Monday, December 6, 2010

Krisis Istana Kelantan Kembali Panas! Apa Reaksi Pejabat Sultan Berkaitan Kenyataan Ku Li

Ku Li anggap Tuanku Ismail masih Sultan Kelantan sah


Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa Tuanku Ismail Petra masih Sultan Kelantan yang sah sambil menegaskan, pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan September lalu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Tengku Razaleigh mahu Majlis Raja-raja, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan supaya campur tangan untuk menangani masalah tersebut.

“Saya setia kepada Sultan Ismail. Kalau ikut Perlembagaan ada tiga sebab yang boleh menyebabkan Pemangku Sultan ditabalkan jadi Sultan, yang pertama Sultan sedia ada mangkat, Sultan turun takhta dan ketiga Sultan meninggalkan negeri selama 12 bulan tanpa sebab munasabah,” kata beliau ketika sidang media di sini.

Ia sidang akhbar pertama selepas Sultan Kelantan Sultan Muhammad V melucutkan dua pingat yang dikurniakan kepada Tengku Razaleih berkuat kuasa 2 Disember lalu.

Sejak dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menggunakan gelaran Sultan Muhammad V.

“Kalau ikut Perlembagaan ada, memang begitu tapi saya tidak tahu sekiranya ada pindaan baru yang dibuat.

“Kalau ada sesiapa yang boleh pinda Perlembagaan saya rasa tiada Sultan yang akan kekal,” tambah Tengku Razaleigh lagi.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga menegaskan bahawa Tuanku Ismail Petra adalah Sultan Kelantan yang sah selepas Sultan Yahya Perta mangkat.

“Sultan Ismail adalah Sultan yang sah yang ditabalkan selepas Sultan Yahya Petra mangkat ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Sultan Ismail sudah beransur pulih dan doktor juga mengatakan baginda boleh buat keputusan.

“Sultan Ismail adalah Sultan yang masih ada,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata kini Kelantan seolah-olah mempunyai dua Sultan sehingga menyebakan rakyat keliru.

“Sekarang Kelantan ada dua Sultan, rakyat jadi bingung, saya sendiri pun keliru.

“Rakyat masih lagi berkelakuan baik dan sabar tapi timbul kegelisahan tentang apa yang berlaku,” katanya.

Menurut Tengku Razaleigh, sekiranya krisis yang berlaku tidak dapat diselesaikan kemungkinan besar ia akan memberikan kepada terhadap institusi diraja di negeri-negeri lain.

“Kalau situasi di Kelantan berterusan dan berlaku di mana-mana, ia boleh menimbulkan huru-hara, kalau Sultan boleh dibuang dengan senang inikan pula dibuang oleh pemangku.

“Ia kemungkinan boleh terjadi di negeri-negeri lain juga, kestabilan boleh tergugat.

“Jadi Majlis Raja-raja, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri (Kelantan) perlu campur tangan dalam perkara ini. Ini sesuatu yang serius,” katanya.

Tambah Tengku Razaleigh lagi, masalah akan timbul dalam pelantikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya kedudukan Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan tidak sah.

“Sekarang ini Yang di-Pertuan Agong adalah Terengganu, selepas ini Kedah dan kemudian Kelantan. Kalau tidak diselesaikan ia akan menimbulkan masalah,” katanya.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada wartawan yang dikeluarkan Sultan Ismail Perta tertulis bahawa baginda adalah Sultan Kelantan yang sah mengikut perlembagaan.

Kenyataan bertarikh 27 November lalu diedarkan supaya dapat memberikan gambaran sebenar kedudukan Sultan Ismali Petra.

“Inilah titah beta kepada rakyat Kelantan dan kepada seluruh duni. Peristiwa dan perkembangan sejak mutakhir ini telah menimbulkan beberapa keraguan terhadap darjat dan taraf diri serta kedudukan beta. Maka dengan ini beta menjelaskan kedudukan sebenar.

“Beta adalah Sultan dan pemerintah yang berdaulat bagi negeri Kelantan Darul Iman. Ini adalah hak beta menurut perlembagaan dan perjanjian-perjanjian yang dicapai antara kerajaan British di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan di bawah Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kedudukan beta sebagai Sultan adalah hak peribadi beta untuk menjadi pemerintah dan raja yang berdaulat sehingga akhir hanya beta,” kata Sultan Ismail Petra dalam kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu turut tertulis tiada mana-mana pihak dan sesiapa yang boleh mendakwa menjadi Sultan.

“Beta tidak kehilangan keupayaan untuk terus menjadi Sultan dan pemerintah yang berdaulat bagi negeri Kelantan Darul Naim untuk terus menjalankan tugas Perlembagaan beta menurut hak Perlembagaan.

“Dengan demikian maka beta dengan ini mengisytiharkan bahawa tiada mana-mana pihak dan sesiapa pun selain daripada beta yang boleh mendakwa menjadi Sultan dengan menderhaka kepada beta dan tradisi serta adat dan melanggar hak-hak sejarah para waris raja yang kini sudah merupakan bahagian yang mutlak dalam Perlembagaan Kelantan,” kata Sultan Ismail Petra lagi.

Mengenai dua pingat yang dilucutkan, Tengku Razaleigh berkata, ia bukan menjadi persoalan yang besar kerana yang penting adalah rakyat bukan darjah kebesaran.

“Sebenarnya soal penarikan pingat yang diberikan bukan menjadi persoalan yang penting, apalah saya kalau tidak ada darjat kebesaran.

“Rakyat pun tidak persoalkan, ia bukan masalah. Saya tidak beri pandangan serius pun kerana saya sudah 30 tahun dapat darjah kebesaran tetapi saya tidak pernah gunakan pun.

“Ramai yang sudah pun, bagi saya tidak penting kerana yang penting adalah sumbangan kepada rakyat,” katanya.

Malam tadi, Istana Kelantan mengesahkan Sultan Muhammad V perkenan menarik balik dua pingat darjah kebesaran dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K) yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh.

Dua pingat kebesaran tersebut ialah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K) (Al-Yunusi) dan tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) Al-Muhammadi I).

Ketika mengumumkan perkara itu di Istana Balai Besar di sini malam tadi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, mengumumkan penarikan balik anugerah itu berkuat kuasa 2 Disember lalu.

Darjah Kerabat dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.

Mohd Aiseri juga mengumunkan penarikan balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’’ Paduka) bagi darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) (Al-Ismaili I) daripada Dr Yaacob Hussain Merican, 72, serta pelantikan Jaksa Pendamai (J.P.), juga berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Tengku Razaleigh, 73, yang juga ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Difahamkan Tengku Razaleigh dikatakan mengeluarkan kenyataan menyingung perasaan Tuanku melalui siaran akhbar berbahasa Cina pada 14 September lepas kerana meragui pelantikan Tuanku sebagai Pemangku Raja.

No comments: