Tuesday, March 15, 2011

Federalisme Berat Sebelah Ancam Kestabilan Politik


SHAH ALAM 15 MAC : Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, beberapa masalah besar yang melanda negara ini dari sudut pentadbiran adalah berpunca daripada sistem persekutuan atau federalisme yang tidak diamalkan secara telus.

Oleh yang demikian, penyelesaian terbaik kepada masalah ini ialah dengan merubah landskap politik negara supaya bidang kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati kedua-dua belah pihak.
"Perubahan jangka pendek yang boleh dilakukan ialah melalui perubahan landskap politik yang saya harap ia mampu menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih mendasar pada masa akan datang,"katanya.

Aziz berkata demikian pada Wacana Ekonomi 'Keadilan dalam Mengagihkan Kekayaan Negara' anjuran Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Shah Alam di sini, hari ini.

Menurut Aziz, kepincangan federalisme dapat dilihat dengan jelas dalam krisis politik Stephen Kalong Ningkan di Sarawak pada tahun 1966, darurat di Kelantan
pada tahun 1977, pemecatan bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin pada 2009 dan terbaru isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Selangor yang kesemuanya berkaitan dengan isu federalisme.  

"Konsep Persekutuan mempunyai nilai dan sumbangan yang penting kepada demokrasi ini juga berlaku di Malaysia,sekiranya tanpa ferderalisme mungkin sukar  berlakunya sebarang perubahan, khususnya selepas tsunami politik 2008, kesan yang kita dapat lihat adalah lebih negatif daripada positif,"tambah beliau.

Menurut Aziz, tempangnya amalan federalisme di negara ini bersangkut paut dengan institusi kehakiman yang rapuh dan budaya politik yang tidak sihat di negara
ini.

"Saya tidak menyatakan Perlembagaan tidak adil mahupun tidak betul, namun kalau kita menghormati apa yang ada, saya fikir ia sudah cukup memadai dan negeri-negeri tidak meminta lebih daripada apa yang ada dalam Perlembagaan,"ujarnya lagi.

Turut hadir Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR, Saifuddin Nasution, Exco Selangor, Teressa Kok, Shuhaimi Shafie, Ketua Esekutif pejabat Ekonomi Selangor, Rafizi Ramli dan Datuk Bandar Shah Alam, Mazlan Md Nor.

No comments: