Saturday, January 22, 2011
PRK Tenang: Bukan Islam Terima Baik Cikgu Mala
Normala mampu jadi kekuatan Pas
SENAI - DAP melihat kelebihan bergelar wanita bagi calon Pas, Normala Sudirman yang akan bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, mampu menjadi kekuatan bagi memenangi kerusi berkenaan.
Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata, statistik pengundi yang dikeluarkan bagi DUN Tenang menunjukkan 52 peratus pengundi adalah wanita.
“Cikgu Mala mempunyai kelebihan untuk menarik pengundi memandangkan kredibiliti yang dimiliki sebagai warga pendidik dan mencurahkan bakti di kawasan berkenaan,” katanya.
Justeru, katanya, walau siapa pun yang diletak sebagai calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR) telah menurunkan calon yang memiliki kredibiliti tinggi untuk mendekati hati pengundi dan rakyat.
“Siapa pun dia, bukan menjadi masalah, kerana calon yang dipilih Pas benar-benar layak dan mampu meraih undi,” katanya.
Selain itu, kerjasama daripada jentera parti komponen Pakatan Rakyat (PR) seperti PKR dan DAP sejak dari awal sebelum penamaan calon lagi mampu meraih lebih ramai pengundi.
“Setiap parti komponen akan bekerja keras menggerakkan jentera parti, khususnya ke kawasan pedalaman, dalam mendekatkan parti dengan pengundi,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangan yang akan dilakukan selepas kedua-kedua parti mengumumkan calon, Cheng Hau berkata, perancangan rapi sedang dibuat pucuk pimpinan bagi mengadakan kempen dan ceramah sebaik sahaja tempoh berkempen dimulakan kelak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment