Sunday, May 6, 2012

Rusuhan Cubaan Gulingkan Kerajaan: Semuga "Doa" Najib Diperkenanan Tuhan



Jika Najib Mubarak, rakyat perlu guling BN’

SHAH ALAM – Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggambarkan tindakan peserta perhimpunan Bersih 3.0 cuba menggulingkan kerajaan dan mahu menjadikan Dataran Merdeka seolah-olah Dataran Tahrir, dengan sendirinya mengiktiraf diri beliau bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Hosni digulingkan menerusi gelombang kebangkitan rakyat 15 bulan yang lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, sekiranya Perdana Menteri menyifatkan langkah mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 sama seperti yang berlaku di Mesir, maka rakyat perlu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Adakah beliau (Najib) merasakan dirinya seperti Mubarak?” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib yang mengatakan perhimpunan Bersih 3.0, yang mendapatkan sokongan pertubuhan bukan kerajaan dan kepimpinan pembangkang di Kuala Lumpur, Sabtu lepas, adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi di mana tindakan itu menunjukkan pihak terlibat tidak menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah.


"Mereka ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan.

"Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik di sini, hari ini.

Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Machang, turut menyangkal kenyataan Najib itu kerana Bersih 3.0 sudah menghebahkan tujuan dan matlamat perhimpunan iaitu mendesak serta menuntut perjalanan pilihan raya yang bersih dan adil.

“Jika beliau (Najib) mengatakan bahawa tujuan perhimpunan diadakan adalah untuk menggulingkan kerajaan, maka sebenarnya beliau mengalami ‘mimpi liar!’,” ujar beliau lagi. -SH

Rusuhan cubaan gulingkan kerajaan: Najib

GUA MUSANG: Perhimpunan badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang berhampiran Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, Sabtu lalu adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu menunjukkan pihak yang terbabit tidak menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah.

"Mereka ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan.

"Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik di sini, hari ini.

Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, berucap di hadapan lebih 30,000 orang yang mula menunggu ketibaan beliau sejak 7 pagi di padang Pusat Sivik itu.

Perdana Menteri berkata, kumpulan tersebut menyalahkan polis yang didakwa menyebabkan tercetusnya kekecohan pada perhimpunan tersebut.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional mencabar kumpulan itu agar bersaing melalui saluran pilihan raya.
"Kepada kumpulan ini, bersainglah di peti undi, kalau anak jantan bersainglah di peti undi.

"Saya tidak nafikan ada sedikit sebanyak kekasaran oleh polis, tetapi perkara ini boleh dielakkan jika mereka hormati undang-undang yang diluluskan Parlimen," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah menawarkan lokasi yang sesuai untuk mereka berhimpun secara aman termasuk di Stadium Merdeka tetapi mereka menolak tawaran itu.

Pada sidang media selepas itu, Najib berkata ada usaha menerusi dalam talian oleh pihak tertentu untuk memaparkan polis menggunakan kekerasan berlebihan dan kerajaan akan menerangkan kepada rakyat perkara sebenar.

"Yang pertama mereka tidak menepati janji mereka. Pada awalnya kerajaan juga nak elakkan (perkara tidak diingini) sebab itu kita tawarkan Stadium Merdeka. Mereka nakkan perbalahan dan apabila ini berlaku, mereka boleh tonjolkan kekasaran polis dan sikap kerajaan yang tidak bertimbang rasa...ini boleh jadi modal politik.

"Sebab itu mereka tolak Stadium Merdeka...padahal (Stadium Merdeka) itulah hasrat mereka sewaktu perhimpunan terdahulu," katanya.

Beliau berkata, dalam perhimpunan itu terdapat dua kumpulan iaitu yang mahu berhimpun secara aman dan yang mahu "hijack' (rampas) perhimpunan bagi tujuan politik serta merancang untuk menawan Dataran Merdeka sekurang-kurangnya sehingga sambutan Hari Pekerja (1 Mei).

"Bagi yang rasional dan tahu kesannya mereka tak sokong perhimpunan itu. Mereka tahu bila ada perhimpunan seperti itu mesti ada perkara tidak boleh dikawal..ada orang yang tak hormatkan undang-undang dan melakukan kekerasan serta budaya samseng," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk membenarkan mana-mana pihak mengadakan perhimpunan aman termasuk -parti pembangkang dan pihak yang tidak menyokong kerajaan tetapi perlu berdasarkan undang-undang yang ada.

"Mesti ambil tindakan berasaskan undang-undang negara. Undang-undang negara luluskan perhimpunan aman...asalkan bertindak mengikut lunas-lunas tersebut tak ada masalah," katanya.
- BERNAMA

No comments: