Tuesday, March 15, 2011

Rosmah Patut Minta Maaf Beri Kenyataan Dangkal Isu Tsunami Jepun

KUALA LUMPUR 15 MAC: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor digesa meminta maaf kepada rakyat serta kerajaan Jepun kerana kerana mengeluarkan kenyataan dangkal berkenaan bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun hingga menjadi tajuk utama portal berita antarabangsa, CNN.
Dalam satu sidang media di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata Rosmah juga perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana memalukan nama negara di mata masyarakat antarabangsa.
"Akibat komennya yang dangkal, seluruh Malaysia diketawakan dan dicemuh dunia. Ini lebih teruk kerana ia berlaku selepas kontroversi kartun yang menghina sensitiviti rakyat Jepun dan seluruh dunia," kata beliau.
Beliau yang juga Ketua Wanita Keadilan mengingatkan seluruh rakyat Malaysia bahawa tragedi yang menimpa negara Jepun merupakan sesuatu yang berada di luar kawalan manusia malahan rakyat Jepun berhak dipuji atas sikap tenang serta menerima malapetaka ini dengan penuh kesabaran.
Zuraida seterusnya berkata, kenyataan Rosmah itu bukan sahaja memalukann tetapi juga bertentangan dengan pengakuan beliau dan kerajaan Umno-BN Malaysia kononnya beliau banyak membantu hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara lain sebagai 'First Lady'.
"Najib harus mengawal Rosmah kerana beliau telah melampaui batasan sebagai seorang isteri PM. Jadi, kita takut dia akan memalukan kerajaan Malaysia. Hari ini terbukti bahawa Rosmah telah terang-terangan telah memalukan kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia dengan kenyataan dangkal mengenai bencana tsunami di Jepun," tegas beliau.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyuarakan rasa terkejutnya kerana kenyataan Rosmah itu berbunyi seolah-olah Rosmah mewakili suara keseluruhan rakyat Malaysia sedangkan peranan tersebut lazimnya diambil oleh PM.
"Suami dia ada dalam kabinet, ada dalam Parlimen, biar suamilah buat kerja. Ini yang dia masuk campur dan lazimnya setiap kali dia membuak mulut, akan jadi masalah pada kerajaan. Jadi, kita amat kesal dan kita minta kalau boleh dia duduk diamlah, buatlah peranannya sebagai seorang isteri, bukan sebagai seorang pemerintah," tegas beliau lagi.

No comments: