Sunday, June 13, 2010

Pemimpin pusat PAS wajar dipilih sejuta ahli?


KOTA BARU, 13 Jun — PAS wajar mengkaji keperluan mengadakan pemilihan secara langsung membabitkan setiap ahli — dianggarkan sejuta orang sekarang — memilih barisan kepimpinan pusat agar seiring perubahan landskap politik semasa. Penasihat undang-undang PAS, Hanipa Maidan berpendapat bahawa pucuk kepimpinan perlu mengkaji cadangan yang dibangkitkan oleh seorang perwakilan pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS Ke-56.
“Saya rasa parti patut kaji kemungkinan bagi membolehkan setiap ahli memilih pucuk kepimpinan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider pagi ini sebelum muktamar tahunan kali ini menutup tirai.
Kata beliau, jika ia dilakukan PAS akan kelihatan sebagai sebuah parti yang dinamik di negara ini.
“PAS akan kelihatan terbuka... sekarang banyak parti ke arah itu (undi secara langsung),” kata beliau yang yakin bahawa PAS akan mengambil langkah ke arah itu satu hari nanti.
Komponen Pakatan Rakyat, Parti Keadilan Rakyat akan mengamalkan pendekatan pemilihan secara langsung membabitkan setiap ahli akhir tahun ini.
Umno juga mengambil langkah meluaskan bilangan perwakilan memilih pucuk kepimpinan pusat daripada kira-kira 2,000 orang kepada lebih 400,000 orang mulai tahun 2011.
PAS memilih pucuk kepimpinan setiap dua tahun manakala Umno pula tiga tahun sekali.
“Macam langkah membuka keahlian kepada bukan Islam, perkara ini sudah dicadangkan lebih 30 tahun lalu tetapi baru sekarang dilaksanakan... jadi saya rasa idea ini akan diterima satu hari nanti,” katanya.
Semalam perwakilan dari Jerantut mencadangkan supaya parti mengambil langkah meminda perlembagaan bagi membolehkan setiap ahli akar umbi memilih barisan kepimpinan pusat.
Menurut perwakilan itu, pendekatan ini perlu sebagai langkah awal mengelakkan masalah gejala politik wang apabila PAS bersama komponen Pakatan Rakyat menerajui kerajaan pusat.
Perwakilan itu berpendapat walaupun elemen gejala politik wang tidak wujud sekarang dalam PAS tetapi langkah awal perlu diambil bagi peringatan.
Bagaimanapun saranan itu dipertikai perwakilan yang lain apabila wakil dari Jerantut itu mendakwa perlembagaan PAS sekarang “diwarisi” daripada Umno.
Mengenai pertikaian ditimbulkan perwakilan itu, Hanipa berkata, ahli-ahli PAS tidak seharusnya melahirkan “rasa marah” dengan membantah sebelum perwakilan habis bercakap.
“Apa yang perwakilan Jerantut hendak cakap itu ada tujuannya tetapi cuma cara penyampaian tak kena apabila menyebut nama Umno... macam kita marah apabila disebut (idea) kerajaan perpadian,” kata Hanipa yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS.
Ketika bercakap pada sesi penggulungan perbahasan pagi ini, Hanipa menyifatkan perwakilan “tidak harus membuli dia (perwakilan Jerantut).”
“Kita ini parti PAS, kita memperjuangkan kebebasan bersuara, dalam demokrasi dijanjikan aluan yang sama untuk semua bercakap... jadi biarkan dia bercakap dulu sebelum membantah.
“Ada pandangan yang bagus, dan ada pandangan yang tidak bagus... bagi dia peluang untuk bercakap, jangan halang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat menolak cadangan supaya pucuk kepimpinan peringkat nasional dipilih oleh setiap ahli atas alasan ia tidak praktikal buat masa sekarang.
“Lagi pun tiada keperluan, saya rasa tiada keperluan langsung,” katanya.
Kata beliau, sistem semasa sememangnya sudah cukup berkesan dan tidak perlu PAS mengikut apa yang dilakukan oleh parti-parti lain.

No comments: