Sunday, June 13, 2010

Sejuta pengundi baru antara 15 strategi PAS hadapi PRU-13

Presiden PAS Hadi Awang menyampaikan ucapan dasar beliau di muktamar PAS ke-56. — Gambar oleh Choo Choy May
KOTA BARU, 13 Jun — PAS menggariskan pelan tindakan 15 strategi kepada ahli-ahlinya semalam sebagai persiapan turun gelanggang pilihan raya umum ke-13, antara lain dengan mendapatkan sejuta pemilih baru.
Strategi itu diluluskan bersama usul persediaan menghadapi pilihan raya yang diterima oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-56 semalam.
Muktamar yang akan berakhir hari ini banyak memberi tumpuan ke arah persediaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13 bersama Pakatan Rakyat.
Dalam ucapan dasarnya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menekankan bahawa secara umumnya, semua organisasi parti termasuklah jentera pilihan rayanya perlulah diperkemaskan di semua lapisan peringkat untuk berhadapan dengan pilihan raya umum ke-13.
Dengan pendaftaran pengundi yang menyeluruh, kata PAS, tumpuan serius dan sistematik perlu diberikan termasuk melancarkan gerak kerja khas pendaftaran pemilih, terutama pemilih baru, secara besar-besaran.
“Sasaran minimum ialah satu juta pendaftaran baru di seluruh negara,” kata PAS dalam laporan itu yang diperoleh The Malaysian Insider.
Kini kira-kira 4.3 juta orang yang berusia 21 tahun ke atas dan layak masih belum mendaftar sebagai pengundi.
Bagaimanapun tidak dijelaskan sama ada sasaran itu hanya melibatkan PAS sendiri ataupun dilakukan secara kolektif bersama parti komponen Pakatan Rakyat.
Muktamar Tahunan PAS kali ini turut menerima usul memantapkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat.
Secara umum strategi 15 perkara itu banyak menekankan tumpuan ke atas kawasan-kawasan Parlimen.
Bagaimanapun The Malaysian Insider juga difahamkan strategi itu yang pertama kali diperincikan dalam pembentangan usul pilihan raya akan merangkumi kerusi-kerusi negeri.
“Ini kali pertama laporan terperinci ini dikeluarkan sebagai panduan persiapan menghadapi pilihan raya umum nanti,” kata seorang perwakilan muktamar.
PAS akan melancarkan institut latihan pilihan rayanya pada Ahad ini.
Kini wakil PAS menerajui kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kelantan dan Kedah.
Pakatan Rakyat memerintah dua lagi negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor. Perak telah jatuh ke tangan Barisan Nasional awal tahun lalu selepas tiga Adunya melompat parti.
Dalam strategi itu PAS berkata, pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan seberapa banyak kerusi Parlimen bagi menggantikan kedudukan Umno sebagai teras utama politik negara berasaskan “konsep kepimpinan bertaqwa tonggak keselamatan ummah dan negara.”
Strategi itu termasuklah mengenal pasti dan mempersiapkan sasaran kerja pilihan raya umum ke-13 berasaskan prestasi yang diperlihatkan dua tahun lalu.
Pada Mac 2008, PAS telah bertanding di 60 kerusi Parlimen dan menang di 23 kerusi.
Pada pilihan raya kecil awal tahun 2009 PAS memperoleh kemenangan di Kuala Terengganu.
Daripada 60 kerusi yang ditandingi PAS tewas dengan majoriti bawah 5,000 undi di 16 kawasan, antara 5,000 hingga 10,000 undi (lapan kawasan) dan antara 10,000 hingga 13,000 undi (13 kawasan).
Dengan itu kata PAS, sasaran yang perlu dimenangi parti tersebut adalah berjumlah 37 kerusi lagi.
Selain sasaran pengundi baru satu juta orang, kata PAS , ia akan cuba menyediakan media alternatif yang setanding dengan kemampuan lawan tradisinya — Barisan Nasional yang didakwa menguasai media arus perdana tradisional.
“Dengan ini insya-Allah, pengundi Melayu luar bandar dapat digerakkan bersekali dengan arus kebangkitan yang sedia ada,” kata PAS dalam strateginya.
Strategi-strateginya dijanga akan diperhalusi dalam sesi pemukiman PAS yang kemungkinan diadakan bulan depan.
Dengan usaha itu kata PAS, pihaknya juga akan memberi tumpuan ke atas pengundi-pengundi Melayu luar bandar supaya mereka dapat digerakkan bersekali dengan arus kebangkitan yang sedia ada.
Selain itu PAS juga mahu memberi tumpuan yang seimbang di Sabah dan Sarawak, lebih-lebih selepas prestasi Pakatan Rakyat ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu bulan lalu.
PAS juga dijangka akan menghidupkan semula gerakan reformasi pilihan raya melaksanakan pengunaan dakwat kekal dan penghapusan sistem undi pos.
PAS dijangka bersama PKR dan DAP akan mengadakan gerakan Bersih II dalam tempoh terdekat.
Strategi itu juga tidak melupakan usaha untuk memperkukuhkan sokongan pengundi bukan Melayu kepada PAS, termasuk mempertimbangkan calon bukan Melayu yang berwibawa atas tiket parti selaras dengan pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS.
Di samping itu, di bawah strategi terbaru yang dikongsi dengan ahli-ahlinya semalam PAS berkata akan menolak cadangan Umno-BN untuk persempadanan semula sebagai agenda Umno mengekalkan kuasa.

No comments: