilanda kontroversi. Beliau pernah dihadap ke Lembaga Disiplin parti kerana kritikan terbukanya terhadap PKR yang dikatakan tidak tegas dalam membuat keputusan terhadap Zulkifli Noordin.

Manusia kontroversi inilah yang menjadi pilihan PKR untuk dipertaruhkan di Hulu Selangor, mengapa? Saya menyusuri secara rambang peristiwa-peristiwa di sekitar kontroversi yang menyelubungi diri Zaid Ibrahim ini. Ringkasnya ia terjadi kerana Zaid cukup terbuka dalam memperkata atau mengkritik sesuatu perkara, sehingga mungkin ramai yang tidak boleh menerima kepedasannya, Zaid juga saya lihat tidak mudah tunduk kepada kebiasaan yang pada pemikirannya salah. Semua kritikan tindakan kontroversinya ini pula hanya memusat kepada satu perkara, pendirian hidupnya!

Apakah ini lambang "taubat" PKR yang ingin dipotretkan kepada rakyat, setelah diuji teruk dengan isu kebolehpercayaan, pengkhianatan dan pembelotan? Zaid Ibrahim bukan kawan Anwar 30 tahun, Zaid Ibrahim bukan mentee politik Anwar, Zaid Ibrahim memang manusia kontroversi, tetapi kontroversinya kerana prinsip, kontroversinya kerana pendirian, yang tidak pernah dijual-belinya dengan harta mahupun kuasa. Senang cakap, Zaid Ibrahim ini boleh percaya! Sekurang-kurangnya beliau telah terbukti lebih berprinsip berbanding Zulkifli Noordin yang ada latar belakang PAS atau Mohsin yang tidak pernah lekang kopiah.

Saya pun pernah berjumpa dengan Zaid Ibrahim pada satu ketika, beliau nyata seorang yang humble.

*Zukri Aksah ialah bekas aktivis keADILan (PKN - PKR), pernah terpilih sebagai Exco AMK selama dua penggal. Beliau meninggalkan PKR pada tahun 2007, kini sebagai kolumnis Harakahdaily.

No comments: