Friday, March 25, 2011

Anwar : Jangan Terpesong Dari Misi Selamatkan Rakyat


KUALA LUMPUR 25 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Pakatan Rakyat dan masyarakat supaya tidak terpesong dari perjuangan dan jatuh dalam perangkap keji Umno menggunakan fitnah video lucah untuk memecahbelahkan gagasan itu.

"Saya masih mempertahankan bahawa fokus masih program Buku Jingga. Saya memohon agar rakan-rakan terus membaca. Jangan benarkan isu (fitnah liwat, video seks) mengheret kita jauh daripada isu pokok kerana ianya akan merugikan kita.
"Jangan lupa menumpukan isu pokok dalam kerangka untuk mengangkat martabat umat dengan akhlak dan ilmu. Buku Jingga adalah dasar ekonomi alternatif. Ini menunjukkan ianya ada ruang untuk dikembangkan sekiranya kita menguasai Putrajaya," kata Anwar selepas majlis solat hajat di kediamannya di Bukit Segambut malam tadi.

Buku Jingga adalah program yang merangkumi pembaharuan ekonomi, politik dan sosial yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat jika diberi mandat menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada pilihanraya umum akan datang.

Sejak dua hari lalu, Umno melancarkan pusingan terbaru serangan peribadi terhadap Anwar, kali ini menggunakan bekas Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik untuk mendalangi penerbitan sebuah video seks lucah.

Rahim dan seorang ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay mendakwa video itu kononnya merakamkan Anwar mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel pada 21 Febuari lalu.

Dalam usaha untuk mempengaruhi pemimpin Parti Keadilan Rakyat, Rahim dan Eskay menunjukkan video itu kepada sekurang-kurangnya dua pemimpin parti – Datuk Johari Abdul dan Badrul Hisham Shaharin secara berasingan Isnin lalu.

Kedua-dua mereka menolak bahawa orang dalam rakaman itu adalah Anwar dan mengutarakan hujah-hujah sama bagi menyokong rumusan mereka.

Anwar berkata fitnah terbaru yang dilontarkan menjelang pilihanraya negeri Sarawak tidak harus mengalihkan tumpuan Pakatan untuk membebaskan rakyat di negeri itu daripada pemerintahan zalim Barisan Nasional sama ada di Sarawak mahupun di peringkat nasional.

Menurut Anwar, fitnah video seks yang cuba dikaitkan kepada beliau sejurus sebelum Pilihanraya Negeri Sarawak menjatuhkan imej Umno.

Video 21 minit itu didalangi oleh Rahim, mantan Ketua Menteri Melaka yang terpalit dengan tuduhan rasuah dan merogol gadis bawah umum pada tahun 1994.

"Mereka (BN) sangat terdesak. Orang macam ini (Rahim Thamby Chik) kalau kategori saksi pun tidak lulus. Ternyata ini cukup jijik dan jahat. Kali ini kepimpinan Umno habis kerana Tamby Chik. Penayangan video lucah adalah jenayah selain mengugut saya dan Azizah untuk letak jawatan," tegas Anwar.

Anwar berkata satu cara berkesan untuk menangkis dakyah dan fitnah Umno ialah menerusi penggunaan Twitter, Facebook dan Blog secara meluas di kalangan generasi muda.

Penggunaan media alternatif itu akan membolehkan rakyat mendapatkan lebih banyak maklumat dan penerangan secara langsung dari kepimpinan Pakatan Rakyat memandangkan media arus perdana dikawal sepenuhnya oleh pemerintah.

Sebelum itu, Johari dan Badrul memberi ucapan ringkas menceritakan pengalaman menonton video lucah fitnah itu.

Badrul berkata, dalang video berkenaan adalah kroni kuat Umno-BN dan menggesa rakyat untuk memperkukuhkan ketahanan mental dan fizikal kerana Umno dijangka memperhebatkan penyebaran fitnah dan dakyah mereka.
"Mereka rasa mereka boleh kawal keadaan. Ini adalah cabaran penting dan besar. Ini bukan perjuangan Anwar seorang tetapi adalah perjuangan rakyat. Saya minta kita bersedia mental dan fizikal untuk dicabar lebih teruk. Prinsip kita harus jelas," ujarnya.

No comments: