Thursday, January 13, 2011

Peruntukan RM1 juta Untuk Seorang ADUN, PR Mampu Melakukan.


Kerajaan negeri Selangor akan memperuntukkan RM1 juta kepada setiap ADUN Pakatan Rakyat untuk diagihkan dalam tempoh tiga bulan bagi menampung perbelanjaan membaikpulih keperluan asas di setiap kawasan.

"Setiap ADUN diberi peruntukan RM1 juta untuk menggunakan duit itu untuk pemuliharaan jalan, pembinaan jambatan dan parit-parit yang perlu dibetulkan melalui pihak berkuasa tempatan berkenaan. Oleh sebab itu kita mesti membawa pembangunan dari peringkat bawah," kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat exco di Shah Alam, petang semalam.

Selain itu, Khalid berkata, kepimpinan kerajaan Selangor akan memperhebatkan usaha turun padang mendekati rakyat untuk membawa perubahan di peringkat dasar.

Justeru, perancangan komprehensif tiga bulan akan datang akan menentukan pengurusan negeri yang lebih cekap.

Ditanya sama ada pihak pembangkang Selangor akan mendapat peruntukan yang sama, Khalid berkata kerajaan Pakatan Rakyat akan merujuk kepada amalan kerajaan persekutuan.

"Kalau kerajaan persekutuan buat untuk semua ahli parlimen dan kita akan melakukan perkara yang sama. Asalkan mereka buat dulu. Kita lihat dahulu. Bukan kita tidak lihat perkara ini tapi, tunggu dulu. Kita tawarkan. Kita lihat dulu kalau persekutuan dan beri sekata kepada semua ahli parlimen dan kita akan ikut," katanya.

Tahniah Selangor kerana negeri anda mampu memperuntukkan RM1 juta untuk setiap ADUN. Kepada ADUN-ADUN pastikan peruntukan itu dimenafaatkan sebaik-baiknya untuk rakyat. Perakaunan dan Audit perlu dilakukan agar tiada ketirisan.

Dan PR jangan pula berperangai seperti UMNO selepas ini, berebut-rebut untuk menjadi ADUN. Jawatan adalah amanah. Dan bukan saja rakyat memerhatikan kita, Allah juga Maha Melihat apa juga yang kita lakukan apabila amanah itu telah kita pegang.

PR mampu melakukan yang terbaik untuk rakyat. -GB

No comments: