Terlebih dahulu diucapkan takziah kepada keluarga lapan anggota keselamatan yang terbunuh dalam menangani kumpulan pemberontakan Sulu di Sabah. Dilaporkan dua terbunuh di Lahad Datu dan enam terkorban di Semporna setakat ini. Rakyat tentunya sedih dengan pemergian itu, sementara keluarga dan anak-anak mereka terasa lebih kesedihannya dengan kehilangan orang tersayang masing-masing.
Marilah kita menyedekahkan Al Fatihah kepada mereka yang terkorban, semoga mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman di sisi Allah.Walaupun pemberontakan dilaporkan sudah terkawal tetapi memandangkan pemberontak daripada keturunan Kesultanan Sulu ini masih berada di Sabah dan tetap berkeras agar tuntutan mereka dihormati sambil bersedia mengadakan rundingan, hakikatnya kedudukan belumlah 100 peratus selamat lagi. Pertempuran dan pertumpahan darah mungkin boleh berlaku bila-bila masa.
Kita haruslah menyedari bahawa isu yang berlaku di Sabah ini adalah isu keselamatan, bukannya isu politik walaupun Sabah merupakan antara negeri yang sedang menggelegak suhu politiknya. BN dan PR masing-masing sedang berebut untuk mempertahankan sebanyak mungkin kerusi di negeri itu. Dalam pilihanraya 2008, Sabah menyumbang 25 kerusi Parlimen kepada BN daripada 26 kawasan Parlimen yang dipertandingkan.
Tetapi menjelang PRU 13, PR sedang melipatgandakan usaha untuk menawan sebanyak mungkin kerusi di Sabah. Dengan beberapa tokoh utama BN keluar parti dan menyertai pakatan pembangkang, selain pergolakan dalaman politik Sabah sendiri, kedudukan Sabah dianggap kritikal dan tidak lagi "deposit tetap" bagi BN. Ia sudah menjadi simpanan tunai yang boleh mengalir ke mana saja.
Malah ada laporan serta analisa daripada beberapa pihak yang menyatakan Sabah akan menjadi penentu kepada BN dan PR kali ini. Jika BN dapat mempertahankan sebahahagian kerusi Parlimen Sabah, Putrajaya akan menjadi milik mereka, sebaliknya jika tujuh atau lapan kerusi jatuh ke tangan PR, mereka akan menguasai Putrajaya.
Sebab itu, dengan tercetusnya isu pemberontakan di Sabah ini, ia pantas dikaitkan dengan politik melebihi isu keselamatan dan kedaulatan negara. Ramai yang berhati-hati untuk terlalu awal membuat ulasan atau andaian kerana bimbang terperangkap. Cuma ada beberapa tokoh PR yang berani mengandaikan tragedi itu mungkin sandiwara UMNO, mungkin juga cubaan melengahkan tarikh pilihanraya, mungkin pula usaha untuk memastikan Sabah kekal menjadi milik BN dan sebagainya lagi.
Sementara UMNO dan kerajaan memberi amaran agar jangan mengaitkan tragedi itu dengan politik, malangnya mereka sendiri turut galak cuba meraih keuntungan politik daripadanya. Najib dan media arus perdana ternampak cuba menjadikan tragedi ini sebagai medan menyalahkan pihak lain melalui maklumat yang belum dipastikan kesahihannya. Najib sendiri nampaknya lebih serius dan bersemangat memberi ulasan berkaitan dakwaan penglibatan pemimpin pembangkang dalam insiden itu.
Selain cuba membesar-besarkan komen yang diberikan oleh Tian Chua dan mengaitkan Anwar Ibrahim dengan Kesultanan Sulu, isu kelemahan pimpinan dalam mentadbir negara, bagaimana sempadan kita begitu longgar, di mana kelengkapan tentera kita yang canggih, bot laju, kapal marin, kapal selam Scorpene, maklumat perisikan yang kurang lengkap dan sebagainya cuba ditutup dengan keghairahan menuding jari kepada pihak lain.
Malaysia setiap dua tahun menganjurkan LIMA di Langkawi sejak puluhan tahun lalu dan dilaporkan menandatangai pelbagai perjanjian pembelian kelengkapan untuk mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara, tetapi apa yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna sebenarnya menampakkan kita masih belum bersedia secukupnya untuk mempertahankan kedudukan negara kita.
Kehilangan lapan anggota keselamatan dalam tragedi ini memang amat menyedihkan, lebih-lebih lagi pemberontak Kesultanan Sulu bukanlah kerajaan yang berdaulat dan diiktiraf. Sejak kumpulan pemberontak ini mendarat di Lahad Datu, pimpinan kerajaan terlihat sambil lewa, tidak serius dan tidak mendapat maklumat yang tepat mengenainya.
Hishammuddin, Menteri Dalam Negeri dilaporkan oleh beberapa media arus perdana dengan penuh yakin menyatakan kumpulan pemberontak itu bukan pengganas dan kehadiran mereka tidak akan melibatkan pertumpahan darah. Nazri Aziz, menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang pula menyatakan kehadiran mereka tidak menggugat keselamatan negara. Menteri Pertahanan yang menjaga kedaulatan negara, Zahid Hamidi pula lebih banyak berdiam daripada bersuara dalam isu ini. Sekarang lihatlah apa yang berlaku dan bandingkan dengan kenyataan mereka dua tiga minggu yang lalu?
Menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara kita begitu lemah nampaknya. Jika mereka cekap, beriwibawa dan pantas bertindak serta berusaha mendapatkan maklumat yang tepat, mungkin tidak begini jadinya. Kelemahan mereka memalukan negara dan menyebabkan anggota keselamatan terkorban. Mereka berkenaan sepatutnya malu dengan tugas dan peranan selama ini dan dalam masa yang sama selesa menikmati pelbagai kemudahan daripada wang rakyat tetapi gagal menjadi pentadbir yang cekap dan berwibawa.
Bukan saja Najib tidak sesuai lagi berada di tempatnya sekarang berikutan insiden ini, malah menteri-menteri yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara juga nampaknya lebih sesuai menjaga hal ehwal wanita, sukan dan kebudayaan berbanding kementerian yang mereka pegang sekarang.
Kita baru berhadapan dengan pemberontak dari sebuah kesultanan yang tidak berdaulat dan tidak diiktiraf, sudah begini jadinya. Cuba bayangkan dengan pemimpin dan kepimpinan yang ada sekarang jika kita diserang oleh pihak yang lebih gagah dan besar?
Sebab itu rakyat harus melihat tragedi ini merupakan isu keselamatan dan kelemahan kerajaan melebihi isu politik. Jika kita mempunyai pemimpin cekap, berani dan berwibawa, tragedi ini mungkin boleh dielakkan lebih awal. Ini kerana mereka sudah mendarat sekian lama di kawasan itu dan kehadiran mereka sudah menjadi berita di seluruh dunia.
Tragedi ini sepatutnya menguatkan lagi iltizam rakyat Malaysia untuk melakukan perubahan dan menolak kepimpinan yang ada. Mereka bukan saja saja lemah dan tidak berwibawa dalam mengurus hal-hal yang berkaitan dengan rakyat sendiri tetapi juga tidak boleh diharapkan lagi untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Meskipun sudah melibatkan kehilangan nyawa yang banyak, baik di pihak keselamatan negara mahupun di pihak pemberontak yang juga beragama Islam, pimpinan kerajaan masih cuba menjadikannya sebagai isu politik dengan cuba menyalahkan pihak lain daripada menyelesaikan itu tersebut dengan segera. Kita tidak harus kehilangan lebih banyak nyawa lagi.
Sementara UMNO dan kerajaan terus cuba bermain politik untuk menutup kelemahan sendiri, insiden ini seharusnya menguatkan lagi iltizam untuk perubahan. Merubah kerajaan adalah sebaik-baiknya tetapi jika kerajaan yang ada tidak dapat diubah, sekurang-kurangnya pemimpin dan kebanyakan menteri yang ada harus disingkirkan dalam pilihanraya akan datang
No comments:
Post a Comment