Mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu hanyalah satu manifestasi terhadap kebimbangan Umno dan BN menjelang PRU13.
"Mahathir telah menyatakan kami tak yakin menang dalam PRU13 akan datang adalah satu tanggapan yang salah dan itu hanya ingin menutup kerisauan pada ahli Umno dan BN sendiri," kata Salahuddin lagi ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Kelmarin, Dr Mahathir dipetik berkata, pembangkang jelas tidak mempunyai keyakinan untuk menang dalam PRU13 menyebabkan mereka melemparkan pelbagai tuduhan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan sedia ada zalim dan perlu digulingkan.
Dr Mahathir berkata, pembangkang sudah banyak kali berdepan dengan kekalahan malah sejak negara ini merdeka, mereka tidak pernah menang di peringkat pusat.
"Sebab itu mereka mahu bersedia, kalau kalah kali ini (PRU13), mereka akan cetuskan huru-hara, buat demonstrasi dan desakan yang kononnya kerajaan menipu untuk menang.
"Ini memang pendekatan pembangkang yang bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui demontrasi, bahkan Nik Aziz (Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat) sendiri turut mengatakan bahawa demontrasi ini halal," katanya.
Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubanhg Kerian berkata, masyarakat sudah lebih celik politik dan dapat menilai pemerintah yang layak dalam mengemudi negara ke arah yang lebih baik seperti yang dituntut Bersih 3.0.
"Kebangkitan rakyat yang ditunjukkan melalui perhimpunan Bersih 3.0 yang berkumpul tanpa mengira kaum pada April lalu jelas menggugat dan memberi ancaman kepada Umno," kata Salahuddin.
Perhimpunan Bersih 3.0 yang dianjurkan oleh NGO, didakwa dihadiri lebih seratus ribu orang dari seluruh pelusuk negara telah mengundang pelbagai reaksi ekoran insiden ganas.
"Kami telah meminta untuk ditubuh satu pasukan suruhanjaya bebas bagi menyiasat siapa dalang di sebalik insiden tersebut dan masyarakat boleh menilai sendiri melalui video yang dirakam dan muat turun dalam mana-mana laman sosial," tambah Salahuddin lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, "kita tidak tahu siapa yang akan menang dalam PRU13 nanti sehingga semua undi dikira dan diumumkan kepada semua."
"Mahathir tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu dan beliau hanya memperlihatkan kebimbangan Umno dalam meraih undi dalam PRU13 akan datang. "Jika benar Umno tidak bimbang mengapa Parlimen masih belum dibubarkan sehingga hari ini dan jika masih mencari masa yang sesuai, Umno akan menjadi seperti telur di hujung tanduk," kata Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua juga melahirkan pandangan yang seiring dengan rakannya.
"Saya merasakan kenyataan Mahathir adalah tidak berasas dan tidak mempunyai bukti kukuh mengaitkan demonstrasi Bersih 3.0 sebagai cara untuk menjatuhkan kerajaan.
"Manakala usaha memburukkan imej polis adalah satu klasifikasi yang jauh berbeza dengan untuk menggulingkan kerajaan," kata Ahli Parlimen penggal pertama ini.
"Suruhanjaya Pilihan Raya haruslah telus dan adil dalam setiap PRU dan menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan betul, serta mereka perlulah bebas dari mana-mana badan politik. "Kewujudan perhimpunan Bersih bukanlah bertujuan untuk meraih undi dan menjadikannya sesuatu yang boleh menggugat keamanan negara tetapi adalah untuk menuntut lapan perkara yang disebutkan sebelum ini," tambah wakil rakyat kawasan Batu.
No comments:
Post a Comment