Pindaan ISA Dilulus Peguam Negara
Beliau berkata kesemua pindaan itu diharap dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi ini tetapi masih ada beberapa perkara yang perlu diperkemaskan.
"Pindaan kepada ISA dan akta-akta pencegahan telah siap dibincangkan antara pihak kementerian, Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara. Bagaimanapun ada beberapa perkara lagi yang kita perlu perhalusi berkaitan akta-akta berkenaan sebelum dibawa kepada kabinet," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat antara kementerian, PDRM dan wakil Peguam Negara Datuk Idrus Harun di Parlimen hari ini.
Selain ISA, undang-undang yang akan dipinda adalah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1959, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967 berkaitan perhimpunan.
Pada Mac lepas, kabinet memutuskan pindaan ISA harus dibentang pada persidangan Parlimen bersama-sama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang juga perlu dipinda.
Ditanya mengenai pindaan yang dicadangkan dalam akta-akta tersebut, Hishammuddin berkata ia termasuk hak mengadakan perhimpunan secara aman.
"Jika keadaan aman bagi membolehkan perhimpunan diadakan, tidak ada sebab kita menghalangnya dengan terlalu banyak sekatan (manakala) layanan terhadap tahanan, tempoh penahanan, kuasa menteri...akan disesuaikan ikut keadaan hari ini," katanya.
Beliau berkata kementerian akan terus mendekati golongan berkepentingan termasuk pembangkang dan Majlis Peguam bagi memastikan semua pihak memahami pindaan yang ingin dilakukan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
Hishammuddin juga berkata pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang akan dibentangkan minggu depan, melibatkan aspek penyeludupan manusia serta memperkuatkan lagi undang-undang sedia ada. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment