Sunday, June 13, 2010

Nik Aziz tegur wakil guna ‘suami Najib’ guris hati PM

KOTA BARU, 13 Jun — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur perwakilan yang menggunakan perkataan-perkataan yang boleh menyakitkan dan mengguris hati pihak tertentu ketika membahaskan ucapan dasar dan usul.

“Saya ada dengar dalam perbahasan dua hari, saya ada dengar perkataan-perkataan yang tidak senang... yang boleh menyakitkan hati orang,” kata beliau ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 hari ini.

Kata beliau, tindakan sedemikian boleh menyebabkan rasa dendam dalam jangka panjang.

Nik Aziz yang tidak pernah ketinggalan dalam melahirkan pendirian keras mengenai tindak-tanduk pemimpin Umno termasuk presiden-presidennya, hari ini berkata, beliau terdengar ada perwakilan menyindir “suami Najib”.

“Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) ini lelaki, tak baik guna perkataan macam itu, kita tidak boleh gunakan perkataan-perkataan yang menyakitkan hati (dalam perbahasan),” katanya.

Ada perwakilan yang menyifatkan “Najib suami kepada isterinya” Datin Seri Rosmah Mansor.

Difahamkan istilah itu digunakan untuk merujuk dakwaan dan persepsi sesetengah pihak tentang “pengaruh” Rosmah ke atas Najib.

Kata beliau, perwakilan boleh menggunakan perkataan-perkataan tertentu untuk bergurau tetapi jangan sampai menyakitkan perasaan orang lain.

Sehubungan itu Menteri Besar Kelantan sejak 1990 menambah, sebagaimana Nabi Muhammad SAW menggunakan istilah yang halus untuk membuat teguran dan nasihat perwakilan seharusnya sewajarnya menjaga hati orang lain ketika berucap.

“Kita kena mengikut cara Nabi Muhammad yang menggunakan perkataan, ayat (yang halus) untuk mencuri hati orang lain, tidak menyakitkan hati orang lain,” kata beliau.

Muktamar Tahunan PAS Ke-56 yang bermula kelmarin berakhir hari ini.

Dalam ucapan ringkasnya Nik Aziz juga mempertahankan langkah diambil oleh PAS untuk menjalin kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat termasuk menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Sambil menegaskan ini bukan kali pertama PAS menjalin kerjasama dengan pihak-pihak yang boleh diyakini kalangan bukan Islam, Nik Aziz berkata, parti itu sanggup untuk menjalin kerjasama dengan bukan Islam yang tidak menyusahkan berbanding dengan “Umno yang menyusahkan” parti itu.

“Tolong memberitahu kepada Umno... daripada berkawan dengan yang menyusahkan lebih baik (kami bekerjasama) dengan kaum yang bukan Islam,” katanya.

Terdahulu ahli Jawatankuasa PAS Pusat Hanipa Maidin juga membidas perwakailan yang tidak menghormati demokrasi dan tidak mengikut sunnah Nabi Muhammad apabila cepat melenting setiap kali terdapat pandangan negatif atau bertentangan dengan pendapat mereka yang diutarakan oleh anggota parti.

Hanipa memberitahu, sebagai sebuah parti yang melaungkan hak kebebasan bersuara dan mengikut sunnah Rasulullah, pemimpin parti sepatutnya mendengar setiap pandangan dengan fikiran terbuka.

“Seharusnya menjadikan muktamar untuk mendengar pandangan semua pihak dan bukannya mudah naik marah dan tidak boleh terima pandangan yang negatif atau bertentangan dengan pendapat umum ahli parti,” kata beliau dipetik Bernama.

Penasihat undang-undang itu merujuk kepada tindakan meminta perwakilan dari Jerantut, Pahang Amirruslan Manaf menarik balik kenyataannya pada perbahasan semalam yang mendakwa Perlembagaan PAS diciplak daripada Perlembagaan Umno yang dilakukan penambahbaikan mengikut kesesuaian parti.

Timbalan Pengerusi Tetap Hussin Ismail meminta Amirruslan berbuat demikian kerana pemimpin dan perwakilan tidak berpuas hati dan mempersoalkan kesahihan dakwaan itu.

Hanipa yang turut kesal dengan tindakan beberapa mengejek perwakilan Pahang itu, mendesak kepimpinan memohon maaf kepada Amirruslan.

Hanipa turut mempersoalkan kenapa anggota dan pemimpin PAS perlu melenting dan marah sedangkan perkara itu boleh dibincangkan dan memberikan jawapan pada sesi lain dalam muktamar itu.

No comments: