Guna kebijaksanaan politik di Hulu Selangor
HULU SELANGOR, 23 April: Rakyat Hulu Selangor perlu menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan politik untuk kepentingan mereka dalam pilihan raya Ahad ini.
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Zuhdi Masduki berkata, kebijaksanaan politik yang perlu mereka gunakan adalah untuk mendapatkan keuntungan maksima kepada mereka melalui pilihan raya kecil ini.
"Jika tuan-puan pilih calon BN, tuan-tuan hanya akan dapat bantuan dan perkhidmatan dari kerajaan Pusat sahaja kerana kesemua Adun di Hulu Selangor sekarang adalah wakil rakyat BN.
"Jika tuan-puan pilih calon PKR, tuan-puan akan mendapat khidmat dari dua kerajaan iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Ini kerana, kerajaa Pusat akan bantu tuan-puan melalui Adun-adun mereka, manakala kerajaan negeri Selangor akan membantu tuan-puan melalui anggota Parlimen mereka.
"Oleh itu, kebijaksanaan politik kita kali ini adalah kita pilih calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim dalam pilihan raya ini," kata Zuhdi yang juga merupakan salah seorang pengundi Hulu Selangor.
Zuhdi berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis ceramah kelompok Pakatan Rakyat di Kampung Melayu Rasa, malam tadi.
Seorang lagi penceramah di majlis itu, Ustaz Fathu Rahimi dalam ucapannya pula berkata, kelebihan besar yang diperolehi oleh penduduk Selangor sejak ditadbir oleh Pakatan Rakyat adalah mereka berjaya mengimarahkan masjid.
Ini kerana, kerajaan negeri telah menggalakkan masjid diimarahkan dengan pelbagai program dan juga memudahkan para ustaz mendapat tauliah untuk mengajar.
"Semasa Selangor diperintah oleh Umno, bukan sahaja masjid tidak diimarahkan, bahkan diruntuhkan sebagaimana berlaku kepada Masjid Jubli Perak, Bangi," kata beliau yang juga merupakan salah seorang khatib yang membaca khutbah di masjid itu.
Mereka berucap untuk mengajak orang ramai agar memberikan sokongan penuh kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor. Zaid akan menentang calon BN dari MIC, P Kamalanathan.
Berpuluh-puluh ceramah kelompok diadakan pada setiap malam di seluruh kawasan pilihan raya. Ia dianjurkan oleh PKR dan juga PAS di samping DAP di bandar-bandar dan kampung baru.
Di ceramah ini, kira-kira 50 hingga 100 orang akan mendengarnya di kalangan penduduk tempatan. -Hrkh
No comments:
Post a Comment