Tuesday, March 15, 2011

Pusat anak tirikan negeri Pakatan Rakyat


SHAH ALAM, 15 Mac — Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan persekutuan diterajui Datuk Seri Najib Razak mengamalkan diskriminasi dalam mengagihkan peruntukan pembangunan kepada negeri Pakatan Rakyat.
Menurut Anwar, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat terutamanya Selangor dan Pulau Pinang mendapat peruntukan pembangunan yang terlalu rendah dan tidak munasabah jika hendak dibandingkan dengan hasil yang diberikan kepada kerajaan persekutuan.
“Sebagai contoh Selangor, beri kepada kerajaan persekutuan sebanyak RM16 bilion tapi yang kita dapat balik sebanyak RM400 juta sahaja dan ia hanya 2.9 peratus dari sumbangan kita kepada kerajaan persekutuan.
“Begitu juga dengan Pulau Pinang yang jumlahnya lebih kecil, ia terlalu kecil dan tak munasabah. Beri RM16 bilion dapat RM400 juta, munasabahkah? Munasabahlah sikit,” katanya pada sidang media selepas program Wacana Ekonomi - Federalisme: Keadilan Dalam Mengagihkan Kekayaan Negara di sini.
Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berkata sebelum Pakatan Rakyat memerintah, negeri-negeri termasuk Selangor dan Pulau Pinang mendapat peruntukan yang jauh lebih besar.
“Negeri Pakatan Rakyat dapat rendah tapi negeri yang dipimpin Barisan Nasional (BN) dapat lebih besar lebih 20 peratus.
“Sepatutnya peruntukan ini diberikan secara adil, bukan kita minta banyak tapi mesti ikut kriteria keperluan di sesebuah negeri yang mana beri peruntukan berdasarkan keperluan tapi apa yang dilakukan sekarang adalah diskriminasi kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat, bila jatuh kepada Pakatan Rakyat terus disekat,” katanya.
Justeru kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, kerajaan persekutuan perlu bertindak lebih adil dalam soal pengagihan peruntukan pembangunan.
“Negeri Pakatan Rakyat, kerajaan persekutuan BN... kita terima ini tapi mesti iktiraf mandat yang diberikan rakyat.
“Ini soal peruntukan yang tak telus, tak ada dasar yang tidak boleh dipertahankan, jadi kita minta perlu ada ketetapan dalam perkara ini,” tegasnya.

No comments: