Oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD
Benarkah ketegangan antara kaum, politik, sosial kini meningkat? Adakah hak mutlak Peribumi (dengan perlindungan kukuh hak-hak rakyat lain) satu masalah? Ya! Mengikut orang asing yang suka jaga tepi kain orang lain dan juga bagi setengah rakyat kita sendiri yang mahu penyamarataan tanpa mengira sejarah.
Benarkah kemunduran kita kerana Islam, Melayu dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan warisannya? Apa yang jelas dan nyata kedudukan Peribumi tanpa DEB semestinya seperti kedudukan kaum asal di Australia dan Red Indians di Amerika Syarikat (AS) tegas Dr Mahathir berkali-kali, tanpa jemu.
Di bawah pentadbiran Tun Razak, Dr Mahathir Mohamad terutamanya Peribumi telah ditransformasikan secara fundamental kalau pun tidak secara total. Diharap pula di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kesinambungan transformasi, reformasi dan ‘enrichment’, tegas Speaking akan berlaku lebih laju, sesingkat masa kerana waktu tidak memihak Peribumi! Enrichment mesti berlaku deras: memperkayakan kualiti, taraf hidup, pendidikan, sosial, bahasa, tamadun dan kuasa politik dan militer.
Kalau anda percaya pada satu dua kerat media barat yang beragenda negara kita sedang menuju keretakan; ‘fracturing’ terang Speaking. Itulah idaman mereka dahulu, kini dan bila-bila pun. Elemen anti-Malaysia telah banyak membuat ramalan keruntuhan bangsa dan tanah air kita. Mereka terus geram kerana kita terus teguh dan berjaya kecuali perpisahan Singapura 9 Ogos 1965.
Malaysia ramai musuh; Peribumi lagi ramai jumlahnya – dalam dan luar negara: musuh dalam kain selimut dan gunting dalam lipatan. Sebenarnya majoriti media barat tidak kisah pun, ketiadaan minat langsung; tidak peduli terhadap kita. Justeru janganlah kita peduli sangat apa setengah media barat kata tentang kita. Apa pun kerajaan mesti teruskan agendanya tanpa segan dan takut.
Kata The Wall Street Journal (WSJ), iaitu kitab Injil atau Bible kapitalisme, Malaysia di bawah Najib sedang menuju ke arah keretakan. Ketegangan ras dan agama sedang ‘boiling’ yakni sedang mendidih seperti air panas; semenjak menjadi PM Najib dakwa WSJ lebih keras terhadap media, memenjarakan bloggers dan tidak membenarkan demonstrasi apa sebab pun semuanya atas nama memelihara perpaduan dan kestabilan. Semua ini kerana hendak melindungi kepentingan Peribumi.
Maka segala yang tidak baik yang wujud di Malaysia adalah kerana DEB! Cina dan Hindraf tidak suka dasar Najib yang nampaknya memihakkan Bumiputera sebab itu tiada reformasi meritokrasi. (WSJ, 4-6 March 2011). Apa pun Merlimau dan Kerdau telah memberi jawapan yang terang, jelas dan tegas.
Ramai di luar dan dalam negara hatta ada juga peribumi sendiri tidak suka pada DEB yang telah melahirkan ‘Kelas Menengah Peribumi’ termasuklah mereka yang kacang lupa kulit itu. Tanpa DEB anak-anak nelayan, penoreh getah, peserta FELDA, guru, ustaz, pemandu dan buruh kasar dan pekebun kecil dan penjaga dusun tidak akan berjaya seperti pada hari ini; ada antaranya sudah bergelar Tun!
Betul, ramai juga yang telah menyalahgunakan DEB tetapi lebih ramai lagi yang menerima faedahnya terutama dalam bidang pendidikan dan pekerjaan. Pelaksanaan DEB yang tidak adil, pembahagian kontrak, AP, saham dan bantuan melalui pilih kasih tidak dinafikan tetapi mestikah kita musnahkan DEB kerana itu atau dasar-dasar yang pro Peribumi lain apa nama pun? Bakar kelambu kerana nyamuk? Pengundi harus menuntut kerajaan mesti cuba membasmi penyalahgunaan ini sekarang dan selepas PRU13 dan pemilihan UMNO kelak.
DEB cerita lama. Bagi penentangnya tiada kesudahan hinggalah matlamat mereka tercapai. Kalau kerajaan tidak prihatin dan mengendurkan DEB dan dasar serupa itu saya percaya, saya yakin base/tapak sokongan kerajaan akan roboh, UMNO dan sekutunya parti Peribumi lain akan hilang kuasa! Dalam masa itu peribumi janganlah ‘take things for granted’ tidak mahu berdikari dalam iktisad dan pendidikan. Peluang bagi bukan Peribumi tidak pernah tertutup bahkan ramai mereka pukul rata lebih kaya dan senang lagi dari Peribumi.
Seperti Peribumi ramai juga bukan Peribumi miskin dan mereka juga wajar dibantu secara saksama. Sungguhpun penduduk Peribumi menjangkau lebih 65 peratus sekarang mereka hanya mempunyai 20 peratus kekayaan negara! Yang bakinya dipunyai oleh bukan Peribumi dan pemodal asing. Kerajaan hanya cuba dalam konteks demokrasi membetulkan keadaan yang tidak seimbang dalam kerjaya, ekonomi dan pendidikan yang kita pusakai dari kerajaan British. Walaupun sudah 53 tahun kita merdeka kita masih belum merdeka dalam ekonomi. Kita belum lagi berjaya menyelesaikan warisan buruk British itu.
Perasaan iri hati (dendam?) pada peribumi nampaknya meluap-luap dipihak sisa-sisa imperialisme, bapa kapitalisme yang mahu memperluaskan ekonomi mereka terutama dalam industri, perkhidmatan kewangan, insurans dan investment. Mereka mahu pengaruh dan kekayaan mereka tiada had; mereka mahu mendominasi cara hidup dan pendekatan sosial kita.
Kebudayaan mereka jadi ikutan dan ukuran hingga kita, lambat laun, kehilangan keperibadian dan jati diri! Apalah ada pada Peribumi sekarang? Adakah mereka mahu peribumi dipinggirkan seperti sebelum merdeka dahulu?
Tiap tahun majalah Forbes (risalah/majalah kapitalisme) dan Malaysian Business (kepunyaan sahabat penulis Datuk A Kadir Jasin) menyiarkan senarai orang kaya di dunia dan di Malaysia. Tiada Peribumi antara seratus orang terkaya di seluruh alam. Ramai Cina dan India termasuk dari Malaysia. Oleh kerana ekonomi terus berkembang dan bursa saham ‘bullish’ yakni laris dan kukuh orang kaya seluruh dunia semakin kaya dan yang miskin semakin miskin! Biarlah kita hanya bicara tentang 40 orang terkaya di tanah air kita.
Mengikut Malaysian Business (Februari 16, 2011) kekayaan bersih atau ‘net worth’ mereka naik 30 peratus tahun lepas berbanding tahun 2009. Empat puluh manusia ini mempunyai jumlah harta RM206.37 bilion! Encik Robert Kuok, 87 tahun, anak kelahiran Johor Baru bernilai RM50.040 bilion dan Encik Ananda Krishnan, 72 tahun, anak kelahiran Brickfields, Kuala Lumpur RM45.780 bilion. Saya kenal kedua-dua ini dan kedua-dua telah menolak gelaran Tan Sri apalah lagi Datuk. S
iapa mahu darjat, bintang dan medal kalau sudah begitu kaya? Ananda adalah tauke Maxis, Astro dan banyak lagi; Robert tauke Kerry Group/Kuok Group, Shangri La, gula, kelapa sawit dan minyak sawit. Nombor tiga ialah Tan Sri Teh Hong Piow, 81 tahun, RM12.775 bilion, pengasas dan pemegang saham terbesar Public Bank.
Nombor empat Tan Sri Lee Shin Cheng, 72 tahun RM12.739 bilion, IOI Group – kelapa sawit dan hartanah. Nombor lima Tan Sri Lim Kok Thay, 59 tahun RM10.895 bilion, anak bekas mendiang Tan Sri Lim Goh Tong - Genting Group. Tan Sri Quek Leng Chan, 68 tahun RM10.751 bilion, pengasas Hong Leong Bank dan Hong Leong Group. Nombor tujuh peribumi tunggal, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 60 tahun RM8.840 bilion dari Albukhary Foundation. Nombor lapan Puan Sri Lee Kim Hua, 82 tahun balu Lim Goh Tong dari Genting Group RM7.429 bilion. Seorang dari Sarawak, Tan Sri Tiong Hiew King, 76 tahun RM4.772 bilion, Rimbunan Hijau dan tuan punya, kalau saya tidak silap, akhbar Sin Chew Jit Poh.
Nombor sepuluh Datuk Ong Beng Seng, 65 tahun RM3.987 bilion Hotel Properties. Kan sekarang sudah terang? Masakan mahu disuluh lagi? Kalau dasar kerajaan dan DEB penghalang masakan sembilan daripada sepuluh mereka ini kaya raya? Mereka kaya raya kerana mereka gigih berusaha, entrepreneurship yang pintar, tekun, well-connected, networking mereka class satu dan banyak lagilah sifat yang membuatkan mereka begitu sukses. Ramai orang kita miskin tetapi mereka kaya dengan budi bahasa. Kalau harta/wang setinggi Gunung Kinabalu pun tanpa budi bahasa dihina orang juga.
Di mana pun, politik dan ekonomi bagai lagu dan irama. Politik perlu wang dan ekonomi kestabilan politik. Parti dan siapa yang boleh menjamin keamanan, kesuburan ekonomi, keteguhan pentadbiran, kesejahteraan rakyat, keadilan dan kurangkan rasuah dan jenayah akan menang PRU13!
Kalau WSJ percayakan Al Gore (bekas Naib Presiden AS), John Malott (bekas duta AS di Kuala Lumpur) dan khadam-khadam mereka, biarkan. Mereka ini tiada kewibawaan, tidak objektif dan tiada locus standi untuk membicarakan realpolitik kita.
1 comment:
Jom Tengok Sini
Post a Comment