Saturday, March 2, 2013

“Saya terkejut, sedih Altantuya mati dibunuh - Bala

BACHOK: Bersaksikan ribuan rakyat Kelantan, bekas penyiasat persendirian, Balasubramanian A/L Perumal  mengakui benar-benar terkejut ketika diberitahu bekas model Mongolia, Altantuya Sharribuu mati dibunuh dengan kejam.

“Saya cukup sedih dan tidak sangka boleh terjadi begitu,” katanya pada penampilan pertama di Kelantan bagi mendedahkan misteri pembunuhan Altantuya yang pernah menggemparkan negara sebelum ini.

Turut mengikut pembongkaran semula misteri tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad, timbalannya, Hassan Mohamood, Naib Yang Dipertua, Abdul Aziz Kadir dan penyelaras Soladariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.

Laluan ke tempat berlangsung ceramah itu di Kompleks Pendidikan Islam di Kampung Badak jem teruk sehingga dua kilometer. Ada juga yang datang dari Terengganu dan pelbagai tempat di Kelantan.

Balasubramanian yang lebih dikenali sebagai Bala memberitahu ketika itu beliau ditugaskan menjaga keselamatan kenalan rapat Datuk Seri Najib Razak, Abdul Razak Baginda ekoran diganggu Altantuya.

Menurutnya beliau pernah menasihatkan penganalisis politik itu membuat laporan polis kerana sering diganggu Altantuya, namun dia enggan kerana mendakwa ada kaitan dengan VVIP.


Katanya, model Mongolia itu datang ke Malaysia bagi menuntut komisyen USD500,000 sebagaimana didakwa pernah dijanjikan Abdul Razak berkaitan urusan pembelian kapal selam Scorpene.

Dakwa beliau berdasar kepada cerita Abdul Razak, Menteri Pertahanan ketika itu pernah berjumpa dengan Altantuya di Paris dan Singapura.

“Altantuya juga memberitahu dia hendak jumpa dengan Najib selepas gagal bertemu dengan Abdul Razak. Selepas merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana Abdul Razak tidak mahu membuat laporan polis, saya memberitahu mahu menarik diri.

“Razak ada menyebut tugas saya hanya bermula jam 7 petang hingga 7 pagi dan sebelah siang akan diiambil alih UTK,” dakwa beliau.

Sebagaimana pernah ditulis dalam akuan sumpah pertamanya Bala berkata, selepas seorang disyaki pembantu Najib datang dengan kereta berwarna biru, kemudian muncul tiga anggota polis berpakaian biasa membawa Altantuya pergi.

Selepas itu Abdul Razak memberitahu dia juga tidak tahu di mana Altantuya berada sehingga sepupunya, Emy datang membuat laporan kehilangan model terbabit.

Menurutnya beliau meninggalkan Malaysia dan menetap di India selepas Najib dilantik sebagai perdana menteri.

“Namun sepanjang menetap sementara di India saya sering mengikuti perkembangan yang berlaku di Malaysia dan pernah membuat kenyataan media di Malaysia Today ketika datang ke Singapura.

“Dan tahun lepas pula saya membuat kenyataan kepada Malaysiakini memberitahu akan pulang ke Malaysia bagi membantu Pakatan Rakyat menjejaki Putrajaya,” ujarnya.

CheguBard yang bertindak sebagai moderator memberitahu misteri di sebalik siapa yang mengarah pembunuhan kejam Altantuya hanya akan terbongkar apabila Pakatan menguasai kerajaan persekutuan.

No comments: