Tuesday, March 22, 2011

Video seks: ABIM pandang berat fitnah liar, gesa guna hukum syariah

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu sebarang tuduhan ataupun dakwaan salah laku moral ke atas seseorang individu disalurkan menerusi prosedur perundangan sah termasuk hukum syariah jika ia membabitkan seorang Muslim.
Sehubungan itu, pertubuhan bukan kerajaan tersebut juga mahu pihak pendakwa dan pembela menyalurkan kes mereka untuk diadili serta dinilai menerusi prosedur perundangan syariah sepertimana yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan Sunah.
“Dalam hal ini, ABIM memandang berat sebarang pertuduhan serta dakwaan liar berupa fitnah yang dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang telah digariskan seperti membawa para saksi yang mencukupi di samping ikrar daripada individu yang dituduh. 
“Tatacara perundangan syariah telah menetapkan prosidingnya yang tersendiri untuk memelihara bukan sahaja moral serta maruah individu yang dituduh, bahkan juga integriti pihak yang membuat tuduhan,” kata presidennya Dr Muhamad Razak Idris dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini mengulas laporan pendedahan rakaman video seks didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.
Hari ini Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis berhubung rakaman video aksi seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara semalam.
Dalam laporan yang salinannya diedarkan kepada media itu, Anwar menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video itu.
Laporan polis itu dibuat berikutan dakwaan satu kumpulan yang mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang wanita yang dikatakan pelacur di sebuah hotel di sini yang menawarkan perkhidmatan seks.
Justeru kata Muhamad Razak, kegagalan memenuhi prasyarat yang ditetapkan akan meletakkan pihak terlibat dalam hukuman jenayah Qazaf yang turut menafikan hak si tertuduh sebagai saksi pada masa-masa akan datang. 
“Hal ini selari dengan salah satu prinsip utama Maqasid Syariah iaitu untuk menjamin serta melindungi maruah dan serta kehormatan seseorang individu di samping memelihara keharmonian hubungan antara manusia,” kata beliau Muhamad Razak.
Malah tegas beliau, dalam konteks perundangan negara yang unik, seseorang tidak sahaja berhak menuntut untuk dibicarakan dan membela dirinya menerusi lunas perundangan sivil yang sah. 
“Bahkan sebagai seorang Muslim juga, beliau berhak untuk dibicarakan serta menafikan sebarang dakwaan yang dikemukakan ke atasnya dalam prosiding perbicaraan Mahkamah Syariah sepertimana yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, ABIM menggesa agar semua pihak menghormati segala ketetapan syariah yang telah digariskan oleh Syariah untuk kebaikan bersama,” katanya.
Beliau juga berkata, ABIM juga meminta sebarang perbincangan dan perbicaraan kes hanya dilakukan oleh autoriti-autoriti yang berkenaan menerusi perundangan yang telah ditetapkan, di samping mengelak untuk membicarakannya secara meluas tanpa dilandasi sebarang etika.

No comments: