Friday, April 29, 2011

Sumpah Laknat - Eskay Pegang Quran Terbalik Dan Dilarang Fitnah Anwar

Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay hari ini melafaz sumpah laknat dengan memegang naskah Al-Quran terbalik, sebelum diperbetulkan oleh seorang pendakwah bebas di Masjid Amru Al-As Sentul petang tadi.

Beliau bagaimanapun gagal mncapai hasrat mengambil sumpah bahawa Anwar adalah pelaku dalam video lucah yang ditayangkannya selepas dinasihati oleh pendakwah Firdaus Supri mengenai nas-nas Islam.

"Saya nak beritahu, sumpah ini tidak boleh digunakan dalam menuduh seseorang berzina kerana ia tiada dalam syariat Islam," kata beliau kepada Eskay sebelum menyerahkan senaskah buku mengenai hukum Qazaf kepada ahli perniagaan itu.

Firdaus kemudian membetulkan cara Eskay memegang Al-Quran sebelum ahli perniagaan itu menyempurnakan sumpah laknat bahawa beliau ada dalam rakaman video lucah yang diedarkan menerusi Internet sejak 4 April lalu.

Eskay, bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim hadir di masjid itu memakai baju kalis peluru seolah-olah keselamatan mereka terancam.

Rahim semalam berkata beliau dan Shuib telah mewakilkan Eskay untuk membuat sumpah laknat itu bagi pihak mereka.

Terdahulu, Pengerusi Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul, Abdul Razak Hussin mengesahkan bahawa majlis sumpah laknat itu dibatalkan apabila gandingan Datuk T itu tidak hadir.

Selesai upacara mengangkat sumpah laknat, tiga Datuk T itu bergegas meninggalkan masjid tanpa menjawab soalan pemberita.

Terdahulu keadaan selepas solat Jumaat menjadi kecoh seketika apabila sekumpulan jemaah memasuki ruang solat dan menuntut penangkapan Eskay kerana menabur fitnah bersabit video lucah itu.

Hadir bersama mereka adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan Samsul Iskandar Md Akin.

Shamsul Iskandar Md Akin berkata Eskay memperalatkan sumpah laknat dan membelakangkan hukum Qazaf yang jauh lebih sesuai untuk kes-kes fitnah.

AMK telah menfailkan pertuduhan Qazaf terhadap Datuk T, kerana menfitnah Anwar dan isterinya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Shamsul kesal kerana pihak berkuasa Islam seolah-olah merestui sumpah laknat Eskay.

"Saya hairan dengan kehadiran pegawai Jawi sedangkan penyiasatan dikatakan sedang dilakukan oleh Jawi tentang kes Qazaf saya.

"Ini bukan caranya, kita ada Mahkamah dan (sumpah) ini bukan cara yang betul," kata Shamsul kepada media.


Surah Al-Munafiqun Ayat 1 hingga 4
[1] Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.

[2] Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

[3] (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).

[4] Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya – dari kebenaran)? [Alquran-melayu]

No comments: