Monday, May 28, 2012

Kerajaan mesti bertanggungjawab, bayar pampasan – Ibu mangsa rempuhan

PUTRAJAYA 28 Mei: Tujuh sekawan yang mahu menyaksikan acara lumba kereta semasa Himpunan Sejuta Belia yang berlangsung 23 hingga 27 Mei lalu meninggalkan sejarah hitam kepada Fairuz Jalaludin, 27, yang mengalami kecederaan kritikal di bahagian organ dalamannya.
Fairuz antara tiga mangsa lain yang masih kritikal sementara dua lagi rakannya, Muhamad Iskandar Rasiq Shaari, 20, mengalami masalah di bahagian usus dan Ami Nakim, 27, patah kedua-dua kaki dan tangan. Kesemua mangsa dirawat di Hospital Putrajaya.
Fairuz yang bakal melangsungkan perkahwinan Februari tahun depan terpaksa melakukan pembedahan membuang limpa ekoran rempuhan kuat kereta sehingga mengakibatkan limpanya hancur.

Menurut ibunya, Hamidah Zainal Abidin, 51, beliau yang hanya mengetahui lebih kurang jam 1.00 pagi Ahad lalu selepas diberitahu sendiri oleh tunang Fairuz terus bergegas ke hospital.
“Apabila dapat panggilan, mak cik tak boleh gambarkan perasaan risau, bimbang dan takut.
“Mak cik langsung tak boleh tengok gambar dia, sedih sangat. Pak cik pulak tak boleh langsung tengok orang kemalangan,” katanya ketika ditemui di hospital hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan N Surendran menziarah Fairuz di bilik rawatan.
Bagaikan mimpi ngeri melihat keadaan Fairuz terlalu kritikal kerana terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), membuatkan Hamidah yang bekerja sebagai guru tadika terlalu sebak memikirkan masa depan anaknya.
“Mak cik daripada malam itu terus berjaga, tak boleh tidur, makan pun tak ada selera, risau sangat. Kaki belah kirinya juga terkoyak, tapi dah dijahit.
“Semua limpa dia kena buang sebab doktor beritahu limpa dia hancur. Akibat itu, pertahanan badannya tidak kuat. Dia juga terpaksa bergantung kepada antibiotik selama tiga tahun,” katanya sebak.
Tegas Hamidah, beliau mahu kerajaan dan penganjur bertanggungjawab serta membayar pampasan.
“Mak cik nak penganjur tanggung segala kos dan kerajaan bayar pampasan kepada anak mak cik. Kerajaan mesti bertanggungjawab sebab mereka yang anjur.
“Semalam, Menteri (Datuk Seri Shabery Cheek) hanya datang melawat, beliau tidak beri jaminan apa-apa pun. Hanya tanya keadaan Fairuz sahaja,” kata ibu anak empat itu.
Dalam pada itu, beliau turut kecewa dengan tindakan penganjur yang tidak habis-habis menyalahkan anaknya yang didakwa tidak mengikut arahan.
“Dia (kerajaan) salahkan budak-budak ni, tapi bagi mak cik, pihak penganjur kena bertanggungjawab dari segi keselamatan.
“Penganjur ada datang hari Sabtu dan Ahad, tapi mereka salahkan anak mak cik yang tidak ikut arahan, tapi bila mak cik tanya kawan-kawan dia, mereka cakap penganjur tak bagi apa-apa arahan pun,” kata Hamidah lagi.

No comments: