Anwar beri arahan tutup mulut, Azmin terpalit dalam pergelutan PKR
"Saya beri amaran terakhir. Mana-mana lagi kenyataan terbuka yang mempertikaikan Menteri Besar Selangor, terus (dihantar) ke Lembaga Disiplin." Demikianlah kata-kata yang terkeluar dari mulut Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dalam satu mesyuarat pimpinan pusat PKR, menurut sumber dalam parti itu.
Malah, Anwar Ibrahim (gambar kiri) memberi kata-kata akhirnya, "Saya sudah cukup dengan ini. Sesiapa yang cuba menguji kesabaran saya, anda boleh cuba."
Selain itu, sumber maklumat tersebut memberitahu MerdekaReview, bahawa Anwar Ibrahim mengarahkan Azmin Ali untuk menarik balik perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Bagaimanapun, Azmin Ali cuba membantah atas alasan langkah ini bakal menjejaskan kredibiliti dirinya, malah beliau meluahkan kekhuatirannya bahawa keputusan mengambil alih jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor pada ketika ini mudah mencungkil kesangsian terhadap dirinya.
"Tiada (ruang untuk) pendapat lain. Ini adalah arahan," tegas Anwar.
Imej Azmin terpalit
Menurut seorang pemimpin yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut, Azmin mempersoalkan, "Orang luar berkata ini dan itu terhadap saya, dan kamu masih menyerahkan jawatan ini kepada saya. Bukankah dengan ini, kamu mahu saya jadi 'orang jahat'?"
Namun, pimpinan yang hadir dalam mesyuarat tersebut menganggap langsung tiada masa yang sesuai untuk Azmin Ali (gambar kanan) mengambil alih jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor dalam keadaan yang paling sempurna. Jadi, ada yang membuka mulut, "Kalau ada sesiapa yang cuba menodai imej kamu, minta maaf, kamu hanya boleh bersabar."
Jelas, tindak tanduk ahli parlimen Gombak merangkap ADUN Bukit Antarabangsa kebelakangan ini memperlihatkan "cita-cita"-nya yang "tidak kecil". Sumber dalam parti tidak menolak kemungkinan bahawa Azmin Ali cuba mengambil kesempatan daripada "ketidakpuasan terhadap Khalid Ibrahim". Namun, dari perspektif luar parti, merebut kerusi dengan Khalid Ibrahim yang meraih sokongan tinggi dalam soal selidik, semestinya berakhir dengan nama diri yang terpalit.
Harus diingatkan, pemilihan PKR yang bakal berlangsung pada akhir tahun ini bukan lagi menggunakan sistem perwakilan seperti dahulu, tetapi kira-kira 300 ribu orang anggota dari seluruh pelusuk akan menggunakan undi dalam tangan mereka untuk memilih pimpinan tertinggi PKR. Maka, hubung antara calon dengan perwakilan tempatan menjadi kurang penting, malah anggota parti secara umumnya akan mengundi berdasarkan persepsi dari media. Sesiapa yang ditonjolkan dengan imej yang lebih positif dalam media, maka beliaulah mempunyai peluang yang lebih cerah.
Khalid Ibrahim dalam PKR Selangor
Sumber memberitahu MerdekaReview, Azmin Ali sebenarnya mengambil kesempatan untuk mendesak Khalid Ibrahim, tetapi "sepanjang proses ini, beliau (Azmin Ali) turut tercedera."
Ketika ditanya laporan bahawa 15 orang ahli parlimen bersepakat untuk mendesak agar Khalid berundur, seorang wakil rakyat mempertikaikan, "Berapa orang ahli parlimen yang kami ada?"
Sememangnya, PKR hanya mempunyai 24 orang ahli parlimen sekarang, termasuk Khalid Ibrahim. Jikalau benar 15 orang ahli parlimen cuba menggulingkan Khalid, maka angka ini telah melebihi separuh daripada jumlah ahli parlimen PKR.
Apakah kekurangan yang ada pada Khalid, sehingga mencungkil ketidakpuasan yang mengombak dari parti? Seorang anggota Majlis Pimpinan Negeri Selangor berkata, selaku MB Selangor, Khalid tidak memberi sumbangan yang besar kepada PKR Selangor. Biarpun Selangor menjadi negeri yang terkaya antara negeri Pakatan Rakyat, namun keadaan kewangan PKR di Selangor amat tidak memuaskan.
Kurang peka dalam politik
Ketua Penerangan PKR Selangor, Tan Yee Kew (gambar kanan) berkata, Khalid Ibrahim tegas membantah penyaluran dana dari khazanah kerajaan ke tabung parti. Jadi, PKR hanya boleh bergantung kepada sumbangan dana daripada ahli parlimen, ADUN dan anggota parti. Ada wakil rakyat yang mencadangkan agar MB mengutip wang parti dengan mengadakan jamuan, tetapi prestasi Khalid jelas tidak memuaskan dalam hal ini.
Selain itu, bekas tokoh korporat ini dikatakan meneliti sendiri kesemua urusan perdagangan, malah enggan melepaskan kuasa kepada orang di bawahnya, menjurus kepada tundaan dan kelewatan dalam prosedur. Keadaan ini mengundang tuduhan bahawa Khalid tidak mempercayai orang lain, maka mereka mengambil kesempatan untuk mendesak agar Khalid akan berubah.
Di samping itu, Khalid yang selama ini berkecimpung dalam dunia korporat, diadu kerana kurang peka dalam politik. Beliau yang berusia 64 tahun mempunyai ego dirinya, dan enggan mendengar cadangan atau pandangan lapisan pemimpin yang lebih muda daripadanya. Malah, latar belakang ini menyebabkan pandangannya sentiasa berbeza dengan NGO dan ahli politik, misalnya ketika berdepan dengan media, Khalid jelas kurang peka.
Exclusive FIFA merchandise only at Giant! Rollover to view! |
Justeru itu, Khalid (gambar kiri) yang ditaruh harapan tinggi sering mengecewakan rakan seperjuangan partinya. Seorang ADUN PKR berkata kepada MerdekaReview, "Dasar Selangor jauh lebih baik daripada Barisan Nasional, juga lebih baik daripada Pulau Pinang (misalnya). Tapi, mengapa Pulau Pinang kelihatan baik? Kerana publisiti yang baik."
EXCO Senior Selangor, Teresa Kok dari DAP turut menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP sedemikian, "Ketua Menteri ini mungkin tidak berpengalaman dalam pengurusan, tetapi beliau tahu apa yang dikehendaki media. Jadi, beliau tahu bagaimana mengolah hujahnya agar disambut baik NGO dan media."
Secara perbandingannya, publisiti Khalid tidak setanding dengan Lim Guan Eng (gambar kanan). Lantaran daripada itu, pelucutan jawatan Pengerusi PKR Selangor mungkin sesuatu yang dialu-alukan oleh Khalid Ibrahim sendiri, menjelaskan mengapa beliau masih berjenaka dalam mesyuarat tersebut setelah keputusan dibuat.
"Gembira sangatnya (Khalid). Beliau pernah berkata di banyak tempat, bahawa beliau tidak sukar menguruskan hal ehwal dalam parti. Paling baik untuk beliau menumpukan sepenuh perhatiannya dalam pentadbiran kerajaan negeri," kata seorang anggota Majlis Pimpinan Negeri Selangor.
Keputusan pelucutan jawatan Pengerusi ini mungkin melegakan Khalid Ibrahim, yang sering diadu kerana tiada masa untuk menguruskan hal ehwal parti, namun rakannya dalam kerajaan pula menganggap Khalid selaku Menteri Besar, sebenarnya menerima tamparan daripada keputusan parti ini.
Zaid Ibrahim dapat durian runtuh
Secara ringkas, Khalid Ibrahim kehilangan jawatan Pengerusi PKR Selangor dalam pusingan perebutan kuasa ini, namun ia bukan sesuatu yang terlalu pahit, seandainya ditukar dengan kesudahan "meredakan kritikan secara terbuka oleh rakan partinya." Sebaliknya, meskipun Azmin Ali menguasai PKR Selangor, tetapi laporan media semestinya mencalar imejnya.
Rombakan kecil dalam PKR kali ini sebenarnya menguntungkan Zaid Ibrahim (gambar kiri), yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri ini menyertai PKR pada tahun 2009, kecundang ketika menyarung jersi PKR untuk bertanding di PRK Hulu Selangor pada April 2010.
No comments:
Post a Comment