Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Abdullah Mohd Yusof berkata, pendebat perlu menggunakan pentas esok bagi memperjelaskan pendirian parti masing-masing berhubung isu PTPTN.
“Pendebat perlu menjelaskan mengenai soal pemansuhan PTPTN yang diuar-uarkan oleh pemimpin pembangkang sebelum ini.
“Sebelum ini mereka kata mahu menggunakan duit dari keuntungan Petronas sebagai sumber untuk hapus PTPTN, dari segi idea boleh diterima, tetapi bagaimana pula dengan aspek praktikal?” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Debat PTPTN antara Khairy dan Rafizi akan berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. Ia dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Awani dan Bernama Radio24 mulai 10 malam.
Abdullah berkata, sepatutnya pihak PTPTN juga perlu turut serta bagi menjelaskan isu yang timbul.
“Wakil dari PTPTN perlu ada juga dalam debat itu, jika bukan sebagai pendebat, sebagai pemerhati pun boleh bagi menjelaskan secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Haziq Abdul Aziz, berkata hasil debat itu perlu ada tindakan susulan.
“Kita tidak mahu hasilnya berhenti setakat itu sahaja dan ia memerlukan tindakan susulan supaya kerajaan mahasiswa dapat melihat keikhlasan kerajaan berkaitan isu ini,” katanya.
Yang Dipertua MPP Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ibrahim Hussin, berharap hasil debat itu nanti dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tindakan selanjutnya.
“Perkara seperti kos pentadbiran satu peratus dan isu peminjam PTPTN disenaraihitamkan perlu tindakan segera.
“Jika esok kita mendapat hasil yang baik dari debat itu, ia perlu diajukan kepada Najib supaya mahasiswa dan peminjam PTPTN mendapat manfaat dari tindakan susulan,” katanya.
No comments:
Post a Comment