Thursday, May 24, 2012

Siapa susah pekerja MAS disuruh cuti 2 tahun ...!!!

Siapa susah pekerja MAS disuruh cuti 2 tahunKUALA LUMPUR- Siapa akan tanggung beban dan kesusahan pekerja MAS yang disuruh mengambil cuti tanpa gaji sehingga dua tahun, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mempersoalkan.
"Berikutan penurunan pendapatan dan penstrukturan semula bagi menjimatkan kos, MAS menawarkan cuti tanpa gaji sehingga dua tahun kepada kakitangannya untuk mengurangkan kos operasi.
"Apa yang dibimbangi ialah bukan setakat tawaran sahaja tetapi akhirnya kakitangan MAS dipaksa mengambil cuti tanpa gaji sehingga dua tahun," kata beliau.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kakitangan MAS yang dipaksa bercuti tanpa gaji pasti akan menghadapi pelbagai masalah dan beban ekonomi berikutan kehilangan pendapatan yang tetap.
"Jika separuh dari kira-kira 20,000 pekerja MAS mengambil cuti tanpa gaji walaupun dalam masa enam bulan sekalipun, ke mana mereka hendak mencari rezeki untuk menyara keluarga mereka?
"Pemimpin-pemimpin Umno boleh kata mereka boleh cari kerja lain atau berniaga, tetapi dengan peluang pekerjaan yang semakin terhad dan perniagaan pula memerlukan modal yang besar, apa yang pasti tindakan itu akan mengakibatkan kesusahan dan penderitaan hidup mereka," kata Salahuddin.
Tambahan pula, tanya beliau lagi, jika 10,000 orang yang disuruh mengambil cuti tanpa gaji selama dua tahun, adakah kesemua 10,000 itu mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk berniaga bagi menampung kos hidup mereka?

Beliau bagaimanapun berharap tawaran sedemikian juga dikemukakan kepada mereka yang berkedudukan tinggi dan "membelasah wang MAS" tanpa sumbangan yang nyata.
"Berapa puluh ribu sebulan diterima oleh penasihat MAS, Tun Abdullah Ahmad Badawi?
"Kalau dia dan orang sepertinya cuti tanpa gaji, banyak wang MAS yang boleh dijimatkan," katanya.
Salahuddin menyifatkan masalah yang dihadapi oleh MAS itu sebahagian besarnya berpunca dari terlalu banyak kepentingan politik dan kroni yang menjadi penentu dasar pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.
"Contohnya, kontrak bekalan makanan kepada MAS, bukan sahaja terlalu mahal dan luar biasa mahal, malah kontraknya memakan masa hingga 25 tahun.
"Tidak ada mana-mana fikiran yang waras yang berani menjangkakan MAS boleh membuat untung dengan keadaan sedemkian," katanya.
Bukan setakat itu sahaja, katanya, kepentingan demi kepentingan terus menguasai pentadbiran MAS sehingga kini.
"Saya diberitahu sukuk peringkat pertama yang dicadangkan diterbitkan oleh MAS sebanyak RM1 bilion pada Jun ini akan digunakan untuk membayar hutang untuk modal kerja (bridging loan) kepada CIMB terlebih dahulu.
"Nampak seperti tolong adik Perdana Menteri dahulu," katanya.
Salahuddin seterusnya mempersoalkan berapa bilion atau trilion lagi wang negara yang akan diperjudikan untuk menyelamatkan MAS setelah syarikat penerbangan nasional itu dimangsakan oleh kepentingan-kepentingan politik mereka yang tidak bertanggungjawab.
"Pernahkah kerajaan menghitung berapa banyak wang yang terpaksa digunakan untuk menyelamatkan MAS?" tanya beliau.
Beliau percaya, jika dibuat perhitungan yang sewajarnya, menubuhkan syarikat penerbangan yang baru lebih menjimatkan dari terus berbelanja besar-besaran untuk menyelamatkan MAS.

No comments: