Thursday, March 24, 2011

Jangan buat spekulasi tentang video seks, kata KPN

KUALA LUMPUR, 24 Mac — Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi dan andaian berhubung rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pembangkang.     
Beliau berkata memandangkan baru semalam pengakuan dibuat oleh tiga individu berhubung rakaman video berkenaan, pasukan khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang ditubuhkan untuk menyiasat video itu memerlukan masa untuk menyiasat.
“Bagi masa dan peluang kepada “team” ini untuk menjalankan tugas-tugas mereka serta menyiasat secara profesional dan terbuka.
“Mereka akan menemui sesiapa sahaja yang dipercayai boleh membantu dalam siasatan untuk mengumpul fakta dan bukti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Veteran 69 Komando di sini hari ini.
Semalam, seorang ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, mengaku bahawa beliaulah yang menunjukkan video itu kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara tiga hari lepas.
Shazryl juga mendedahkan bahawa gelaran “Datuk T” merujuk kepada tiga sahabat yang membuat pendedahan rakaman video seks itu, yang sebenarnya bermakna “trio” iaitu beliau sendiri, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Terdahulu, Ismail meminta semua anggota Polis Diraja Malaysia supaya mencontohi semangat yang ditunjukkan oleh bekas anggota polis seperti pasukan Veteran Komando 69 yang kental menghadapi ancaman komunis.
“Kita harus mencontohi kekentalan, semangat serta tanggungjawab yang ditunjukkan bekas anggota polis seperti pasukan “Veteran Komando 69” yang dilihat tidak mengenal erti putus asa dalam berhadapan dengan komunis,” katanya. — Bernama

No comments: