Monday, April 11, 2011

Umno lebih minat isu lucah daripada bela kematian rakyat

SHAH ALAM: KEADILAN Selangor kesal kerana Umno Barisan Nasional (BN) mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk kes video seks fitnah tetapi tidak mengulangi kesungguhan sama dalam kes kematian kedua melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei pada kenyataan media, berkata perbuatan pimpinan Umno BN itu menyedarkan rakyat khususnya kaum Melayu betapa mereka lebih berminat isu lucah berbanding soal kepentingan awam.
“Berbeza dengan sikap proaktif Umno BN dalam menyiasat isu video lucah hingga sanggup mencadangkan Suruhanjaya Diraja (RCI), kelembapan kerajaan terhadap kes kematian Allahyarham Ahmad Sarbani, menyedarkan rakyat Melayu,” katanya.

Shuhaimi berkata, sikap berdiam diri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri  Aziz terhadap kematian terbaru itu membuktikan mereka hanya berminat dalam memperjuang isu yang membantu mengekalkan mereka berkuasa lebih lama.
“Persoalan mengapa tiada RCI dalam kes ini, kes Altantuya Shaaribuu dan khalwat di Port Dickson (yang melibatkan pimpinan negara) memperkukuh tanggapan rakyat betapa Umno BN hanya berminat terhadap isu yang melanjutkan jangka hayat mereka,” katanya.
Sedangkan, beliau berkata, prosedur siasatan yang lebih selamat untuk SPRM dan polis dapat diwujudkan jika kerajaan Umno BN menubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat kes kematian tertentu.
“Malah, langkah itu akan menjadikan mereka lebih senang didampingi masyarakat,” kata Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Seri Muda.
Ahmad Sarbani adalah Penolong Pengarah Kastam Selangor yang ditemui mati di pejabat SPRM selepas jatuh dari tingkat tiga bangunan pejabat itu di Jalan Cochrane.
Ia adalah kematian kedua melibatkan siasatan SPRM selepas kematian Teoh Beng Hock di pejabat SPRM di Plaza Masalam Shah Alam dua tahun lalu.
Shuhaimi berkata, KEADILAN Selangor juga masih tertunggu-tunggu arahan Peguam Negara kepada polis untuk mengarahkan ‘Datuk T’ ditangkap kerana menyiar tayangan lucah kerana mereka mendakwa ‘bebas dari pengaruh Umno’.
Trio ‘Datuk T’ yang terdiri daripada Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay, dan Shuib Lazim bertanggungjawab mengadakan tayangan video fitnah kepada media tempatan tiga minggu lalu.
Video itu memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim disebar bertujuan  menghalang kemaraan Pakatan Rakyat pada pilihan raya negeri Sarawak, selain cuba menghancurkan karier politik Ketua Umum KEADILAN itu.

1 comment:

daur ulang /richardo sitompul said...

mau mampir dulu...ningglain jejak.

http://www.youtube.com/watch?v=8OZF_N882qE

http://www.youtube.com/watch?v=Yfl_lCPINwA