Saturday, January 15, 2011

Peguam, seluruh pimpinan PR pertahan Anwar habis-habisan – Sivarasa

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengekalkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah untuk terus mendengar perbicaraan Fitnah II membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sudah dijangka.
Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah berkata, berdasarkan kronologi kes, keputusan seumpama itu bukan sesuatu yang asing khususnya jika melibatkan perbicaran Anwar.
“Jika kita memahami kes ini betul-betul, tiada satupun bukti yang melibatkan Anwar di dalam kes ini. Jelas ia hanya rekaan untuk memenjarakan semula Anwar dan kami selaku peguam bersama seluruh kepimpinan serta pendokong Pakatan Rakyat konsisten untuk mempertahankan beliau habis-habisan sama ada dari dalam dan luar mahkamah,” katanya kepada Keadilan Daily.
Penolakan rayuan itu dibuat oleh panel tiga anggota yang diketuai Hakim, Datuk Low Hop Bing hari ini yang turut membenarkan bantahan awal serta memutuskan bahawa perkara itu tidak boleh dirayu.
Pada 6 Disember tahun lalu, Mohd Zabidin menolak permohonan pihak pembela supaya beliau menarik diri daripada terus mendengar kes tersebut.
Permohonan itu dibuat ekoran dakwaan bahawa Zabidin mengancam peguam utama Anwar – Karpal Singh dengan tindakan menghina mahkamah, selepas Karpal memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mahu membatalkan hakim tersebut kerana tidak mematuhi keputusan Mahkamah Agung membabitkan usaha peguam Anwar untuk mendapatkan borang proforma yang dirujuk oleh saksi, Dr Siew Sheue Feng.
Walaupun Zabidin menarik balik kenyataannya itu dan kemudiannya memerintahkan Dr Siew dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyerahkan borang proforma yang digunakan sewaktu melakukan pemeriksaan ke atas pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tetapi Karpal masih bertegas dengan tindakan membatalkan hakim tersebut dengan alasan wujud bahaya dan berlakunya berat sebelah.
Berikut merupakan senarai penolakan mahkamah terhadap permohonan Anwar:

1. Anwar pernah membuat permohonan laporan toksikologi dikeluarkan dari bahan bukti atas alasan ianya telah tercemar namun Hakim menolak permohonan Anwar tersebut.
Alasan Anwar membuat permohonan tersebut adalah disebabkan pasukan peguam Anwar mendakwa laporan perubatan itu ‘tercemar’ kerana Dr Mohd Razali merujuk kepada laporan toksikologi semasa pemeriksaan balas sedangkan laporan berkenaan (toksikologi) tidak diserahkan bersama laporan perubatan yang dibekalkan kepada mereka.
2. Anwar memohon agar perbicaraan Fitnah II beliau digugurkan ekoran hubungan romantis antara saksi utama kes, Saiful Bukhari dan salah seorang anggota pasukan pendakwa.
Bagaimanapuan Hakim Zabidin menolak permohonan Anwar tersebut. Adalah menarik dicatatkan di sini di dalam afidavit pihak pendakwa, mereka tidak menafikan atau mengesahkan adanya hubungan ini tetapi mengesahkan Farah dan Saiful tidak boleh akses kepada dokumen.
3. Anwar juga pernah membuat permohonan untuk membatalkan kenyataan bertulis pendakwaraya yang menyatakan tiada fakta memihak kepada pihak pembelaan dalam Fitnah II.
Di dalam permohonannya Anwar memohon perintah perisytiharan bahawa kenyataan bertulis yang ditandatangani oleh Timbalan Pendakwaraya dan diserahkan kepadanya pada 24 Jun lalu tidak menepati Seksyen 51A (1)(c) Kanun Prosedur Jenayah, batal dan tidak sah.
Antara fakta yang didakwa Anwar memihak kepada beliau ialah laporan Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi bertarikh 28 Jun 2008 dan laporan Dr Khairul Nizam Hassan, Mohd Razali Ibrahim serta Dr Siew Sheue Feng dari Hospital Kuala
Bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) memutuskan menolak dengan kos permohonan Anwar tersebut .
4. Anwar sebelum ini memohon Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan keseluruhan keterangan bekas sukarelawan KEADILAN, Mohd Saiful Bukhari Azlan kepada polis dua tahun yang lalu.
Peguam Anwar, Karpal Singh membuat permohonan itu selepas Saiful yang mengadu diliwat Anwar memberitahu Mahkamah Tinggi yang dia tetap dengan pendirian bahawa kejadian liwat yang didakwanya itu adalah tanpa kerelaan dia. Saiful berkata demikian semasa disoal balas oleh Karpal yang mengetuai pasukan pembelaan.
Seperti yang diduga permohonan Anwar tersebut juga ditolak oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin yang menyatakan beliau memutuskan untuk menafikan akses kepada dokumen yang dipohon menerusi Karpal Singh kerana tiada percanggahan dalam keterangan Saiful kepada polis dan di Mahkmah.
5. Anwar pernah membuat permohonan bagi mendapatkan nota klinikal, laporan, spesimen dan maklumat lain disediakan tiga pakar HKL yang menjalankan pemeriksaan perubatan terhadap Saiful bagi pembelaan kes Fitnah II.
Dalam permohonannya, Anwar turut meminta dibekalkan keseluruhan sejarah perubatan Saiful ketika diperiksa pada 28 Jun 2008, borang (proforma) dan peralatan penderaan seks digunakan di HKL serta kelulusan akademik ketiga-tiga pakar terbabit.
Sekali lagi Hakim menolak permohonan Anwar itu dengan alasan tiada peruntukan undang-undang dan asas perundangan yang membolehkan pembelaan dibekalkan dengan dokumen, sampel dan peralatan berkenaan.

No comments: