Thursday, April 22, 2010

PRK Hulu Selangor: Kebolehan, integriti Zaid terserlah

Posted by RAKYAT MARHAEN
Pilihan raya kecil (PrK) ini akan menuntut tumpuan kita semua buat seketika. PrK ini amat penting bagi PR dan juga BN. Ianya sebagai kayu pengukur sokongan rakyat terhadap PR dan pada masa yang sama, peluang BN untuk kembali berkuasa pada PRU ke 13 yang akan datang.
Oleh yang demikian, tidak hairan sekira kedua-dua pihak kelihatan mengerahkan kekuatan maksima mereka untuk mencapai kemenangan. Termasuk sebagai sebahagian kekuatan yang ada pada BN adalah kemampuan mereka untuk memunculkan katak-katak pada musim PrK, iaitu musim 'Katak Melompat'.

Pada masa yang sama, segala kekuatan media yang ada pada mereka dikerahkan untuk memburuk-burukkan PR, khususnya Dato' Zaid Ibrahim sebagai calon PR dalam PrK Hulu Selangor ini.

Keghairahan BN untuk memburukkan Dato' Zaid Ibrahim begitu ketara sehingga mereka lupa bahawa segala 'keburukan' yang ditonjolkan berlaku pada zaman beliau di dalam UMNO! Namun pada ketika itu, keburukan yang disebut-sebutkan tidak menghalang beliau daripada dipilih dan dilantik oleh UMNO sebagai Menteri dan pimpinan!

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora. Dato' Zaid Ibrahim telahpun mengakui keterlanjuran zaman silam beliau, zaman UMNO beliau dan menyatakan keinginan beliau untuk berubah dan membawa perubahan ke arah kebaikan untuk dirinya dan negara. PAS, PKR dan PR menerima kenyataan beliau dengan baik.

Beliau berterus-terang dan sambil menyatakan kesilapan diri beliau, menyindir pihak BN supaya jangan bersikap 'hipokrit'. Kita masih ingat lagi kenyataan YB Machang di dalam Dewan Rakyat berhubung kebiasaan Pemuda UMNO dengan budaya arak dan judinya sehingga diceritakan kisah pimpinan Pemuda UMNO yang tertidur di mesin judi Casino Las Vegas. Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan sindiran Dato' Zaid berhubung sifat 'hipokrit' UMNO.

Kebolehan Dato' Zaid dan integriti beliau jelas untuk semua melihat. Beliau seorang yang jelas berkemampuan, bijak, berilmu, berpengalaman dan berprinsip. Tidak ramai, kalau ada sekalipun, pemimpin UMNO yang sanggup meletakkan jawatan atas dasar prinsip.

Pemimpin UMNO terkenal dengan kesungguhan untuk mendapat jawatan dan kedudukan, dengan politik wangnya, dengan penggunaan bomohnya (seperti kes Mona Fendi) dan sebagainya. Maka kesanggupan Dato' Zaid meletak jawatan adalah bukti beliau memang bukan jenis yang sesuai berada di dalam UMNO. Bagi saya, pilihan di antara Kamalanathan dan Dato' Zaid, adalah satu pilihan yang jelas dan mudah.

Pada hari ini saya tidak berhajat untuk menyatakan kemungkinan kemenangan PR di PrK Hulu Selangor. Tetapi, saya hanya ingin menyatakan bagaimana PR terpaksa berhadapan dengan begitu banyak PrK semenjak Mac 2008. Ini merupakan PrK yang ke-10 kalau tidak silap saya dan yang akan berlaku di Sibu adalah yang ke-11. Bagi saya, ini merupakan perancangan Illahi.

Kesan ataupun hasil dari PrK yang sebanyak ini, maka banyak jugalah katak-katak yang timbul. Melompat ke seberang kerana kita semua tahu bahawa PrK adalah 'musim katak melompat'. Disebabkan hujan wang ringgit, bukan hujan air. Ini proses pembersihan yang terpaksa PR lalui dan pada akhirnya akan menghasilkan sebuah pakatan yang bersih dari sebarang spesis katak yang berpenyakit.

Kedua, hasil dari PrK yang berturut-turut ini, maka kerjasama di antara parti-parti komponen PR menjadi semakin lancar dan mantap. Yang harus diingatkan setiap kali diadakan PrK, siapa kawan dan siapa lawan. Parti-parti komponen PR juga turut diingatkan akan keburukan perwatakan UMNO/BN yang sering menyalahgunakan kedudukan dan kuasa mereka untuk menentukan kemenangan berpihak kepada BN.

Pada masa yang sama, kekuatan dan kelemahan masing-masing akan terserlah, yang bukan untuk diambil kesempatan oleh mana-mana pihak, tetapi supaya dapat saling bantu membantu dan saling tampung menampung. Di samping itu, PR juga mampu mempelajari dari kelebihan dan kekurangan masing-masing untuk memperkukuhkan lagi parti masing-masing.

Keadaan yang sebegini membantu menyediakan PR untuk memainkan peranan yang lebih besar pada masa yang akan datang, iaitu apabila PR mengambil alih di peringkat pusat, insyaAllah.

WaLlahu 'Alam

Khalid Samad,
Ahli Parlimen Shah Alam.

No comments: