Monday, May 28, 2012

Tok Pa risau apabila Kelantan buat lebuhraya


MACHANG: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad yang berkata Kelantan buat lebuhraya sendiri sebagai gimik politik seumpama orang yang sedang risau.

"Tok Pa risau takut Kelantan berjaya buat, sedangkan kerajaan pusat yang kaya nak halang walaupun dah rancang sejak RMK ke 5

"Dia nak risau, risaulah tetapi kita berdoa pada Allah. Moga berjaya buat, berkat sokongan semua," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mustapha selepas majlis perasmian pembinaan Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai di Felcra Berangan Meka Nab dekat sini pagi ini.

Lebuhraya  sejauh 64 km akan dibuat oleh kerajaan negeri berasaskan sumbangan kerajaan negeri, anak-anak syarikat dan orang ramai.

Semalam Mustapha mendakwa Kelantan membuat lebuhraya ini sebagai gimik pilihanraya semata-mata.

Tok Guru Nik Aziz sendiri menyumbangkan RM5,000 wang peribadinya hari ini untuk menjayakan projek ini.

Anak syarikat kerajaan negeri, Ladang Sungai Terah menyumbang RM1 juta manakala syarika Ufuk Budiman menyumbang RM100,000 kepada projek ini.

Di majlis itu, Tok Guru Nik Aziz menyeru semua lapisan masyarakat turut derma atas rasa tanggungjawab dan rasa hak bersama.

"Iapun bertepatan dengan Islam derma yang menggalakkan kita buat jalan selain masjid dan kita akan dapat pahala berpanjangan," katanya.

Menurutnya, sepanjang 22 tahun mentadbir Kelantan, beliau sudah dituduh dengan pelbagai fitnah "termasuk buat jalan pun akan hadapi masalah yang sama."

Exco kerajaan negeri yang menerajui projek lebuhraya ini, Datuk Husam Musa berkata, Kelantan telah dipinggirkan dalam pembangunan negara sejak sekian lama.

Antara projek yang menjadi mangsa adalah projek lebuhraya dan lapangan terbang.

"Anak Kelantan di luar bagaikan didera apabila kepulangan kereka ketika cuti sekolah dan hariraya terpaksa melalui jalan yang sukar kerana kesesakan," kata Husam.

No comments: