Tuesday, May 8, 2012

Kenyataan Bekas Ketua Polis Negara bukti reformasi pilihan raya takkan dijalankan.


Kenyataan tiga orang bekas Ketua Polis Negara yang menyokong tuduhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan aman “duduk-bantah” Bersih 3.0 merupakan satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan adalah bukti terbaru reformasi pilihanraya tidak akan dijalankan.
Ketua Parlimen DAP dalam kenyataan medianya mengulas berita muka hadapan akhbar Berita Harian hari ini yang memaparkan berita tentang tiga bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, Tan Sri Rahim Noor, dan Tan Sri Musa Hassan yang turut membantu menguatkan tuduhan melulu Najib.
“Hampir setiap hari, rakyat Malaysia dijamu dengan bukti terbaru bahawa tidak akan wujud suatu platform di mana pilihanraya yang berlandaskan proses yang bebas dan adil di Malaysia boleh berlaku,” kata Kit Siang.
Menurut beliau, berita berkenaan menunjukkan bahawa ketiga-tiga bekas Ketua Polis Negara telah dipergunakan untuk memberi justifikasi kepada tindakan keras yang telah digunakan oleh pihak berkuasa sedangkan tidak wujud sedikit bukti pun yang menunjukkan bahawa perhimpunan aman “duduk-bantah” Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan sepertimana yang didakwa oleh Najib.

Ketiadaan bukti itu terlihat pada kenyataan Haniff sendiri yang berkata, “Perlu ada bukti kerana Perdana Menteri tidak boleh membuat andaian semata-mata. Ianya mungkin berlaku dan pasti ada segolongan yang akan melakukan sedemikian untuk kepentingan masing-masing.”
Kata Lim, “Buat pertama dalam sejarah 55 tahun negara ini wujud, sebuah kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri sendiri tanpa mengira bagaimana liar dan tidak masuk akal telah menjadi bukti sahih yang mencukupi untuk tindakan lanjut pihak kerajaan.”
Menurut Ahli Parlimen Ipoh Timur itu lagi, kerajaan Barisan Nasional telah jauh terpesong daripada menjawab lapan tuntutan Bersih 2.0 dalam perhimpunan aman 9 Julai 2011 untuk pilihan raya yang bebas dan adil serta tiga tuntutan tambahan perhimpunan aman “duduk bantah” Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
Berikut adalah lapan tuntutan Bersih 2.0:
1. Membersihkan senarai pengundi berdaftar
2. Mereformasikan undi pos
3. Penggunaan dakwat kekal
4. Tempoh berkempen minima 21 hari
5. Akses media yang bebas dan adil bagi media arus perdana
6. Pengukuhan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor
Tiga Tuntutan Tambahan “Duduk-Bantah” Bersih 3.0 adalah :
1.       Suruhanjaya Pilihanraya mesti meletak jawatan, terutama sekali atas kegagalannya dalam melaksanakan tanggungjawab dan telah kehilangan kepercayaan umum.
2.       Proses pilihanraya mesti dibersihkan sebelum Pilihanraya Umum Ke-13.
3.       Menjemput pemerhati antarabangsa untuk meneliti proses Pilihanraya Umum Ke-13.
Lim mengingatkan bahawa dua daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah ‘akses bebas dan adil bagi media arus perdana’ dan ‘hentikan politik kotor’.
“Rakyat Malaysia sedang menyaksikan ‘politik kotor’ yang paling teruk dalam sejarah 55 tahun negara ini dalam rangka menuju Pilihanraya Umum Ke-13.
“Ia mendapat tempat di dalam media arus perdana dan diberi kebebasan yang dinafikan bagi pihak-pihak lain yang bertanding dan mempunyai kepentingan terhadap pilihanraya yang bebas dan adil.”

No comments: