Oleh SYAFIQ KAMARUL
ANTARA perkara yang wajar disyukuri ialah pengumuman bahawa program realiti TV popular Astro, Akademi Fantasia (AF) adalah yang terakhir pada tahun ini.
Sejak dimulakan pada 2003, hanya Mawi yang boleh dianggap sebagai juara yang amat berbekas dalam hati para peminat seni suara tanah air, terutama remaja Melayu Islam (ramai yang mengatakan Mawi sebagai satu fenomena, telah ditentukan rezekinya sedemikian walaupun ada peserta lain yang lebih baik, dan pernah tersingkir pada peringkat awal, tetapi dimasukkan semula).
Dalam AF3 (2005) dengan Pengetuanya, M Nasir, Mawi menjadi juara (meskipun ramai yang mengatakan suara pemenang ketiga, Felix, lebih merdu) dan penyanyi tanah air paling popular setanding Siti Nurhaliza. Sementelah selepas itu dalam album pertamanya, Yang Tercinta, Mawi turut merakamkan lagu "Lagu Jiwa Lagu Cinta" (lirik oleh Allahyarham Loloq) yang hit bersama Nasir (yang mencipta melodinya).
Bagaimanapun, secara keseluruhannya, tiada juara AF yang berjaya menjadi legenda. Seperti kata Siso (bekas ahli kumpulan Kopratasa), sia-sia sahaja jika gagal melahirkan legenda.
Mawi sendiri kian tenggelam. Auranya bukan sahaja malap, malah hampir padam. Dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010, dia langsung tidak tersenarai dalam lima calon akhir kategori Penyanyi Lelaki Popular. Yang tetap teguh dan bertahan iaah M Nasir sendiri (living legend) walaupun sejak sedekad lalu hanya muncul dengan dua buah album (Phoenix Bangkit/2001 dan Sang Pencinta/2006) sahaja – lima tahun sekali.
AF dijalankan selama tiga bulan. Cukupkah tempoh itu melahirkan yang ampuh, apatah lagi menjadi legenda - tanpa mengira siapa pengetuanya. Antara tokoh selain M Nasir yang pernah menjadi Pengetua AF ialah Freddie Fernandez, Ramli MS, Ramli Sarip, Datin Tiara Jacquelina, dan Norman Abdul Halim (Norman KRU).
Tiara sendiri mencetuskan kontroversi dan teguran penonton kerana penampilannya selalu seksi (tidak sopan) di hadapan pelajarnya, sementara Norman mengatakan dia lebih baik daripada pengetua sebelumnya (Norman menjadi Pengetua AF8-2010). AF di bawah Ramli Sarip pula dianggap paling lemah.
Mawi dianggap paling bertuah kerana sangat diminati walaupun dia juga artis "mi segera". Dia kini menjadi sebaliknya selepas menjuarai AF3 apabila tidak lagi menjadi rebutan, dan buruan media. Prestasi semakin tenggelam Mawi dikatakan ada kaitan dengan skandal cinta (?) bersama pelakon/penyanyi Diana Rafar, dan perkahwinannya dengan Ekin.
Filem lakonan keduanya, Jin Notti pula menyerlahkan betapa dia tidak boleh berlakon dengan baik. Mujur Magika (filem ketiganya, juga terbitan KRU Studios) yang diangkat sebagai Filem Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 seperti membantu dia dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010. Skandal dan perkahwinan, ditambah dengan terbengkalainya filem Aduh Saliha, arahan M Nasir, semakin memudarkan bintang Mawi.
Aura Mawi selepas menjuarai AF3 sangat-sangat mempengaruhi dan menarik ramai remaja mahu menjadi penyanyi, serta mewah sepertinya. Kesederhanaan penampilannya ditambah dengan imej warak (Islam) sehingga timbul anggapan bahawa Mawi itu boleh diterima kerana dia "telur penyu" yang boleh dimakan, sedangkan AF adalah “penyu” yang haram dimakan oleh orang Islam. Lucu!
Namun, tidak semua mampu menjadi sepertinya. Ramai yang menyertai AF. Tetapi, ramai yang tidak menjadi sepertinya, termasuk juara AF4, Faizal, yang kini menjadi pelakon drama TV, dan filem.
Diuar-uarkan AF9 sebagai musim terakhir; adakah hanya sekadar strategi untuk menarik kembali minat penonton yang dikatakan merudum. Jadi, ia hanya gimik dan isyarat akan dteruskan? Memang elok sangat AF dihentikan, tidak kiralah terikat dengan kontrak atau tidak. Sudah terlalu ramai penyanyi di negara kita yang tidak membawa sumbangan bermakna apa-apa pun. Masih tidak cukup-cukupkah? Sudah ada Mentor, One in A Million, dan LG Star.
Tidak cukup dengan itu, ada pula Bintang Kecil di TV9 yang bertujuan mencungkil bakat penyanyi kanak-kanak, tetapi menyanyi lagu yang langsung tidak sesuai dengan usia mereka. Sepatutnya Bintang Kecil digunakan untuk mengetengahkan lagu rakyat yang lebih bermanfaat, ketimbang lsgu komersial dewasa berbaur cinta kecewa hampa memujuk rayu sendu-senduan!
Belum lagi RTM yang berterusan dengan penganjuran Bintang RTM, Bintang Klasik Nasional, dan pelbagai bintang lagi. Cuma, bintang tujuh jula juli sahaja yang belum.
AF, Mentor, dan lain-lain sebenarnya tidak peduli pesertanya akan menjadi penyanyi atau tidak. Yang penting bagi mereka ialah wang masuk menerusi iklan, dan penajaaan.
Mentor, sebagai contohnya, ada antara calon peserta diuji menyanyi di hadapan penyanyi dan komposer, Ajai, misalnya, sebagai penguji. Jika gagal menyanyi dengan baik (meskipun sebenarnya lagu itu tidak sesuai dengan suara calon peserta tersebut – bukankah penyanyi yang menghasilkan album hanya memilih (dipilih oleh penerbit) lagu yang sesuai dengan suaranya sahaja? Bukan semua penyanyi boleh menyanyikan semua lagu). Calon peserta itu gagal dan disuruh pulang begitu sahaja bersama wang tambang!
Mentor, sebagai contohnya, ada antara calon peserta diuji menyanyi di hadapan penyanyi dan komposer, Ajai, misalnya, sebagai penguji. Jika gagal menyanyi dengan baik (meskipun sebenarnya lagu itu tidak sesuai dengan suara calon peserta tersebut – bukankah penyanyi yang menghasilkan album hanya memilih (dipilih oleh penerbit) lagu yang sesuai dengan suaranya sahaja? Bukan semua penyanyi boleh menyanyikan semua lagu). Calon peserta itu gagal dan disuruh pulang begitu sahaja bersama wang tambang!
Jadi, di mana keikhlasan dan kejujuran program realiti itu? Sepatutnya lagu yang sesuai, bukan lagu yang dipaksa (wajib). Sudahlah program hiburan tidak bermanfaat, niat pula tidak baik. Stesen TV dan juri atau mentor yang mendapat "habuan". Jadi penyanyi atau tidak, engkau punya pasallah!
Sebenarnya, yang lebih penting ingin dipersoalkan dalam tulisan ini ialah sejak 2003, telah sekian banyak wang remaja Melayu Islam mengalir ke dalam kantung pemilik Maxis, Tan Sri Ananda Krishnan.
Tidak kira siapa pengetuanya, AF wajar dihentikan. Lucu pula ada yang menganggap penganjur tiada semangat patriotik kerana melantik seniman Indonesia sebagai Pengetua AF9. Sejak bila pula AF merupakan program yang (bertujuan) menyemai patrotisme?
AF akhirnya hanya melahirkan ramai pelakon dan pengacara TV atau penyiar radio swasta. Ramai johannya yang tidak ke mana-mana sebagai penyanyi. Selain Faizal, Vince (juara AF1), Zahid (AF2), serta finalis seperti Marsha Londoh yang akhirnya menjadi pelakon.
Cuma, yang nampak lebih positif sedikit ialah finalis AF1, Farah yang kini menjadi pengacara program Nasi Lemak Kopi O di TV9 (bergandingan dan sering diusik oleh Aziz Desa). Lebih menariknya, Farah bertudung dan mahu kekal begitu.
No comments:
Post a Comment