PADA
Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu, Barisan Nasional (BN) memperolehi
50.28 peratus undi popular berbanding Pakatan Rakyat (PR) dengan 49.71
peratus. Perbezaan sekitar 290,000 undi iaitu BN dengan 4.08 juta undi
dan PR dengan 3.79 juta undi telah menafikan kerajaan majoriti 2/3 BN di
Parlimen untuk pertama kali dalam sejarah sejak PRU pra kemerdekaan.
Namun dengan kelebihan geopolitik PRU berasaskan sistem ‘First Past The Post’, BN kekal menjadi kerajaan dengan majoriti mudah 63 peratus setelah memenangi 140 daripada 222 kawasan parlimen.
Momentum yang
sama dijangka berulang menurut dapatan terbaru Pusat Kajian Demokrasi
dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) berdasarkan survei terhadap
1,409 responden pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013. Ini
adalah edisi keempat kajian serupa yang dijalankan kali pertama sejak
Disember 2011.
“Setakat ini
BN masih mendahului dengan sokongan 42 peratus berbanding PR dengan
sokongan 37 peratus responden yang berdaftar sebagai pemilih. Namun
terdapat 21 peratus responden masih belum membuat keputusan dan mereka
akan menentukan siapa yang akan menang dalam PRU-13,” kata Pengarah
UMCEDEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.
Jika dilihat
kepada edisi kajian sebelumnya sebenarnya BN masih mempunyai kelebihan
dari segi mengekalkan sokongan sedia ada iaitu 44 peratus pada September
2012, 49 peratus pada April 2012 dan 43 peratus pada Disember 2011.
Walau pun
sokongan kepada PR dilihat meningkat berbanding 30 peratus, 21 peratus
dan 18 peratus pada tempoh masa sama tetapi ia sebenarnya ditampung oleh
pemilih atas pagar yang semakin berkurangan daripada 26 peratus, 30
peratus dan 39 peratus. Dalam erti kata lain BN mempunyai kelebihan
daripada penyokong tegar mereka berbanding PR dengan penyokong
berubah-ubah.
Kajian
terbaru ini juga mengubah pola sokongan pemilih kepada calon iaitu 48
peratus berbanding parti 47 peratus. Sebelum ini label parti lebih
menguasai iaitu 52 peratus berbanding calon 40 peratus (September 2012),
51 peratus berbanding 37 peratus (April 2012) dan 54 peratus berbanding
40 peratus (Disember 2011).
Ini bermakna
bahawa selagi BN dan PR belum memuktamadkan senarai calon mereka maka
kedudukan hampir seri itu belum boleh disahkan dalam bentuk undi. Malah
jika PR tersalah meletak calon tidak mustahil mereka akan mengulangi
kesilapan BN yang menang besar pada PRU-11 tetapi kalah teruk pada
PRU-12 berikutnya. Kedua-duanya menjadi rekod bersejarah BN.
Faktor
kekuatan calon dapat dilihat dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada
2010. BN yang berani menggugurkan bekas penyandang selama empat penggal
sejak 1990, Datuk Palanivel Govindasamy yang ketika itu adalah
Timbalan Presiden MIC kemudian berjaya merampas semula kerusi yang
terlepas ke tangan PKR pada PRU 2008 melalui Datuk Dr Zainal Abidin
Ahmad.
Allahyarham
Dr Zainal Abidin adalah merupakan bekas Ketua UMNO Hulu Langat selama 14
tahun dan Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999. PKR yang kemudian
menurunkan calon daripada pusat, Datuk Zaid Ibrahim yang baru 10 bulan
melompat parti daripada UMNO nyata tidak dapat menyambung penggal
berbaki 3 tahun itu. Zaid adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana
Menteri dan Ahli Parlimen Kota Bharu.
Najib atau Anwar?
Amalan
tradisi BN meletakkan penyandang Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk
memperbaharui mandat sebagai Perdana Menteri (PM) dan PR pula telah
memuktamadkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM jika memenangi PRU
kali ini.
Ia adalah
signifikan apabila pesaing mereka dalam gabungan parti masing-masing
iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin sekadar menjadi calon popular kepada 22
peratus dan tidak popular kepada 42 peratus manakala Datuk Seri Abdul
Hadi Awang popular 26 peratus dan tidak popular 46 peratus.
Justeru,
calon pilihan PM pasca PRU-2013 hanya ada dua iaitu sama ada Najib dari
BN atau Anwar dari PR. Tiada pesaing yang lain. Ini bukan bermakna
bahawa Muhyiddin dan Abdul Hadi ditolak sebagai PM tetapi pemilih mahu
PRU kali ini menjadi medan pertarungan pengaruh antara Najib dan Anwar.
Sebagai
Perdana Menteri sudah tentunya Najib terdedah dengan lebih banyak
kritikan dan berdepan dengan ‘pasang surut’ sokongan kerana polisi dan
dasar kerajaan dari semasa ke semasa. Sebagai penyandang Najib masih
mendahului dengan populariti 43 peratus berbanding pencabarnya Anwar
dengan 42 peratus.
Sungguh pun
populariti kedua-dua tokoh politik ini hampir sama dengan perbezaan 1
peratus tetapi jumlah ketidak-popularan mereka berbeza 10 peratus. Anwar
nyata lebih tidak disukai oleh 30 peratus berbanding Najib oleh 22
peratus. Namun 35 peratus dan 29 peratus lagi masih belum membuat
keputusan sama ada Najib atau Anwar menjadi pilihan mereka.
Jika profil
responden diperinci maka Najib disokong sebagai PM oleh kaum Melayu dan
golongan wanita sementara Anwar disokong oleh kaum Cina dan generasi
muda. 46 peratus Melayu menyokong Najib berbanding Anwar 34 peratus
sementara 61 peratus Cina menyokong Anwar berbanding Najib 35 peratus.
Bagi pemilih yang bakal mengundi kali pertama, Anwar disokong 52 peratus
berbanding Najib 30 peratus.
Menyedari
hakikat ini, maka tidak ralat apabila melihat Najib menjadi Perdana
Menteri pertama mengunjungi sambutan Tahun Baru Cina kumpulan pendesak
pendidikan Cina, Dong Jiao Zong sementara Anwar pula memperkenalkan
Agenda Wanita Malaysia (AWM).
Isu Main Peranan
Kajian
terkini UMCEDEL ini juga mengesahkan bahawa rakyat Malaysia masih
tertarik dengan tawaran material terus kepada rakyat daripada kedua-dua
belah pihak. 75 peratus bersetuju bahawa pemberian bantuan secara
berkala seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Teksi Rakyat 1 Malaysia
(TR1M ) dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M). Malah Bajet 2013 yang
memanfaatkan rakyat turut mencatat persetujuan 55 peratus.
Begitu juga
dengan PR yang menjanjikan penurunan harga minyak dipersetujui 57
peratus, pemansuhan PTPTN 60 peratus dan penurunan harga kereta 50
peratus. Dijangka menjelang bulan terakhir PRU lebih banyak tawaran
lumayan termasuk terbaru pendapatan isi rumah minimum RM4,000 oleh PR
dan kenaikan BR1M kepada RM1,000 oleh BN.
Inisiatif
program transformasi kerajaan seperti Klinik 1Malaysia dan Kedai
1Malaysia didapati meningkatkan sokongan sehingga 73 peratus kepada BN.
Kejayaan BN menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur sejak
kemerdekaan pula mencatat darjah persetujuan 61 peratus sementara janji
PR untuk mewujudkan kerajaan baru yang bersih dan amanah mendapat
sokongan 57 peratus.
Sungguh
begitu, 78 peratus percaya bahawa isu integriti dan penyalahgunaan kuasa
pemimpin BN, 62 peratus isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), 61
peratus isu Loji Pemprosesan Nadir Bumi (LYNAS), 51 peratus kegagalan
mengurangkan kadar jenayah dan 55 peratus isu sudah terlalu lama
memerintah Malaysia antara isu yang boleh menjejaskan sokongan kepada
BN.
Bagi PR pula,
59 peratus percaya bahawa percanggahan pendapat di kalangan pemimpin
dan 44 peratus kelemahan pentadbiran negeri boleh menjejaskan peluang
PR.
“Bagi BN
isunya ialah integriti seperti skandal Deepak Jaikishan dan NFC
sementara PR isunya ialah perbalahan seperti Hudud, nama Allah dan
pembahagian kerusi. Walau mereka memiliki pandangan berbeza terhadap BN
dan PR tetapi menekankan perkara pokok yang sama iaitu tadbir urus,”
ulas Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya itu.
Undi Atas Pagar Penentu
Dalam suasana
yang nampak seimbang, iaitu kekuatan BN dan Pakatan hampir setara,
tumpuan wajar diberikan kepada kelompok 21 peratus yang masih belum
membuat keputusan. Walau pun angkubah ini adalah kuasa ketiga dan
kelompok minoriti berbanding partisan 42 peratus dan 37 peratus tetapi
tokok tambah undi atas pagar ini mampu menentukan kemenangan melalui
majoriti mudah.
“Parti yang
menguasai golongan 21 peratus ini akan berpeluang untuk memenangi PRU
kali ini. Kami telah menjejak undi senyap ini dan mendapati profil
mereka terdiri daripada 53 peratus orang Cina, 49 peratus siswazah
universiti, 51 peratus berumur antara 21 hingga 30 tahun dan 48 peratus
pemilih yang bakal mengundi pertama kali,” ujar pensyarah terbaik UM
untuk tujuh kali berturut-turut ini.
Melihat
hakikat ini maka tidaklah memeranjatkan apabila BN dan PR masing-masing
menjadikan 4 kelompok pemilih ini sebagai kumpulan sasaran utama mereka.
Tawaran BN dengan Skim Rumah Pertamaku, rebet telefon pintar 3G dan
Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) sementara PR menjanjikan penubuhan
Sekolah Janaan Rakyat, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC)
Sekolah Menengah Swasta Cina, pengurangan kadar cukai individu dan harga
kereta serendah RM25,000 untuk memenangi hati kumpulan berisiko ini.
Hakikatnya
baik BN atau PR, dasar kerajaan pasca PRU-13 sewajarnya dipandu untuk
kepentingan keseluruhan 100 peratus rakyat Malaysia. Bukan untuk 42
peratus atau 37 peratus, apatah lagi 21 peratus.
No comments:
Post a Comment