"Masrum Dayat
Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia yang paling lantang “mengejek” usaha melaksanakan undang-undang syariah Malaysia. Contohnya kes membabitkan bekas Mufti Selangor Allahyarham Dato’ Ishak Baharom. Beliau juga rajin membuat kenyataan-kenyataan berbau mencemuh seperti mengatakan hukuman potong tangan bagi pencuri adalah primitif dan orang Islam bakal kudung tangan, susah nak kerja dan sebagainya.
Namun demikian, pada zamannya jugalah Mahathir tanpa segan silu mendakwa bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.
Tentulah Zaid, disebabkan kenyataan yang celaru ini, terdorong dan teruja untuk menguji kenyataan Mahathir itu dari kaca mata undang—undang Perlembagaan. Justeru, sebagai seorang peguam dan Ahli Parlimen ketika itu, beliau memilih Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu sebagai kes ujian. Inisiatif Zaid itu jauh lebih profesional berbanding kenyataan-kenyataan politik yang dibuat oleh Mahathir dan Zaid tahu beliau bakal tidak popular tetapi demi mencari kebenaran untuk generasi akan datang, Zaid sedia mengambil risiko dan sanggup melalui jalan-jalan yang sukar dan berliku.
Umum tahu bahawa antara fungsi Mahkamah ialah untuk mentafsir undang-undang. Contohnya, Perkara 3 Perlembagaan menyatakan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan”. Pada pandangan umum, tentulah agama Islam akan menjadi landasan dan panduan dalam segala urus tadbir negara. Namun tafsiran Mahkamah adalah berbeza.
Mahkamah Persekutuan, dalam kes Che Omar bin Che Soh lawan Pendakwa Raya pada tahun 1988, mentafsirkan bahawa maksud “Islam adalah agama bagi Persekutuan” ialah bahawa Islam hanya menjadi amalan atau digunakan dalam hal-hal berkenaan ritual dan upacara rasmi kerajaan sahaja. Tentulah Mahathir tahu akan hal ini walaupun beliau masih terus mengulangi kenyataannya bahawa Malaysia adalah negara Islam. Tujuannya adalah untuk meraih perbatuan politik (political mileage) atau untuk mengaut undi orang Melayu.
Berpegang kepada hakikat bahawa Mahkamah ada kuasa untuk mentafsirkan undang-undang, Zaid telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah supaya membuat perisytiharan “once and for all” sama ada Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan itu sah di sisi Perlembagaan atau tidak. Usaha Zaid ini dapat membantu kita supaya jelas tentang kedudukan Islam dalam Perlembagaan. Dan apabila kita sudah jelas, mudahlah DUN atau Parlimen menggubal atau meminda undang-undang, termasuklah Perlembagaan, jika perlu.
Lagipun, sesebuah undang-undang itu sama ada yang digubal oleh Parlimen atau DUN perlu diuji untuk melihat sama ada undang-undang berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan (ultra vires) atau tidak. Jika tidak diuji, ia bakal menjadi kertas buruk yang tidak bermakna. Tidak dinafikan bahawa inisiatif memohon mahkamah membuat tafsiran bukan suatu kerja yang mudah. Ia perlukan kepakaran yang tinggi dan menelan belanja yang mahal. Oleh kerana pada ketika itu Zaid memiliki firma guamannya sendiri, maka kos yang perlu ditanggung dapat dikurangkan.
Apabila sampai ke zaman pemerintahan Abdullah Badawi, Zaid telah diminta menggugurkan permohonan beliau itu. Barangkali Abdullah Badawi, yang ketika itu tersohor dengan gelaran Amirul Mukminin Islam Hadhari, tahu dan dapat menghidu bahawa inisiatif Zaid memohon perisytiharan mahkamah itu lebih mendatangkan manfaat kepada PAS dan lebih memudaratkan UMNO.
Sehingga kini tidak ada seorang pun yang tahu sama ada Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan yang telah diwartakan oleh Kerajaan Kelantan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak kerana tiada perisytiharan yang dibuat oleh Mahkamah. Sehingga kini kedudukan Islam di kaca mata Perlembagaan Persekutuan masih menjadi mainan politik UMNO dan BN. Alangkah baiknya jika Zaid dapat meneruskan permohonan tersebut.
Kita mahukan orang yang betul-betul berani, berwawasan, dan berkemampuan – walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan politik – untuk meneruskan usaha Zaid ini.
No comments:
Post a Comment