KUCHING, 16 April: Pakatan Rakyat  memulakan kerja akhir pilihan raya negeri (PRN) Sarawak hari ini dengan  sasaran untuk menafikan dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dun  Sarawak.
Semua calon-calonnya bergerak ke  tempat mengundi masing-masing dengan penuh ceria ekoran laporan awal  Pakatan mempunyai harapan besar mencapai sasaran itu.
Ketika ada anggaran kerajaan BN  akan jatuh dalam PRN ini, pemimpin Pakatan merendahkan sedikit anggaran  mereka kepada menafikan kuasa dua pertiga BN.
"Saya meletakkan sasaran  menafikan dua pertiga itu sebagai boleh diterima tetapi tidak menolak  untuk menjatuhkan kerajaan BN," kata seorang pemimpin kanan PAS.
Beliau tidak menolak ramalan  yang dibuat oleh Zentrum Future Studies yang meletakkan Pakatan akan  mendapat sehingga 49 peratus sokongan berbanding dengan BN hanya 27  peratus, Snap 20 peratus dan Bebas empat peratus tetapi ramalan itu bagi  beliau terlalu tinggi.

(Gambar:  Pola pengundian berdasarkan anggaran akhir yang dibuat oleh Zentrum  dalam SARAWAK ELECTION (SELECT 2011) - Prediction and Tomorrow?)
Zentrum dalam laporan akhir mereka meramalkan, Pakatan akan mendapat  34 kerusi, BN 19, Snap 14 dan Bebas 4.
"Bagi saya, yang lebih boleh dipercayai buat masa sekarang adalah 28 kerusi untuk Pakatan," kata beliau.
Beting Maro
Sementara itu, wakil  Harakahdaily di Beting Maro, Nazri Abdullah melaporkan, calon PAS Dun  Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus memulakan lawatan ke pusat  pengundian pagi ini di Sekolah  Menengah Beladin.
Beliau yang dilihat ceria dan  bersemangat, tiba di sini kira-kira jam 7.45 pagi selepas mengharungi  sungai dengan menaiki bot dari pengkalan jeti Beladin.
Turut mengiringi beliau ketika  ini, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rakman. Beting Maro  adalah harapan utama PAS untuk menang.
(Gambar: Keluar awal untuk mengundi di Beting Maro. Pengundi berbaris jam 7.30 pagi di Sekolah Kebangsaan Muton)
Abang Ahmad atau lebih dikenali  sebagai 'Abang Handsome' di kalangan penduduk di sini sejak hari  penamaan calon 5 April lalu, kemudiannya akan ke Sek. Keb. Semarang  sebelum meneruskan lawatan ke Sek. Keb. Sepinang.
Beliau yang juga anak tempatan  di sini, turut akan membuang undi di Sek. Keb. Spaoh iaitu selepas  pulang dari Sek. Keb. Sepinang.
Selepas itu, Abang Ahmad akan ke SRJK Cina Pusa, SK Kalok, SK Tambak dan SK Muton.
Dun Beting Maro mempunyai sejumlah 7,868 orang pengundi berdaftar yang akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.
Pada pilihan raya negeri 2006  lalu, PAS melalui calonnya Alem Din tewas hanya dengan majoriti 895 undi  kepada calon BN Bolhassan Haji Di.
Alem mendapat 1,901 undi manakala Bolhassan mendapat 2796 undi.
Beting Maro juga mempunyai pecahan penduduk Melayu Melanau 90.99%, Cina 2.28% dan Iban 6.73%.
Pada pilihan raya kali ini PAS bagaimanapun dijangka mampu merampas kerusi Dun ini.
(Gambar: Calon PAS Beting Maro, Abang Mat [tengah] di atas feri menunju kawasan pengundian)
Sejak hari penamaan calon lagi, banyak pihak menjangkakan PAS boleh menang di kerusi ini.
Selain faktor kemarahan rakyat kepada kepimpinan negeri, ianya juga dibantu faktor calon muda PAS yang juga seorang peguam.
Faktor lain yang dijangka turut  memberi kelebihan adalah perbalahan dalaman BN di sini yang memprotes  calon bukan pilihan mereka, Razaili Gapur.


 
 
No comments:
Post a Comment