Tuesday, June 8, 2010

MENGINGATI SADINA UMAR KETIKA RUNTUHNYA KEADILAN

Apakah kekuatan Khalifah Umar Al-Khattab yang menyebabkan keadilan Islam dapat ditegakkan sepenuhnya di zaman pemerintahannya. Malah para pengkaji beranggapan bahawa pada zaman pemerintahan Umarlah kecemerlangan Islam sangat terserlah - dapat membebaskan Baitulmaqdis, kota-kota di timur Eropah dan mumbangkan empire Rom dan Parsi.

Menurut ulama dan para pengkaji sejarah bahawa kejayaan Umar ini disebabkan, pertama, kepimpinannya takutkan Allah dan Rasul-Nya, bukan kepada yang yang lain. Kedua kerana beliau merasakan kepiminannya bertanggungjawab lansung di depan Allah s.w.t., ketiga, merasakan setiap langkah dan tindakan yang dilakukannya benar-benar mengikut apa yang diperintahkan di dalam Al-Quran, hadis dan Sunnah, sementara keempat mempunyai rasa kemanusiaan yang sangat tinggi. Justru sebelum bertindak dia bertanya lebih dulu kepada dhamirnya (bisikan hatinya) sama ada tindakannya itu adil atau tidak.

Ini yang menjadi pendorong utama Umar dalam melakukan pelbagai arahan dan tindakan - bukan saja tidakan yang berhubung dengan kes-kes yang melibatkan sekitar hukum fiqh tetapi juga tindakan politik dan ketenteraan serta diplomasi, di mana ijtihadnya menepati kehendak Al-Quran dan hadis. Ini menyebabkan Nabi s.a.w. sering bersetuju dengan pandangan dan tindakan Umar, justru Nabi s.a.w. pernah berkata: “Pada diri Umar sering memancar kebenaran dan kecemerlangan Islam.” Kini, dalam keadaan kalut sekarang, masyarakat merindukan seorang tokoh atau beberapa tokoh yang diharapkan mampu menegakkan keadilan, sama ada sebagai pemimpin politik yang memerintah, pemimpin masyarakat atau pemimpin dalam kelompok bangsa masing-masing serta keluarga. Namun tokoh yang dicari tidak juga ditemui.

Yang ada di depan mereka ialah pemimpin yang gelojoh kuasa, mengamalkan rasuah, pilih kasih, salahguna kuasa dan pelbagai perbuatan mungkar lagi. Justru rakyat semakin kecewa dan merasa lemas dengan keadaan yang ada. Mereka seperti berada di sebuah trowong gelap yang tidak ada sebarang cahaya di hujungnya untuk menunjuk jalan menghala keluar.

Memang ramai para pemimpin dari kalngan terpelajar, berkedudukan tinggi, populer, berpengaruh, memiliki harta dan kuasa yang luas, namun kepimpinan mereka sering ditandai dengan pelbagai perlakuan buruk - selain tidak adil juga pilih kasih, salahguna kuasa, tiada ketelusan, rasuah dan pelbagai lagi. Apakah kuasa itu membolehkan segala-galanya.

Semua ini berlaku kerana kebanyakan pemimpin ini jauh dari ciri-ciri yang ada pada Umar Al-Khattab, iaitu mereka tidak merasa takutkan Allah s.w.t. Mereka tidak merasakan kepimpinannya bertanggungjawab lansung di depan Allah s.w.t. sebab itu tindakan yang dilakukan oleh mereka sama sekali bertentangan dengan Al-Quran, hadis dan Sunnah.

Mereka juga tidak memiliki rasa kemanusiaan yang tinggi justru sebelum bertindak, mereka tidak pernah bertanya kepada bisikan hati mereka sendiri sama ada tindakannya itu adil atau tidak. Inilah masalah yang melatari kepimpinan yang ada.

Oleh itu, dalam keadaan sekarang, untuk mencari kepimpinan seperti Umar Al-Khattab samalah seperti ‘memerah batu untuk mencari walau setitis air’. Anehnya, di tengah-tengah keadaaan begini ada pemimpin yang walaupun zalim tetapi bercakap pula dengan lunaknya mengenai keadilan dan kata-kata yang muluk-muluk, malah konon bercita-cita pula untuk menegakkan kesamarataan rakyat. Ini benar-benar mengelirukan, sama seperti pencuri yang meneriakkan konon di sana ada pencuri, pada hal dialah sebenarnya sang pencuri.

Umar Al-Khattab menjalani kehidupan sangat sederhana – rumah sederhana, pakaian sederhana, kenderaan sederhana, makan minumnya sederhana, bahkah beliau mengenakan peraturan supaya keluarganya tidak memiliki harta, jauh dari membolot harta negara. Kisah Umar dan keluarganya yang hidup sederhana ini sudah diketahui umum sejak zaman berzaman, namun kisah ini jauh dari diteladani.

Ketika membebaskan Baitulmaqdis, Umar memakai pakaian lusuh sehingga orang menyangkakannya sebagai ‘penjaga kuda Umar’, sehinggalah pasukan Muslimin memberitahu penduduk Islam dan Kristian di Baitulmaqdis bahawa itulah Amirul Mukminin, bukan penjaga kudanya, menyebebabkan mereka tereranjat dan mengkagumi Umar dan pasukannya.

Umar melarang rakyat menyambutnya secara besaran-besaran, melarang orang mengawalnya dengan rapi, jangan berdiri dan mencium tangan untuk menghormatinya ketika tiba di sesuatu majlis. Malah beliau tidak mahu duduk di bahagian depan di dalam sesuatu majlis, serta melarang khatib yang menyampaikan khutbah berdiri di tempat yang lebih tinggi dari jamaah supaya antara khatib dan jamaah tidak terpisah.

“Kedudukanku tidak lebih mulia dari kamu semua,” kata Umar, “yang membezakan ialah kerana aku diamanahkan memimpin kamu semua. Ini tanggungjawab berat,” kata-kata ini diucapkan oleh Umar di suatu perhimpunan di Madinah ketika kaum Muslimin mendengar amanatnya.

Di sisi lain, Umar Al-Khattab melarang sama sekali anak isteri dan saudara maranya dari mengumpul harta semata-mata kerana ada hubungan dengan kekuasaan khalifah. Hal ini sesuatu yang sangat sukar dicontohi oleh pemimpin pemerintah di zaman kini dan mungkin di masa akan datang juga kiranya mereka bukan jenis pemimpin yang takutkan perintah Allah dan tidak peduli dengan persoalan dosa pahala.

Sementara itu, ulama dan pengkaji sejarah Islam di seluruh dunia bersependapat bahawa pemerintahan Umarlah yang berjaya menterjemahkan syariat Islam yang berpaksikan keadilan dan kasih saying. Beliau mengingatkan tentera Islam supaya tidak menyalahgunakan kuasa, tidak berlaku kejam kepada rakyat meskipun berlainan agama dan suku kaum, bahkan berkewajipan melindungi mereka semua.

Umarlah orangnya yang memperjuangkan hak-hak rakyat tanpa mengira batas agama, warna kulit, suku kaum dan sebagainya. Justru ketika Umar terbunuh di tangan Abu Lu’luah, seorang keturunan Parsi, rakyat menangis bukan semata-mata kerana kehilangan pemimpin yang disayangi, tetapi lebih jauh dari itu merasakan kepergian Umar seperti berakhirnya suatu zaman kegemilangan Islam dengan segala keadilannya. Mereka merasakan selepas kepergian Umar, maka keadilan mengucapkan ‘selamat tinggal’.

Umar telah pergi meninggalkan kita lebih seribu tahun lalu, namun legasinya, keadilan dan kesaksamaannya masih kekal dalam ingatan umat ketika umat sendiri – masa kini - sedang menyaksikan kepimpinan tirani yang tidak adil, tidak merasa berdosa kerana berdusta, menyeleweng, salahguna kuasa, rasuah dan segalanya. Namun kepimpinan ini tanpa malu-malu sering pula bercakap mengenai keadilan Umar. Inilah sebuah kepura-puraan di tahap paling tinggi.

Di depan kita sekarang hutan belentara kezaliman, ketidakadilan dalam pelbagai bentuk dan jauh dari petunjuk Ilahi, namun itulah wajah kepimpinan yang dipaksakan kita menerimanya. Justru tugas umat ialah berjuang mengembalikan semula kepimpinan yang mempunyai cirri-ciri seperti Umar Al-Khattab

No comments: