Dr M: Abdullah, bukan Najib tolak bina jambatan
Dr Mahathir sebaliknya menyalahkan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana menolak cadangan pembinaan jambatan tersebut.
Dalam coretan di blognya hari ini, Dr Mahathir turut mengemukakan persoalan sama ada Najib terikat dengan janji yang dibuat oleh 'PM kelima' itu.
"Yang menolak pembinaan jambatan ini hanyalah perdana menteri kelima (Abdullah) yang mendakwa rakyat Johor tidak mahu jambatan ini.
"(Sedangkan) tiga hari sebelum kenyataan ini dibuat, timbalan perdana menteri ketika itu, iaitu perdana menteri ketika ini, telah mengesahkan bahawa jambatan berkenaan tetap akan dibina," katanya.
Mahathir juga berkata, persoalan ini ditimbulkannya memandangkan rakyat tertanya-tanya mengapakah “Najib yang penuh berkuasa tidak sanggup meneruskan pembinaan jambatan ini.”
"Apakah beliau terikat janji dengan perdana menteri kelima (Abdullah)? Apakah status janji ini?," soalnya.
"Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini," katanya lagi.
Tambahnya, bekas perdana menteri Singapura Goh Chok Tong juga menyetujui cadangan itu, melalui satu surat yang diterbitkan dalam sebuah buku berjudul "Water Talks - If Only It Could."
"Goh tidak membantah pembinaan jambatan di perairan Malaysia jika itu dikehendaki oleh kerajaan Malaysia," tulisnya lagi.
No comments:
Post a Comment