Beli EMU 6 gerabak, kerajaan rugi 500 juta
Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkifli Ahmad, apa yang mencurigakan beliau adalah apabila syarikat Zhu Zhou Electric Locomotive yang mendapat tender asal pada 2008 untuk membekal 8 unit EMU 3 gerabak, hanya menawarkan harga RM13.725 juta seunit.
Namun selepas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menetap keperluan baru tahun ini kepada set EMU 6 gerabak, rundingan terus dengan syarikat sama menyaksikan harga meningkat kepada RM48 juta seunit, lebih tiga kali ganda lebih tinggi dari harga asal.
Harga itu menurutnya tidak munasabah biarpun setelah mengambil kira pelbagai kos lain yang mempengaruhi seperti inflasi, kadar pertukaran wang asing, peningkatan bahan mentah dan sebagainya.
Lebih pelik katanya, mengikut Penyata Keperluan KTMB, konfigurasi set EMU 6 gerabak tersebut sebenarnya adalah gabungan dua unit set EMU 3 gerabak.
Maka sewajarnya harga tersebut hanya dua kali ganda atau lebih sedikit berbanding set EMU 3 gerabak tersebut.
"Memang ada perubahan spek seperti cctv dan Side Destination Panel pada EMU 6 gerak. Kita ambil kiralah segala perubahan spek, munasabah kalau kita angkat kepada RM30 juta seunit.
"Tetapi Timbalan Menteri menyebut sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Tumpat bahawa ianya menjadi RM48 juta seunit," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Turut serta pada sidang media tersebut, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo'lo Ghazali dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud.
Rakyat katanya ingin tahu kenapa sewaktu rundingan terus itu, kerajaan mendapat harga begitu tinggi berbanding harga sewaktu tender.
Sehubungan itu mereka meminta kerajaan membatalkan segera LOA yang dikeluarkan kepada syarikat Zhu Zhou dan menyenaraihitamkan syarikat tersebut.
"Jawatankuasa Kira-kira awam (PAC) perlu mengambil tindakan segera supaya Menteri, Kementerian dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang terlibat dengan rundingan terus tersebut dipertanggugjawabkan atas kerugian yang bakal ditanggung kerajaan," katanya lagi.
Selain itu beliau turut menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat pembelian tersebut bagi memastikan tiada unsur rasuah dan penyalahgunaan berlaku.
No comments:
Post a Comment