Wednesday, March 2, 2011

Terbukti Betul : BN terus menciplak Buku Jingga

SHAH ALAM, 2 Mac: Pengumuman terbaru pimpinan BN tentang insentif tawaran baru untuk guru dan pembayaran CESS untuk peneroka Felda menunjukkan bahawa BN terus menciplak dasar-dasar daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Demikian kata Pengarah Komunikasi PKR yang juga Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan medianya.

Semalam Tan Sri Muhyidin Yassin terus menerus menuduh pelaksanaan buku Jingga akan memufliskan negara.

Januari lalu ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka menyifatkan bahawa Buku Jingga Pakatan adalah populis dan tidak bertanggungjawab.

"Kami dimaklumkan bahawa beliau mengarahkan Unit Perancang Ekonomi untuk meneliti secara halus cadangan Buku Jingga sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.

"Justeru kita melihat bagaimana BN melaksanakan satu demi satu dasar-dasar yang menyerupai cadangan Buku Jingga. Ini termasuklah pembekuan dan penurunan kadar tol, insentif untuk guru besar-guru besar dan dasar perumahan negara," kata Nik Nazmi.

Harakahdaily difahamkan, Jasa yang terletak di bawah Kementerian Penerangan juga menganjurkan diskusi khas mengenai Buku Jingga. Turut dijemput adalah pemimpin Perkasa iaitu, Dr Zubir.

Tawaran Baru untuk guru yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau termasuk insentif untuk guru besar-guru besar dan juga insentif untuk guru-guru berjumlah RM18.4 juta.

Di dalam Buku Jingga, Pakatan Rakyat telah mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru-guru menjelang 100 hari pentadbiran Kerajaan Persekutuan Pakatan bagi menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara.

Di Kerdau pula Najib mengumumkan bayaran CESS yang selama ini disekat daripada dituntut oleh peneroka Felda boleh dituntut menerusi tiga pilihan.
Bayaran CESS adalah wang yang ditolak daripada penjualan getah untuk proses penanaman semula. Bayaran ini telah disekat apabila peneroka bertukar ke kelapa sawit pada 2004.

Bayaran sebanyak RM5000 dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008 tetapi Felda masih lagi berhutang sebanyak RM13,000 termasuk faedah kepada setiap peneroka terbabit.

Pakatan telah mengumumkan bahawa Felda Plantations akan dibubarkan dalam 100 hari pertama dan estet-estetnya akan dibahagikan kepada peneroka generasi kedua dan ketiga Felda.

Malang sekali, kata Nik Nazmi, ketika Najib menciplak Buku Jingga Pakatan secara senyap-senyap, beliau tidak berani untuk menerima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan dakwaannya bahawa dasar-dasar Buku Jingga adalah populis dan tidak bertanggungjawab.

"Kami yakin perbahasan tersebut sekiranya diadakan di Kuala Lumpur, Kerdau ataupun Merlimau merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menilai sendiri Buku Jingga," katanya.

No comments: