Tuesday, June 29, 2010

1:40 pengundi baru agenda politik Umno

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) cuba menjayakan agenda politik Umno untuk terus berkuasa di tanah air pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.
Beliau berkata demikian kerana SPR dilihat sengaja membiarkan isu nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak PRU12 lalu adalah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40) berpanjangan.
“Mereka sengaja tak mahu menggunakan daftar automatik. Ini lebih bersifat mahu menyelesaikan agenda politik Umno untuk terus kekal memerintah di Malaysia,” ujar beliau petang tadi selepas mesyuarat berkala Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, SPR sepatutnya boleh menangani masalah mendaftar pengundi baru di kalangan masyarakat Melayu dengan melaksanakan daftar undi secara automatik.
“Sebenarnya SPR boleh mengatasi masalah ini dengan cara yang baik, iaitu melalui daftar secara automatik,” ujar beliau.
Katanya lagi, kenyataan ‘1:40’ yang dibuat oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno itu sebenarnya langsung itu memberi kesan pada sensitiviti rakyat yang nyata menolak politik perkauman Umno.
Ini kerana, beliau berkata, rakyat tidak kira Melayu ataupun masyarakat bukan Melayu sejak tsunami politik PRU12 lalu sudah mulai menerima kuasa politik Melayu yang baru, iaitu kepemimpinan Pakatan Rakyat sebagai teras pada kuasa politik negara.
Sehubungan itu, beliau berkata, PAS serta Pakatan Rakyat mampu menggantikan Umno BN dengan sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu, termasuk para pengundi baru kelak.
“Umno sekarang dalam bimbang, mereka takut hilang kuasa dan mereka takut pengundi baik Melayu atau tidak pergi pada kuasa yang baru, iaitu Pakatan Rakyat,” tegas beliau.
Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu nisbah 1:40 tersebut mencerminkan kegagalan SPR dalam menguruskan urusan pilihan raya di Malaysia.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menyokong cadangan Abdul Hadi supaya daftar pengundi baru dibuat secara automatik.
Beliau turut mempertikai kaedah SPR dalam menyelesaikan masalah pengundi yang bermastautin di luar negara.
“Malahan, ratusan ribu rakyat Malaysia di luar negara sekarang seakan dinafikan hak untuk mengundi disebabkan masalah sulit ini,” jelas beliau.
Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, Pakatan Rakyat bercadang untuk menuntut semula SPR menerima cadangan mereka sebelum ini, iaitu daftar undi secara automatik.
“Ini yang akan kita tuntut dan sekiranya SPR jujur mahu memperkatakan tentang pilihan raya yang adil, telus dan demokratik, maka mereka perlu terima cadangan ini,” ujar beliau.
Bagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula, selain mendakwa Pemuda Umno mendedahkan perangkaan yang palsu, beliau turut mencabar SPR untuk mendedahkan perangkaan yang sebenar berhubung isu nisbah 1:40 tersebut.
“Dari maklumat yang kita dapat, pendedahan Pemuda Umno itu saya fikir adalah tidak betul.
“Maka, kita nak cabar SPR untuk dedahkan angka yang sebenar, jumlah yang didaftar dan peratus penyusutan daftar pengundi baru mengikut bangsa,” ujar beliau.
Dalam perkembangan yang lain, Majlis Pakatan Rakyat mengumumkan untuk menganjurkan konvensyen bersama peringkat kebangsaan pada Oktober ini.
Tetapi, Anwar sendiri tidak memberikan tarikh spesifik berhubung konvensyen tersebut ketika disoal oleh wartawan.

No comments: