MEMORANDUM PENEROKA FELDA KEPIS NEGERI SEMBILAN ADUAN KEPADA SUHAKAM MASALAH TANAM SEMULA LADANG PENEROKA
MUQADDIMAH
Program tanam semula ladang getah peneroka Felda Kepis melibatkan seramai 340 orang peneroka. Majoriti peneroka menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak pengurusan Felda atas kepercayaan dan keyakinan bahawa Felda dengan kemampuan dan pengalaman yang ada, akan mampu melaksanakan program tanam semula dengan lebih sempurna dan tersusun. Bagaimanapun, sangat mengecewakan apabila berlaku kelewatan dalam proses tersebut dan timbul beberapa isu yang tidak memuaskan hati para peneroka. Ketelusan dan kecekapan Pengurusan Felda dan kepimpinan JKKR dalam melaksanakan tanggungjawab mereka mula dipersoalkan kerana peneroka menyedari telah berlaku penghakisan terhadap hak mereka secara sistematik dalam proses tersebut.
MUQADDIMAH
Program tanam semula ladang getah peneroka Felda Kepis melibatkan seramai 340 orang peneroka. Majoriti peneroka menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak pengurusan Felda atas kepercayaan dan keyakinan bahawa Felda dengan kemampuan dan pengalaman yang ada, akan mampu melaksanakan program tanam semula dengan lebih sempurna dan tersusun. Bagaimanapun, sangat mengecewakan apabila berlaku kelewatan dalam proses tersebut dan timbul beberapa isu yang tidak memuaskan hati para peneroka. Ketelusan dan kecekapan Pengurusan Felda dan kepimpinan JKKR dalam melaksanakan tanggungjawab mereka mula dipersoalkan kerana peneroka menyedari telah berlaku penghakisan terhadap hak mereka secara sistematik dalam proses tersebut.
LATAR BELAKANG ISU
1. Keluasan tanah ladang getah peneroka yang terlibat dalam proses ini adalah 1474.49 hektar.
2. Pokok-pokok getah di ladang peneroka mula ditebang sekitar bulan September 2010.
3. Seramai 15 orang peneroka menebang sendiri pokok getah mereka dan menjual kayu getah tanpa berurusan dengan Felda. Mereka memperolehi hasil jualan sekitar RM 42,000.00.
4. Sebahagian besar peneroka yang lain seramai 325 orang menyerahkan urusan tersebut kepada Felda hanya memperolehi hasil jualan sekitar RM 30,000.00 hingga RM 39,000.00 sahaja.
5. Berlaku kelewatan yang tidak sepatutnya dalam proses tanam semula pokok-pokok getah peneroka yang bersama Felda.
6. Majoriti peneroka yang bersama Felda dalam program tanam semula menghadapi masalah mendapatkan penyata hutang dan tidak puas hati dengan bidaan harga kayu getah.
PERKARA BERBANGKIT
KELEWATAN TANAM SEMULA
1. Kelewatan menanam pokok-pokok getah di ladang peneroka telah menjangkau setahun lebih jika dikira dari tarikh penebangan.
2. Hingga hari ini, peneroka tidak diberitahu oleh pihak pengurusan dan pentadbiran Felda bila tarikh tanam semula akan dilakukan.
3. Masalah dan kelewatan proses tanam semula kali ini sangat jauh berbeza dengan proses tanam semula felda lain.
4. Program tanam semula peneroka-peneroka Felda berdekatan (Bukit Rokan Barat) berjalan jauh lebih baik dibandingkan dengan Felda Kepis.
MASALAH HARGA JUALAN KAYU GETAH
1. Harga jualan kayu getah bagi peneroka Felda Kepis yang berurusan dengan Felda terlalu rendah. Harga tertinggi yang diperolehi hanya sekitar RM 39,000.00 dan yang terendah hanya RM 30,00.00.
2. Peneroka tidak pernah dimaklum dengan jelas dan terperinci harga sebenar kayu getah mereka yang dibida oleh pihak kontraktor.
3. Peneroka tidak diberikan surat jual beli atau perjanjian yang sah sebelum, semasa atau selepas proses penjualan kayu-kayu getah mereka.
4. Peneroka hanya diberikan wang hasil jualan sahaja tanpa dimaklumkan harga jualan sebenar.
5. Perbandingan dengan peneroka Felda Bukit Rokan Barat menunjukkan hasil jualan kayu getah mereka jauh lebih tinggi hingga mencecah RM 104,000.00 dan yang paling rendah menjangkau RM 98,000.00.
PENYATA HUTANG
1. Peneroka yang menyerahkan proses tanam semula ladang kepada Felda tidak diberikan penyata hutang yang jelas dan muktamad oleh pihak pengurusan Felda.
2.Peneroka telah menghantar wakil mereka untuk meminta penjelasan dari pihak pengurusan Felda berkenaan isu tersebut, tetapi alasan yang diberikan oleh Pengurus amat tidak memuaskan hati peneroka.
3.Hingga ke hari ini pihak pengurusan Felda masih lagi tidak menyerahkan penyata-penyata hutang tersebut kepada peneroka.
4.Peneroka tidak berpuas hati kerana hitam putih hutang-hutang peneroka tidak di beri dan dinyatakan dengan jelas menyebabkan jumlah hutang mereka tidak di ketahui.
PERSOALAN
Kelancaran dan kejayaan program tanam semula ladang peneroka Felda Bukit Rokan Barat serta kemampuan mereka memperolehi harga yang lumayan hasil jualan kayu-kayu getah adalah kerana kebijaksanaan dan keikhlasan pihak Pengurusan Felda dan JKKR Bukit Rokan Barat dalam menjaga kepentingan dan hak peneroka di bawah pentadbiran mereka. Permuafakatan, pertemuan dan perbincangan dengan peneroka dilakukan terlebih dahulu hingga peneroka bersetuju dengan harga tertinggi. Setelah dikemukakan surat jual beli yang sah dan mendapat kata sepakat dari peneroka,barulah proses menebang dan menjual kayu-kayu getah tersebut dilakukan. Mengapa proses yang sama tidak berlaku di Felda Kepis? Mengapa harga jualan kayu getah jauh berbeza sedangkan kontraktornya sama? Mengapa berlaku kelemahan yang sangat ketara dipihak pengurusan Felda hingga berlaku kelewatan yang tidak sepatutnya dalam proses tanam semula ini? Adakah kemungkinan berlaku penyelewengan atau salahlaku di kalangan pihak pengurusan Felda dan JKKR?
TUNTUTAN
1. Peneroka mendesak pengurusan Felda Kepis menjelaskan secara terperinci harga sehektar yang dijual kepada kontraktor.
2. Pihak pengurusan perlu memberi penjelasan yang munasabah mengapa harga jualan kayu getah bagi peneroka Felda Kepis terlalu rendah jika dibandingkan dengan Felda Bukit Rokan Barat.
3.Menuntut Felda menyegerakan proses tanam semula ladang-ladang peneroka yang telah tertangguh sekian lama.
4.Peneroka wajib diberi kebebasan oleh felda untuk mencari pembeli yang menawarkan harga tertinggi untuk jualan kayu getah mereka.
5.Peneroka berhak untuk mendapatkan penyata hutang yang jelas dari pihak Felda untuk mengetahui jumlah hutang yang dibebankan kepada mereka.
6.Pihak Felda mesti meneliti memorandum ini dengan saksama dan mengambil segala langkah yang perlu agar segala masalah yang berlaku dapat diselesaikan segera.
7. Siasatan juga perlu dibuat sekiranya terdapat penyelewengan dan salahlaku dalam proses tanam semula ini. Sekiranya terdapat bukti, tindakan keras perlu diambil terhadap mereka yang terlibat.
KESIMPULAN
Peneroka adalah pemilik sah tanah dan ladang manakala Felda hanya sebagai agen pengurusan sebagaimana kehendak asal GSA (Group Settlement Area Act) yang dibentangkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak (mantan Perdana Menteri Malaysia) di Parlimen pada tahun 1960. Oleh itu, sebagai pemilik dan "tuan" ke atas tanah ladang di Felda Kepis, kami mendesak agar segala hak kami dikembalikan dan segala tuntutan didalam memorandum ini dapat ditunaikan segera oleh pihak pengurusan Felda. Kami tidak akan berdiam diri selagi mana masalah ini tidak diselesaikan. Kami akan terus berjuang menuntut hak kami walaupun hingga terpaksa mengheret pihak Pengurusan Felda ke Mahkamah untuk mendapatkan keadilan yang gagal diberikan oleh Felda kepada kami.
"KEMBALIKAN HAK PENEROKA"
………………………………………..
MAD ZIN BIN MAHAT
Pengerusi Badan Bertindak Peneroka (F) Kepis
23 Mei 2012/01 Rejab 1433
*Teks penuh Memorandum Peneroka FELDA Kepos Negeri Sembilan Aduan kepada SUHAKAM masalah tanam semula ladang peneroka, diserahkan pada 23 Mei 2012.
No comments:
Post a Comment