Tuesday, June 1, 2010

PAC panggil Pos M'sia, Sime Darby jelas kerugian

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuat keputusan untuk memanggil Pos Malaysia Berhad dan Sime Darby untuk menjelaskan kerugian dialami kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu pada minggu kedua persidangan Parlimen akan datang.

azmi khalidPengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid, bagaimanapun berkata pihaknya belum menetapkan siapa yang akan dipanggil.

"Kita buat keputusan untuk panggil kedua-dua syarikat ini memandangkan isu ini mempunyai kepentingan awam.

"Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam kedua-dua syarikat ini, tetapi memandangkan ia kes berprofil tinggi dan mendapat liputan meluas oleh media, jadi kita perlu panggil mereka untuk beri penjelasan ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Sime Darby dilaporkan mengalami kerugian lebih RM1.6 bilion akibat daripada lebihan kos dalam projek kendaliannya, dan berikutan itu, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid, yang kontraknya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan sepatutnya berakhir pada 26 Nov ini, telah diminta bercuti.

Pos Malaysia pula dilaporkan mengalami kerugian RM227 juta sejak beberapa tahun lalu.

Azmi tidak menolak
azlankemungkinan akan memanggil pengurusan Khazanah Nasional Berhad berdasarkan penglibatannya dengan Pos Malaysia.

Ditanya sama ada PAC bersetuju tindakan Sime Darby mengarahkan Ahmad Zubir supaya bercuti, Azmi berkata : "Itu bukan urusan kami. Kami belum merumuskan apa-apa, kami hanya ingin tahu fakta dan apa yang sedang berlaku dalam syarikat itu."

Azmi juga berkata jawatankuasa itu hampir selesai menyiapkan laporan berhubung projek landasan berkembar elektrik kereta api antara Rawang dan Ipoh yang menelan belanja hampir RM1.43 bilion, iaitu 32.9 peratus lebih tinggi daripada nilai kontrak asal.

Ia juga hampir menyiapkan laporan mengenai Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB) berhubung prosedur pelupusan aset oleh syarikat tersebut termasuk rancangannya untuk melupuskan 1,139 unit badan bas yang tersadai di depot bas di Serendah dan Sungai Buaya.

No comments: