Friday, June 4, 2010

Negara Bangrap : Pendapat Orang Politik disanggah Orang Ekonomi...

Subsidi bukan punca utama negara jadi muflis

KUALA LUMPUR 3 Jun - Para penganalisis ekonomi berpendapat subsidi bukanlah punca utama yang akan menyebabkan negara muflis memandangkan faedah daripadanya telah mengembangkan ekonomi negara seperti yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Md. Zyadi Md. Tahir berkata, pengumuman perkembangan ekonomi oleh kerajaan baru-baru ini menunjukkan subsidi tidak menjejaskan ekonomi negara.

"Malah beberapa perniagaan tempatan turut memperoleh faedah daripada pemberian subsidi.

"Punca sebenar yang akan menjadikan negara muflis adalah penyelewengan perbelanjaan dan pembaziran dalam aktiviti yang tidak menjana pendapatan.

"Dalam kata lain, penyediaan subsidi merupakan kewajipan kerajaan dalam menjaga keperluan rakyatnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengenai kemungkinan negara menjadi muflis menjelang 2019 jika pemberian subsidi yang dikatakan berjumlah RM74 bilion setahun dikekalkan.

Menurut Md. Zyadi, penarikan subsidi akan mencetuskan inflasi sekali gus memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah serta boleh menjejaskan perniagaan berskala kecil yang kebanyakannya didominasi oleh mereka.

"Ketika ini, subsidi yang diperkenalkan dirasai oleh semua golongan tanpa mengikut keperluan. Golongan berpendapatan tinggi sebenarnya menikmati subsidi ini kerana memiliki kuasa beli yang tinggi," katanya

No comments: