Sunday, December 12, 2010

Umno tidak layak bincang kepimpinan Islam


Wan Nik Wan Yussof
Merujuk kenyataan dua ketua bahagian Umno, iaitu Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh (Sinar Harian-edisi online, 11 Disember 2010) dan Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman (Sinar Harian-edisi Kelantan, 11 Disember 2010), maka saya menganggap kedua-dua mereka itu tidak layak bercakap mengenai kepimpinan Islam. Ini kerana parti Umno itu sendiri tidak pernah berniat untuk memartabatkan Islam sebagai teras kepimpinan negara.

Kunci kepada kenyataan dua ketua bahagian itu adalah respons kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai perlantikan timbalan perdana menteri Malaysia seharusnya dari kalangan seorang muslim yang soleh. Bagi saya, kenyataan Tuan Guru ini adalah suatu prinsip jelas dalam kepimpinan Islam, maka apabila ia dipadukan kepada individu yang bernama Lim Kit Siang yang kebetulan Penasihat parti DAP, maka ia sudah kelihatan suatu polemik yang menimbulkan penolakan total pihak Umno. Jelas terserlah kebebalan Umno di dalam menghayati maksud tersirat Tuan Guru sebagai tokoh uyang tegas memperjuangkan asas dakwah di dalam bentuk olahan politik Islam.
Apabila meneliti respons Fatmi itu, ia jelas tidak bersetuju lalu menyifatkan kenyataan Tuan Guru sebagai kenyataan politik. Demikian pula Zawawi yang baru setahun jagung memegang ketua bahagian telah meletakkan taraf kenyataan Tuan Guru sebagai kebudak-budakan.

Justeru Fatmi mahupun Zawawi boleh dianggap mewakili pemikiran pemimpin Umno yang begitu alahan (alergic) tatkala membincangkan soal kepimpinan politik, bila mana isu kepimpinan dipadukan dengan nilai-nilai kempimpinan Islam. Ia semacam cuba mengelakkan daripada menerima hakikat teras kekuatan Malaysia hari ini adalah Islam biukannya kaum. Oleh itu, ramai pemimpin Umno dan penyokong mereka menganggap kenyataan Tuan Guru sebagai aancaman kepada poerjuangan Umno dan Barisan Nasional itu sendiri.

Sehubungan itu, kenyataan dilapor media tersebut boleh fahami sebagai respons yang jelas membayangkan sikap hipokrit pemimpin Umno terhadap Islam. Maka kenyataan Fatmi dan Zawawi sebenarnya boleh dijadikan disifatkan sebagai kebudak-budakan bukannya kenyataan Tuan Guru yang kebudak-budakan.

Ini kerana kenyataan itu, awal-awal lagi didapaati bercanggahan dengan prinsip kebebasan dan hak-hak beragama individu warganegara Malaysia. Di samping itu, kenyataan tersebut dilihat sebagai tidak menggambarkan sifat orang Melayu yang beragama Islam yang cuba mempermainkan usaha dakwah dalam konteks seruan Islam.

Sementelah pula, ia adalah bercanggah dengan ajaran Islam sendiri yang telah menetapkan ukuran akil baligh di dalam menentukan dosa dan pahala, sedangkan Lim Kit Siang sebagai orang yang akil baligh, peguam dan politicians berpengalaman, amat pasti ia amat matang dengan pendiriannya tentang agama. Justeru kenyataan itu yang turut memperlekehkan kewibawaan Lim Kit Siang sekaligus menggambarkan sikap pemimpin Umno yang tidak menghormati kepimpinan pihak lawan yang jelas bercanggah dengan sunnah Raslullah SAW. Malah ia suatu kedangkalan dalam memahami nilai diplomasi politik dalam negara ini.

Sebagaimana Nabi Muhammad SAW sendiri sebagai Perdana Menteri pertama di dunia ini yang memartabatkan Islam di dalam pemerintahan tidak pernah pun menyebut fasal ‘bangsa-bangsa’ jauh sama sekali menerima pakai prinsip kebangsaan di dalam menguruskan politik dan pentadbiran Negara. Sedangkan kewujudan bangsa itu sedia ada lebih awal lagi. Hakikat ini, Umno sudah jauh tersasar. Justeru itu, agak pelik dan ajaib sekiranya pemimpin Umno itu bercakap soal ‘masuk Islam’ dan menilai keikhlasan seseorang itu untuk masuk Islam, sedang amalan parti dia sendiri bercanggah dengan nilai-nilai Islam.

Masakan tidak, disebabkan pemimpin Umno-lah seorang ulama seperti Ustaz Ibrahim Mahmood dan pengikutnya dibunuh di dalam Peristiwa Memali tahun 1985. Malah pernah berlaku, alim-ulama termasuk dari Kelantan turut ditahan di bawah oleh akta zalim ISA. Tidak padan dengan itu, pernah arwah Tuan Guru Haji Mustapha dari Pasir Tumboh telah diseret ke mahkamah dan dijatuhkan hikuman atas dakwaan kononnya mengkafir sesama Islam. Sedang semua tuan guru atau ustaz tersebut berhujah bersandarkan kitab suci al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Lebih teruk lagi, dalam era kekuasaan Umno jugalah berlakunya sekatan bantuan kepada sekolah agama Islam di seluruh negara akibat terpengaruh dengan Amerika yang mentohmahkan sekolah-sekolah agama sebagai pusat aktiviti pengganas. Melarang guru dan ustaz di sekolah-sekoilah memakai kopiah, kerana kopiah identiti Islam. Paling malang lagi, Umno era Abdullah Ahmad Badawi turut memperkenalkan Islam Hadhari sebagai pendekatan yang salah kerana ia didapati seiringan dengan pemikiran orientalis yang bertujuan mengelirukan ajaran Islam sebenar.

Jawapannya, terlalu banyak percanggahan amalan pemimpin Umno sepanjang mereka berkuasa di negara ini yang dilakukan adalah tidak menyokong usaha memartabatkan Islam itu sendiri.

Oleh sebab itu, sejak negara merdeka sehingga ke hari ini, Umno sebagai parti yang memperjuangkan Melayu, didapati tidak berani menawarkan kepada pemimpin MCA atau pun MIC untuk duduk ke jawatan Timbalan Perdana Menteri. Atau sekurang-kurang bersifat demokratik untuk membuka jawatan timbalan menteri besar atau ketua menteri kepada MCA atau MIC. Sebaliknya, amalan kebangsaan Umno itu diragui kerana pernah menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew, Pulau Pinang kepada Gerakan meskipun pada satu ketika kerusi Umno majoriti di dewan negeri Pulau Pinang. Begitu juga dalam konteks Sabah, era Dr. Mahathir pernah mencaturkan jawatan Ketua Menteri kepada sistem giliran membolehkan pemimpin bukan Melayu mendudukinya.

Justeru itu, dalam negara yang mencatatkan hak-hak atas prinsip demokrasi apa salahnya membincangkan jawatan TPM itu kepada bukan Melayu. Paling tidak salah, sekiranya bakal penjawat TPM itu seorang beragama Islam. Ini kerana Islam adalah agama Persekutuan dan penganut Islam adalah mewakili majoriti rakyat yang kebetulan merentasi kaum––tidak hanya orang Melayu malah ada Cina, India, Sabahan, Sarawakian dan kaum-kaum lain adalah beragama Islam. Maka, nilai Islam itu sudah merentasi nilai-nilai perkauman yang dipuja oleh Umno, MCA dan MIC. Logik inilah menjadi hujah bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz melontarkan idea jawatan TPM itu hendaklah berteraskan prinsip perlembagaan dan hendaknya juga selari dengan Islam, iaitu seorang yang soleh. Di sini diperturunkan kenyataan sebenar Tuan Guru seperti di dalam blognya:

Apa yang penting ialah dasar, jika dasar Islam. Sesiapapun boleh menjadi pemimpin. Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa Menteri Besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh. Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang muslim yang soleh. Ini prinsip Islam yang perlu dipatuhi dalam membentuk kepimpinan negara dan ummah. Seorang muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!

Rumusannya, kita umat Islam mahu pun rakan-rakan dari agama selain Islam, janganlah mudah percaya dengan ‘ajakan Islam’ yang terhambur dari mulut pemimpin Umno. Kerana mulut mereka hakikat memiliki bau yang busuk terhadap Islam itu sendiri. Lantaran itu, komen Ketua Umno Pasir Puteh dan Bahagian Kota Bharu tersebut adalah olahan politik yang menyerlahkan kelemasan bernafas dek kebimbangan hilangnya kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.(Harakahdaily)

No comments: