Monday, March 11, 2013

PRU-13: Berbaloikah setiap undi kita?


ADANYA pilihan raya bukan bererti tanggungjawab melaksanakan tuntutan demokrasi sudah selesai. Pilihan raya cuma sebahagian kecil daripada proses pendemokrasian. Proses pendemokrasian ini pula adalah wacana yang sangat meluas membabitkan ruang awam, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Dalam keadaan negara yang masih jauh terkapai-kapai merealisasikan erti demokrasi bagi setiap warganya, adalah wajar jika perkara ini dibincangkan daripada sudut yang lebih realistik dalam konteks Malaysia membabitkan kebebasan bermaklumat, kebebasan bersuara, media yang seimbang, pilihan raya yang adil dan bersih, peluang yang sama rata kepada parti politik, hak untuk penerbitan dan berpersatuan sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sudah tentu, segala tuntutan untuk memenuhi syarat demokrasi ini boleh dilaksanakan dengan kesedaran penuh dan tanggungjawab semua pihak. Dalam banyak perkara yang disebutkan di atas, kunci utama kepada pelaksanaan demokrasi negara ini selain melalui pendidikan adalah menerusi pilihan raya.
Tidak dapat dinafi, Malaysia hanya mampu berubah dengan peralihan kuasa politik kerana melaluinya, ia akan membuka ruang yang lebih luas kepada pelaksanaan dasar yang lebih mapan. Kesedaran sivik semata-mata masih tidak mampu merubah struktur masyarakat dan ‘demokrasi terpimpin’ negara ini apabila hujah sering dibalas dengan gas pemedih mata, batu mahu pun telur ayam.
Dengan mengambil contoh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang yang melaksanakan sistem tender secara terbuka; ruang dan peluang berlakunya rasuah hampir sifar. Hasilnya, kerajaan negeri berjaya menjimatkan puluhan juta dana awam dan dapat pula ia dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai insentif dan bantuan kebajikan.
Sebab itu pilihan raya menjadi alat terpenting pokok pangkal kepada perubahan dan pendemokrasian yang lebih holistik. Di sinilah setiap warga yang berdaftar sebagai pemilih berpeluang menyatakan sokongan mereka melalui peti undi. Malangnya, senarai daftar pemilih negara ini sudah lama ternoda.
Pilihan raya tidak akan bersih jika senarai pemilih kotor

Dalam kajian Malaysian Electoral Roll Analysis Project atau Projek Analisa Senarai Daftar Pemilih Malaysia (MERAP) yang diketuai Dr Ong Kian Ming, banyak kelemahan dan keraguan dikenal pasti wujud dalam daftar pemilih negara kita.
Antaranya membabitkan penemuan senarai panjang nama pemilih yang meragukan apabila wujud pertindihan, pemilih yang dilahirkan di luar negara, pemilih yang tidak beralamat, pengundi pos yang berdaftar menggunakan nombor kad pengenalan biasa dan sebagainya. Ini tidak lagi membabitkan pembongkaran RCI Sabah yang mendedahkan bagaimana warga asing diberi kad pengenalan dengan mudah bagi membolehkan mereka mengundi.
Justeru, ramai penyelidik berpandangan untuk mengatasi masalah ini, sistem pilihan raya Malaysia perlu direformasikan sebagaimana yang terkandung dalam lapan tuntutan Bersih. Persoalannya, mampukah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu berbuat demikian?
Antara sistem Proportionate Representation dan sistem First Past The Post
Mendepani isu masa depan demokrasi dan sistem pilihan raya Malaysia, Pejabat Pembangkang Parlimen Malaysia baru-baru ini menganjurkan satu Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum Malaysia ke-13 bertempat di Kelab Diraja Taman Tasik Perdana Kuala Lumpur.
Antara topik yang dibincangkan persidangan ini ialah mengenai reformasi pilihan raya dan demokrasi; ”Way foward: Agenda for electoral and democratic reform”
Tiga panel jemputan yang membahaskan topik ini ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pemimpin Oposisi Kemboja, Sam Rainsy dengan moderator Edmund Bond daripada NGO hak asasi manusia MCCHR.
Perbincangan dimulakan oleh Mustafa yang membayangkan Malaysia mengamalkan Sistem Perwakilan Berkadaran (Proportionate Representation) seperti yang diamalkan negara maju.
Menurutnya, hanya dengan kaedah ini, setiap undi akan lebih bermakna dan tidak sia-sia, “every vote counts”.
Beliau mengambil contoh keputusan Pilihan Raya Umum 1978 di Terengganu. Walaupun ketika itu PAS memperoleh hampir 50 peratus undi, parti itu langsung tidak mendapat sebarang kerusi.
“Anda boleh bayangkan PAS mendapat 48 peratus undi tetapi rakyat tidak mendapat wakil yang mereka mahu, inilah yang selama ini berlaku di Malaysia. Ia tak gambarkan kehendak rakyat yang memilih,” jelas beliau.
Setiausaha Agung PAS itu berkata, sistem majoriti mudah (first past the post) yang diguna pakai di Malaysia kini juga antara yang dikenal pasti sebagai satu daripada punca ramai warga bandar dikatakan tidak mahu berdaftar sebagai pemilih dengan alasan tidak akan ada perubahan yang akan berlaku jika mereka mengundi.
Sejak merdeka, Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya majoriti mudah (first past the post) di mana parti politik yang memperoleh jumlah undi popular tertinggi tidak semestinya akan mendapat kerusi yang wajarnya samada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
Untuk memastikan keadilan setiap undi rakyat Malaysia, Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Pilihanraya (PSC) yang ditubuhkan di Parlimen mencadangkan beberapa syor khusus kepada kerajaan termasuk mengkaji apa-apa sistem pilihan raya lain seperti Sistem Perwakilan Berkadaran (Proportionate Representation) yang semakin mendapat tempat di negara maju.
Dalam perkara yang lain, Ketua Oposisi Kemboja, Sam Rainsy berkata, apa yang diamalkan di Malaysia sama seperti yang diamalkan di negaranya.
Menurut beliau, melalui sistem sedia ada, ia memberi ruang yang luas untuk berlakunya sebarang penipuan dan manipulasi undi. Tambah memburukkan keadaan, agensi yang bertanggungjawab menguruskan pilihan raya negara itu cenderung berpihak kepada pemerintah.
“Di Malaysia dan Kemboja, kita mempunyai persamaan. Kita mempunyai parti politik yang sangat lama berkuasa. Malaysia sudah lebih 50 tahun diperintah manakala di Kemboja pula sudah lebih 30 tahun diperintah oleh sebuah parti politik.
“Lebih malang, di Kemboja, ia bukan sahaja diperintah lama oleh sebuah parti politik tetapi juga oleh seorang pemimpin,” ujar beliau.
Tambahnya, selain persamaan itu, tahun 2013 telah mencipta sejarah di mana pertama kali parti oposisi di Kemboja atau di Malaysia bersatu menentang parti pemerintah buat pertama kalinya.
“Ini kita boleh anggap sebagai satu petanda baik perubahan besar akan berlaku,” katanya.
Guan Eng pula membawa delegasi yang hadir memberi fokus kepada tiga perkara yang menjadi sebab utama BN boleh terus mengekalkan kuasa mereka.
“Tiga perkara ini ialah melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya, senarai pemilih dan permainan politik kotor dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berat sebelah.
Menurut beliau, persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilakukan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir adalah untuk memecahkan undi orang Melayu yang ketika itu dilihat ancaman kepada BN disebabkan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.
“Tahun 1998, isu pemecatan Anwar, BN menang pilihan raya tahun 1999 dengan undi bukan Melayu,” kata beliau.
Selain itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menambah, isu daftar pemilih yang dicemari ‘pengundi hantu’ juga menyelamatkan BN sehingga menjadi rahsia umum yang diperkatakan setiap hari.
“SPR sepatutnya memainkan peranan, memberi keadilan sebagai agensi yang bebas. Perkara ini telah kita bangkitkan dalam lapan tuntutan berssih,” katanya.
Hujah ketiga-tiga ahli panel itu memberi satu kesimpulan jelas. Sistem pilihan raya negara ini perlu direformasi dan dibersihkan samada membabitkan agensi berkait, media massa atau penguatkuasaan peraturan yang tegas.
Walaupun dengan mengekalkan sistem majoriti mudah, kita percaya Malaysia masih tetap mampu memperluaskan pengertian demokrasi kepada semua rakyat. Sebab itu, prinsip ketelusan, keadilan, akauntabiliti dan tanggungjawab harus menjadi pegangan. Di sinilah demokrasi bakal dinikmati bersama.

No comments: