Friday, May 18, 2012

Bapa Kafir: NST disaman RM1 juta

Harakahdaily

(Laporan NST yang mendakwa Nik Aziz bapak kafir)
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar notis saman kepada semua yang terlibat dengan laporan berita 'Nik Aziz father of kafir'.

Saman pula akan difaikan minggu depan terhadap mereka yang terlibat di New Strait Times dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.

Saman itu dibuat ekoran kegagalan kedua dua pihak memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa kafir” dalam tempoh yang diberikan.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan Hisham Fauzi (gambar) berkata, pihaknya kini sudah menyiapkan sepenuhnya dokumen dan dijangka memfaikan saman tersebut Isnin depan.

"Minggu depan kita akan faikan saman terhadap kedua-dua pihak tersebut, dan kita jangka ianya boleh dibuat Isnin ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sebelum ini, pihaknya telah memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu.

Bagaimanapun tiada sebarang respon daripada Rahim malah beliau tampil menafikannya pula.

Isnin lalu pula, pihaknya menghantar notis saman kepad NST dengan memberi tempoh 48 jam untuk akhbar milik Umno itu memenuhi tuntutan.

Selain New Straits Times (NST), notis saman itu turut menamakan Ketua Editor NST serta tiga orang wartawan yang terlibat dengan berita itu iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean dan Nik Imran Abdullah.

Notis itu antara lain menuntut NST menyiarkan penarikan balik dan permohonan maaf di muka hadapan akhbar itu, manakala enam kali dalam muka yang lain.

Mereka juga menuntut disiarkan satu muka penuh sama permohonan maaf itu di akhbar Berita Harian ataupun Utusan Malaysia.

Selain itu, turut dituntut bayaran RM1 juta sebagai gantirugi penyelesaian luar mahkamah.

No comments: