Permohonan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini.
Dalam permohonan yang dibuat menerusi Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa, kerajaan negeri Kelantan berkata pihaknya terkilan dengan keputusan memindahkan kes tersebut, yang dibuat secara pentadbiran dan tanpa pengetahuan atau persetujuannya.
“Oleh yang demikian ia merupakan satu keputusan yang salah di sisi undang-undang, dan hendaklah diperbetulkan.
“Saya telah seterusnya dinasihatkan oleh firma tersebut dan sesungguhnya percaya bahawa guaman ini hendaklah dipindahkan kembali ke Bahagian Dagangan selaras dengan Arahan Amalan No. 1 Tahun 1989 yang menyatakan panduan untuk menentukan perkara-perkara yang terangkum di bawah setiap bahagian dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” kata Husam dalam permohonan tersebut.
Pada 30 Ogos lalu, kerajaan negeri Kelantan memulakan tindakan perundangan dengan memfailkan saman terhadap Petronas mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 setahun sejak 2005.
Menurut kerajaan negeri Kelantan, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga mendakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kes difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kerajaan Kelantan mengambil keputusan muktamad pada 25 Ogos lalu untuk mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu — di sempadan Thailand-Kelantan.
Sebelum ini, Husam berkata dalam kes saman itu kerajaan negeri tidak menetapkan jumlah tuntutan yang dibuat dan terserah kepada mahkamah untuk menentukannya.
Writ saman itu dikemukakan atas nama Petronas dan bukannya kerajaan Malaysia.
Dalam permohonan hari ini, Husam berkata, kerajaan negeri Kelantan telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu dan hanya seorang defendan iaitu Petronas disaman.
“Saya telah dinasihatkan oleh firma tersebut dan sesungguhnya percaya bahawa pembelaan telah difailkan oleh Petronas, yang mana Kelantan telah memfailkan jawapan terhadapnya. Kemudian, pliding telah ditutup.
“Saya telah dinasihatkan oleh firma tersebut dan sesungguhnya percaya bahawa selepas pliding telah ditutup, kerajaan persekutuan pada atau kira-kira 16 November lalu memfailkan suatu permohonan untuk dicantumkan defendan kedua dalam guaman ini,” kata Husam sambil menambah, Kelantan menentang permohonan percantuman tersebut.
Permohonan menentang percantuman masih belum selesai, kata Husam lagi.
Husam berkata pengurusan kes saman mereka telah ditetapkan pada 15 Disember lalu untuk memberikan peluang kepada Kelantan memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan percantuman tersebut.
Permohonan percantuman itu kemudian ditetapkan untuk pendengaran di hadapan Hakim Nalini Pathmanathan di Mahkamah Dagang pada 24 Januari lalu dan pihak-pihak terbabit diarahkan memfailkan dan saling bertukar hujahan bertulis masing-masing semasa pengurusan kes seterusnya pada 18 Januari.
Walau bagaimanapun semasa menyerahkan hujahan bertulis pada 18 Januari, Husam dalam permohonannya hari ini menambah, pihaknya dimaklumkan bahawa guaman tersebut telah dipindahkan ke Bahagian Sivil Mahkamah Tinggi.
“Ini (ketika itu) merupakan kali pertama Kelantan dan firma tersebut dimaklumkan berkenaan pemindahan tersebut,” katanya.
Husam berkata alasan yang diberikan ialah kerana ia melibatkan isu-isu perlembagaan dan hakim yang akan mendengar permohonan tersebut akan ditentukan kemudian.
Husam menjelaskan pada 24 Februari Hakim Mohd Yusof di bahagian sivil telah menetapkan pendengaran permohonan percantuman pada 22 Mac ini dan memberikan arahan berkenaan pemfailan hujahan bertulisan pendengaran tersebut.
“Saya telah dinasihatkan oleh firma tersebut dan sesungguhnya percaya bahawa setakat pengetahuan mereka, tiada satupun pihak dalam guaman tersebut telah memohon untuk pemindahan kes ini dari bahagian dagang ke bahagian sivil.
“Pemindahan kes ini ke bahagian sivil oleh yang demikian tidak dibuat berikutan daripada suatu keputusan kehakiman selepas suatu permohonan rasmi oleh suatu pihak dalam kes ini,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment