Thursday, April 28, 2011

No 2 PAS: Saya bersedia, tapi serah pada perwakilan

KUALA LUMPUR, 29 April — Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu berkata beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden kerana mahu membawa lebih banyak perubahan kepada parti Islam.
Kata Mohamad, selain memberi sokongan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau mahu menggunakan pengaruhnnya untuk menarik rakyat supaya menyokong parti itu.
“Saya bersedia memikul peranan ini untuk bantu presiden supaya parti akan menjadi lebih hebat dan sudah tentu ia bukan hanya untuk mendapatkan sokongan ahli PAS sahaja tetapi lagi orang di luar PAS.
“Perkara ini perlu digerakkan untuk menarik lebih ramai orang di luar PAS untuk sokong parti Islam ini dan saya lihat saya boleh untuk memainkan peranan ini,” katanya pada sidang media di sini.

Ditanya peluang untuk memenangi jawatan itu pada pemilihan PAS Jun ini, Mohamad bagaimanapun berkata terserah kepada perwakilan untuk membuat keputusan.
“Saya tidak tahu, ia terserah kepada perwakilan. Saya sudah pernah menang dan kalah, biar perwakilan membuat keputusan.
“Pertandingan ini tidak akan memecahkan PAS, bagaimanapun saya masih belum buat keputusan rasmi lagi. Kita tunggu senarai pencalonan dulu,” katanya.
Beliau sebelum ini dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata bersedia untuk memikul peranan sebagai timbalan presiden jika itu yang dihasratkan oleh ahli-ahlinya.
Mohamad yang mesra dikenali sebagai “Mat Sabu” berkata, sehingga kini pencalonan diterimanya bagi jawatan timbalan presiden PAS amat menggalakkan.
Beliau pernah mencuba nasib merebut jawatan nombor dua itu pada pemilihan 2009 tetapi tewas mengatasi Nasharudin Mat Isa.
Justeru kata beliau, keputusan untuk bertanding bagi jawatan itu dibuat ekoran pencalonan memberangsangkan dari peringkat kawasan.
PAS akan mengadakan pemilihan parti itu pada Muktamar Tahunan ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Taman Melewar, Gombak awal Jun ini.
Tarikh akhir bagi mengemukakan pencalonan adalah 15 Mei.
Dalam sidang media itu juga, Mohamad meminta agar pelancaran laman Facebook Kelab MohamadSabu.Com yang akan dilancarkan pada 6 Mei ini ditangguhkan.
Ini kerana tegas bekas ahli Parlimen Kuala Kedah itu, beliau tidak mahu laman Facebook itu dijadikan bahan kempen ketika pemilihan parti itu.
“Saya menjadi serba salah sama ada perlu program ini diteruskan atau tidak, ini memandangkan sekarang adalah musim pemilihan PAS.
“Oleh itu saya memutuskan agar program ini ditangguhkan ke satu tarikh selepas pemilihan parti bagi mengelak salah faham dan mengekang budaya yang dilihat tidak sihat dan tidak boleh diterima ahli,” katanya.
Pelancaran laman Facebook Kelab MohamadSabu.Com akan diadakan pada 6 Mei ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

No comments: