Wednesday, January 12, 2011

Debat BN-Pakatan: Demam cabar-mencabar bermula

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Demam cabar-mencabar debat menyentuh dasar ekonomi Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mula memuncak dengan pemimpin parti komponen kedua-dua perikatan turun gelanggang untuk menghulurkan jemputan masing-masing.
Sehingga hari ini PAS, Umno dan PKR sudah pun berbuat demikian.
Perkembangan itu dilihat merancakkan lagi ‘deman’ spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-13.
Bermula dengan cabaran Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) kelmarin susulan kenyataan Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan dasar itu, ketua Pemuda PKR mencabar rakan sejawatannya dari Umno agar berdebat dengan beliau, bukannya penasihat mereka.
The Malaysian Insider difahamkan jemputan kepada Khairy Jamaluddin telah dihantar oleh Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin malam tadi.
“Saya mengikuti perkembangan mengenai cabaran debat Datuk Seri Anwar ke atas Perdana Menteri Datuk  Seri Najib mengenai isu isu ekonomi khusus mengenai Pelan 100 Hari Pakatan Rakyat vs Program Transformasi Ekonomi Kerajaan (ETP).
“Sangat mendukacitakan apabila Dato Sri Najib kelihatan berdolak dalih dalam cabaran ini, dengan mengandaikan debat ini sekadar ‘membuang masa’ beliau,” kata beliau dalam tulisan terbaru blognya malam tadi.
Kata Shamsul Iskandar, mungkin beliau kurang arif bahawa budaya debat polisi seumpama ini merupakan amalan puluhan tahun lampau yang diamalkan pemimpin negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.
“Lebih mengejutkan apabila Khairy pula yang kelihatan begitu bernafsu untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar.
“Ini ternyata pelik kerana sudah puluhan cabaran debat yang dikeluarkan oleh Angkatan Muda Keadilan Malaysia kepada beliau tetapi tiada satupun yang bersahut,” katanya.
Shamsul Iskandar menambah, harus diingat bahawa berdasarkan beberapa prestasi Khairy dalam rancangan forum-forum sebelum ini, nyatanya beliau belum sampai ke tahap untuk berhadapan dengan tokoh seperti Anwar.
“Justeru, atas kapasiti Ketua Angkatan Muda PKR saya dengan ini secara rasmi menawarkan platform debat Pemuda satu lawan satu di antara saya dan Khairy, yang saya percaya lebih cocok dan sesuai dengan mengambil kira kapasiti kami selaku ketua sayap pemuda Umno dan PKR,” katanya lagi.
Kata beliau, surat pelawaan rasmi telah dikeluarkan kepada beliau.
“Dan, saya menyeru rakyat Malaysia mendoakan agar beliau tidak berdolak dalih untuk menyahut cabaran debat ini,” katanya lagi.
Jemputan itu dikeluarkan ketika maklumat terbaru diperoleh The Malaysian Insider menunjukkan Penolong Setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdaus dan Ketua Penerangannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan menghantar surat pelawaan Khairy untuk berdebat dengan Anwar.
Ia dijangka akan diserahkan sekitar pukul 10 pagi ini di ibu pejabat PKR dekat sini.
Sementara itu, kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hasan At-Tantawi pula berkata, pihaknya sememangnya telah merancang untuk menganjurkan Forum Janji 100 Hari Kerajaan PR dan BN pada 18 Januari ini di ibu negara.
Bagaimanapun kata beliau, sehingga kini Dewan Pemuda PAS belum mendapat kesanggupan dari pihak Umno dan BN untuk menghadiri forum minggu depan itu.
“Maka saya berharap YB Khairy yang kini beria-ia benar mahu mendebatkan janji 100 Hari kerajaan Pakatan Rakyat sanggup menjadi panel forum tersebut.
“Adapun Anwar Ibrahim, biarlah ia berdepan dengan Datuk Seri Najib,” katanya.
“Insya-Allah, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan menghantar surat rasmi kepada beliau esok (hari ini).
“Pihak kami sangat memerlukan pandangan dari pihak Umno dan BN terhadap Janji 100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat apabila menerima mandat sebagai kerajaan kelak,” kata Nasrudin.
Jemputan tidak rasmi sudahpun dikeluarkan minggu lalu kepada Khairy.
Menurut beliau, forum itu bertujuan mencari kebenaran, bukannya mencari publisiti murahan jauh sekali untuk bertegang urat.
“Sebaliknya ia adalah medium yang disediakan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk mengemukakan hujah dan idea yang bernas serta ruang kritikan atau pandangan kedua terhadap Janji 100 Hari Pakatan Rakyat,” kata beliau.
Dalam melahirkan pendiriannya mengenai cabaran Anwar, semalam Najib mengetepikan cabaran ketua pembangkang yang mengajaknya berdebat dengan beliau berhubung dasar-dasar ekonomi BN dan PR.
Anwar membuat cabarannya semalam ekoran kecaman Najib mengenai inisiatif PR itu kelmarin.
Anwar membalas dengan berkata, PR mampu untuk membiayai Program 100 Hari mereka yang hanya memerlukan dana RM19 bilion.
Najib enggan mengatakan beliau menolak debat itu tetapi menegaskan, harus ada hasil daripada debat yang hendak diadakan.
“Jika kita mahu debat, mesti ada hasil daripada debat itu.
“Saya tidak melihat perkara itu dan apa yang penting ialah pandangan publik,” kata beliau.
Kata beliau, kedua-dua Pakatan dan BN boleh mengemukakan dasar-dasar ekonomi mereka dan ia harus diputuskan untuk orang ramai.
Ekoran cabaran Anwar kelmarin, Khairy pula mencabar Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat agar berdebat dengan beliau daripada mengajak Najib berbuat demikian.
Khairy melihat ketua pembangkang itu bukan standard Najib yang juga presiden Umno dan Pengerusi BN.
“Saya tidak akan menahan beliau (Khairy daripada berdebat),” kata Najib.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pula mencabar Anwar berdebat dengannya mengenai Apco Worldwide sebelum membuat cabaran berdebat dengan Perdana Menteri.

No comments: