ambiga KUALA LUMPUR - Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga, yang berhadapan dengan saman kerajaan menuntut gantirugi RM122,00 bersama sembilan yang lain, menegaskan pihaknya bersedia untuk menghadapi kes itu.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya juga menerima sumbangan dan sokongan moral daripada rakyat untuk menghadapi kes saman, yang notisnya diterima semalam.

"Kami telah mendapat banyak sumbangan daripada orang ramai untuk membiayai tuntutan gantirugi oleh kerajaan.

"Kami juga mendapat tawaran daripada ramai peguam untuk membela kami," kata beliau pada sidang media di sini, petang ini.

Ambiga juga berkata, setakat hari ini hanya beliau dan ahli Jawatankuasa bersama Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah telah mendapat notis saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu.

Ambiga dan sembilan yang lain disaman oleh kerajaan yang menuntut gantirugi RM122,000 ekoran perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan di ibu negara 28 April lalu.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said berkata, segala sumbangan yang diberikan perlu dibekukan terlebih dahulu kerana mahu berbincang cara yang sebaiknya bagi mengelakkan ketidakteraturan dalam penerimaan sumbangan.

"Buat masa ini, kami nasihatkan sumbangan yang diberikan dibekukan terlebih dahulu kerana tidak mahu wang itu datang secara bersepah.

"Kami akan fikirkan cara yang terbaik untuk mengutip sumbangan tersebut," kata Samad.