Sunday, April 17, 2011

Penganalisis Politik : Najib Mungkin Tunda PRU-13

SHAH ALAM 16 APRIL :Kehilangan 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak mungkin menyebabkan hasrat Perdana Menteri Najib Razak membubarkan parlimen tahun ini, terbantut.

Walaupun berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga, ia belum cukup gah untuk memberi jaminan kepada BN bahawa tampuk kekuasaan akan kekal menjadi milik gagasan itu, kata Penganalisis Politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau ketika dihubungi Tv Selangor menambah, walaupun Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini berkata, PRN Sarawak akan dijadikan inspirasi bagi menentukan pilihan raya umum, namun pada masa kini, Najib perlu memikirkan hal itu sedalam-dalamnya.



"Ramai yang melihat bahawa keputusan PRN Sarawak kali ini, BN tidak akan berani untuk membuat pilihanraya umum dalam masa terdekat. Oleh kerana mereka melihat penentangan segolongan besar pengundi itu masih kekal.

"Dari segi kemenangannya pula saya fikir ia adalah kemenangan yang agak mahal kerana mereka terpaksa membelanjakan banyak dengan membeli secara terbuka di sesetengah tempat," kata Aziz.

"Jadi dalam konteks Sarawak, simpanan tetap itu mungkin lebih sukar lagi kerana ketua menteri yang dilantik itu akan kekal untuk jangka masa tiga hingga empat tahun lagi dan tidak mudah untuk Najib menyingkitkan Taib dengan mudah," tambahnya lagi.

Menurut Aziz, selain perlu memikirkan merosotnya sokongan pengundi di Sarawak kepada BN terutama sekali terhadap Ketua Menterinya, Taib Mahmud, Najib sekali lagi "tersentak" apabila Taib mengumumkan hanya akan bersara "sekitar pertengahan penggal ini".

Taib yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak malam tadi, sekali lagi menzahirkan hasratnya untuk berundur buat kesekian kalinya.

Kenyataan Taib itu bercanggah dengan Najib yang mengumumkan bahawa Taib akan berundur selepas PRN negeri ketika siri kempennya. 

"Dengan kata lain, Taib Mahmud akan terus menjadi liabiliti di Sarawak dalam tempoh dua hingga tiga tahun. Dan pilihanraya  (pula) terpaksa diadakan dalam tempoh  lebih awal dari itu," jelas Aziz, sekaligus mendatangkan masalah kepada Najib.

Oleh itu katanya, kejayaan BN mengekalkan kuasanya di Bumi Kenyalang bukanlah suatu perkembangan positif yang mampu mengekalkan keyakinan rakyat untuk terus setia bersama parti itu.

Dengan kata lain, kemenangan di Sarawak  dengan mengekalkan dua pertiga majoriti bukan semestinya baik kepada BN. Khususnya dari segi menjamin kemenangan dalam PRU 13.

"BN tidak boleh lagi menganggap Sarawak sesuatu yang selamat lagi. Pakatan Rakyat semakin kuat dan diterima kerana ia bukanlah satu andaian kerana ia adalah fakta bahawa mereka sudah semakin diterima sebagai satu entiti yang mantap," jelasnya lagi.

Malah kata Aziz, dapat dilihat ketidaksefahaman antara Najib dan Taib apabila Pengerusi BN itu lebih memikirkan kemenangan kepada BN namun Taib sebaliknya mahu kekal di tampuk pemerintahan tanpa mempedulikan keputusan pilihan raya.

Namun ujar beliau,  apa yang lebih penting ialah perjuangan dan keinginan memuncak rakyat yang mahukan perubahan.

Rakyat Sarawak dilihat mula membuka ruang kepada pembangkang dan ia merupakan petanda positif bahawa masyarakat di negeri Bumi Kenyalang semakin menerima sistem dua parti di negara ini.

Tambah Aziz, menerusi jumlah kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat pada pilihanraya negeri itu semalam, jelas menunjukkan bahawa ia adalah pencapaian yang mampu menggugat kedudukan BN di Sarawak. 

Ini kerana, Pakatan Rakyat bukan sahaja berjaya menangkis permasalahan yang ditimbulkan parti lawan, malah sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri yang berperanan untuk memenangkan BN gagal melemahkan pembangkang untuk membawa perubahan besar kepada rakyat di negeri itu.

"Saya fikir begitu, walaupun PR tidak dapat mencapai matlamat menafikan dua pertiga majoriti BN. Tetapi saya fikir dengan keadaan pilihan raya dan sikap SPR sendiri dengan apa yang dicapai sekarang adalah sesuatu yang sesuai dan munasabah. Kali ini juga PR bertanding sebagai Pakatan yang agak formal, dengan kata lainnya ia sebagai satu permulaan untuk kewujudan sistem dua parti di Sarawak terutamanya," kata Aziz.

Pilihanraya Negeri Sarawak ke 10 semalam menyaksikan Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP menyumbang 12 kemenangan, PKR tiga manakala PAS tidak memperoleh sebarang kerusi.

Manakala Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dengan memperoleh kemenangan lebih dua pertiga iaitu 55 kerusi DUN.

Sementara Bebas memenangi satu kerusi.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan SPR malam tadi, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pada pilihan raya negeri 2006 yang mana ketika itu BN memperoleh 63 kerusi.

Aziz turut menyifatkan kemenangan majoriti dua pertiga BN dengan terpaksa membelanjakan sehingga lebih RM500 juta adalah tidak memadai dengan apa yang telah diperoleh parti itu.

"Untuk pilihanraya kali ini BN membelanjakan RM500 juta dengan di sesetengah tempat Mykad dikeluarkan dengan mudah. Jadi dengan kata lain masalah SPR, undi pos dan sebagainya dan kita lihat bahawa pilihanraya itu tidak ditandingi dengan cara yang saksama dan adil. Jadi saya fikir memang ia perlu dihadapi  dan ini antara perkara yang kita perlu lihat," kata Aziz.

No comments: